KHUTBAH JUMAAT 05 APRIL 2013

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sakalian,

            Hari Jumaat ini kita berada di dalam suasana bahang kepanasan Piliharaya Umum.  Suhu kepanasannya bertambah apabila Perdana Menteri baru sahaja membubarkan Parlimen ke 12 Hari Rabu yang lepas, bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke 13.  Kita lihat parti-parti politik yang ingin bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke 13 ini bermati-matian mencuba memperomosikan parti masing-masing untuk menang dalam Pilihan Raya Umum Nanti.  Semua ini adalah perkembangan yang sihat dalam proses demokrasi, asalkan tindakan-tindakan yang dilakukan tidak bercanggah dengan lunas-lunas undang-undang dan syariat Allah s.w.t.

            Proses Pilihan Raya sabenarnya tidak lain daripada satu proses memilih pemimpin untuk mentadbirkan Negara.  Jika kita menyelak lipatan sejarah dunia dan Sejarah Islam kita dapati proses memilih pemimpin untuk mentadbirkan sesebuah negara atau kerajaan telah berlaku sejak kewujudan manusia di muka bumi ini.  Apabila terdapat satu kelompok masyarakat manusia, maka keperluan untuk melantik sesaorang menjadi pemimpin akan timbul.  Nabi Muhamad s.a.w. pernah bersabda “Apabila kamu bermusafir lebih dariapada 3 orang, hendaklah kamu memilih salah seorang daripada kamu menjadi ketua untuk mengatur ajenda perjalanan”  Ini menunjukkan betapa perlunya seorang pemimpin untuk mengetuai sesuatu masyarakat.   

Dalam mentadbirkan kumpulan yang lebih besar saperti sebuah persatuan, sebuah institusi  pendidikan, sebuah institusi perniagaan apalagi sebuah  Negara, maka keperluan memilih pemimpin akan menjadi lebih kritikal.  Oleh itu kita lihat dalam sejarah dunia pemimpin masyarakat dan negara silih berganti.  Status pemimpin ada berbagai-bagai.  Ada yang dipanggil Penghulu, Pengetua, CEO, Perdana Menteri, Presiden, Raja, Maharaja dan berbagai-bagai nama lagi.  Tugas pemimpin itu  sama sahaja,iaitu untuk mengatur dan memandu orang yang dipimpinnya bagi mencapai kehidupan yang lebih sempurna. Pemimpin yang baik dikatakan pemimpin yang adil dan pemimpin yang tidak baik dikatakan pemimpin yang zalim.  Allah s.w.t. mengarahkan manusia menghukum manusia dengan adil saperti firmanya dalam Surah An Nisa’ ayat 58

* ¨۞ إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَـٰنَـٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦۤ‌ۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرً۬ا  

 

Yang bermaksud: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkannya dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah Maha mendengar lagi Maha Melihat.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sakalian,

            Proses pemilihan pemimpin ini, sejak manusia wujud di muka bumi ini ada berbagai-bagai ragam.  Pada masa Nabi Adam dahulu tentulah anak-anaknya memilih bapa mereka – Adam – sebagai pemimpin.  Apabila anak cucu Adam makin berkembang, maka masyarakat manusia menjadi berbagai-bagai puak dan kabilah dan setiap kabilah melantik pemimpin masing-masing.  Perebutan untuk menjadi pemimpin telah berlaku sejak kewujudan manusia lagi. Akhirnya yang terkuat di antara mereka, dapat menjadi pemimpin masyarakat yang lebih besar.  Sejarah mencatatkan telah wujud pemimpin masyarakat besar sebagai Raja dan Maharaja.  Nama-nama saperti Namrud, Firu’aun, Raja Sulaiman, Maharaja-Maharaja Rom, Farsi, China, dan India terpahat terang dalam lembaran Sejarah Dunia sebagai pemimpin yang terkenal samada yang adil atau yang zalim.

Dalam sejarah Islam terdapat pemimpin saperti Khalifah-Khalifah Ar Rasyidin, Khalifah Bani Umaiyah, Khalifah Abasiah, Khalifah Fatimiah, Khalifah Osmaniah dan beribu-ribu Raja-Raja yang kecil dan yang basar. Pemilihan dan perlantikan Khalifah dan Raja-Raja itu dilakukan dengan berbagai-bagai cara.  Ada yang dipilih secara pemilihan awam saperti pemilihan khalifah Ar Rashidin dan banyak pula yang dipilih mengikut keturunan saperti khalifah Umaiyah dan Abasiah.  Sebenarnya dalam Islam, cara perlantikan pemimpin atau Ketua Kerajaan ini tidak digariskan dengan jelas.  Nabi Muhamad s.a.w. sendiri tidak memberi garis panduan yang jelas bagaimana pemimpin mesti di pilih.

Apabila Nabi Muhamad s.a.w. wafat, baginda tidak berwasiat siapakah yang akan menggantikan baginda sebagai Khalifah. Pada mulanya orang-orang Ansar, ingin melantik pemimpin mereka – Saad bin Ubadah – menjadi Khalifah, tetapi akhirnya mereka akur melantik Abu Bakar sebagai Khalifah, kerana menghormati kedudukanya sebagai pemimpin Quraisy, yang pernah diminta oleh Rasulullah menjadi imam solat, ketika baginda sangat uzur. Perlantikan Abu Bakar hanya dengan para sahabat memegang tangan Abu Bakar dan membai’ah beliau. Tidak ada apa-apa upacara dan surat tauliah perlantikan dibuat.

Apabila Abu Bakar hampir wafat, beliau meminta para sahabat melantik Saidina Umar  Al Khatab menjadi Khalifah, dan para sahabat akur dengan cadangan Abu Bakar. Bila Saidina Umar ditikam dan beliau hampir wafat, beliau memilih 6 orang sahabat besar untuk memilih Khalifah dengan diketuai oleh Abd. Rahman bin Auf.  Akhirnya mereka bersetuju melantik Saidina Othman menjadi Khalifah, walau pun Saidina Ali merasa beliau lebih berhak.  Bila Osman wafat para sahabat membai’ah Siadina Ali menjadi Khalifah walau pun Mu’awiah tidak mahu membai’ah beliau.

Rentetan perlantikan Khalifah yang dipaparkan secara ringkas ini menunjukkan, tidak ada satu garis panduan yang tetap untuk melantik pemimpin.  Islam boleh menerima sesiapa sahaja, dengan cara apa sahaja, untuk menjadi pemimpin. Pokoknya apabila peminpin telah dilantik maka beliau mesti ditaati.  Yang melawan akan dikategorikan sebagai pemberontak atau ‘bughah’ dan boleh diperangi.  Sejarah mencatatkan bagaimana Saidina Abu Bakar memerangi orang-orang yang mengaku menjadi Nabi saperti Musalamatu Kazab dan orang-orang yang tidak mahu membayar zakat pada zamannya.

Apabila Saidina Ali dibunuh dan Jawatan Khalifah diambil oleh Muawiyah yang memulakan Khalifah Bani Umaiyah, beliau telah melantik anaknya Yazid menjadi Putera Mahkota sebagai gantinya.  Perlantikan Yazid walau pun mendapat tentangan tetapi mendapat pengiktirafan penduduk Syria. Tradisi ini diikuti oleh Yazid dengan melantik anaknya Moawiyah bin Yazid sebagai Khalifah.  Khalifah-Khalifah Umaiyah yang kemudian juga walau pun tidak semua, melantik anak atau adik-adik mereka menjadi Khalifah.  Ini bermakna Khalifah Bani Umaiyah telah memulakan tradisi melantik keturunan sendiri menjadi pemimpin Islam. Umat Islam telah menerima keadaan itu seadanya walau pun terdapat juga penentangan di sana sini. 

Sejarah mencatatkan Khalifah Abasiah yang berpusat di Baghdad juga mengikut tradisi Bani Umaiyah dengan melantik anak-anak sendiri menjadi Khalifah.  Kita lihat juga apabila Kerajaan Islam saperti Kerajaan Usmaniah, Kerajaan Monghul di India, Kerajaan Murabitin di Afrika yang memakai gelaran Sultan juga melantik anak-anak menjadi pengganti mereka.  Kerajaan Islam Melayu Melaka dan Raja-Raja Melayu sekarang juga mengikut tradisi yang sama. Keadaan ini telah diterima oleh umat Islam sebagai kerajaan yang sah.  Sejarah menunjukkan kepimpinan Negara mengikut cara keturunan ini bukan semuanya tidak baik. Kita lihat Muhamad Al Fatih yang dilantik menjadi khalifah Usmaniah secara keturunan, telah berjaya menaklukkan kota Contantinople yang ditukar menjadi Istanbul pada masa ini. Di Negara bukan Islam saperti Greek, Rom, Farsi, China dan India perlantikan pemimpin juga secara keturunan dan di antara mereka ada yang menjadi pemimpin yang  baik walau pun ada yang zalim.

Apabila ahli falsafah Greek saperti Aristotle, Plato, Galen dan lain-lain menyebarkan doktrin demokrasi iaitu kerajaan dipilih oleh rakyat maka konsep ini cepat di terima oleh masyarakat dunia. Konsep demokrasi ini hampir sama dengan falsafah Islam iaitu pemimpin dipilih atau dilantik dari mana-mana sahaja rakyat yang berkebolehan.  Kita lihat pemilihan Khulafa Ar Rasyidin mempunyai konsep demokrasi kerana Khalifah dipilih atau di bai’ah oleh orang ramai.  Cuma ia tidak kekal lama dan bertukar kepada pemilihan secara keturunan atau monarki. 

Apabila Islam dapat meluaskan kekausaanya hingga meliputi daerah kekuasaan Rom maka sarjana-sarjana Islam telah menggali  semula konsep demokrasi orang Greek dan Rom. Al Farabi, Ibu Sina, Ibnu Rushd, Al Kindi  termasuk ibnu Khaldun telah mengkaji falsafah Aistotle, Plato dan  Galen dan disesuaikan dengan konsep Islam. Hari ini umat Islam telah menerima demokrasi, sebagai acuan pemilihan pemimpin hampir di seluruh dunia.  Kita lihat kerajaan monarki di Turki, Irak, Iran, Mesir dan lain-lainya telah digantikan dengan kerajaan demokrasi sama ada dengan pemberontakan rakyat atau rampasan kuasa oleh tentera.

Apabila kuasa Eropah menjajah Negara-negara di Asia dan Afrika mereka meruntuhkan kuasa Raja-Raja monarki dan menggantikan dengan pemerintahan penjajahan termasuklah di Indinesia dan Tanah Melayu. Apabila Negara-negara ini merdeka mereka telah memilih kerajaan secara demokrasi dan ada yang mengekalkan Raja-Raja sabagai Raja Berperlembagaan saperti di Malaysia dan Brunei. Indonesia memilih untuk menghapuskan langsung kuasa Raja-Raja mereka saperti Raja-Raja Acheh, Minangkabau, Palembang dan Tanah Jawa.

Negara-negara yang memilih cara demokrasi menyalin demokrasi Barat dengan memilih pemimpin melalui Pilihan Raya saperti yang kita lakukan.  Tidak ada cacat cela dalam system demokrasi ini. Kebaikan system demokrasi ini ialah dengan andaian, bahawa semua rakyat yang membuat pemilihan kerajaan itu, adalah membuat pertimbangan yang waras untuk kebaikan umat dan Negara mereka.  Diandaikan bahawa semua rakyat yang memilih kerajaan akan berfikir secara rasional dan membuat pemilihan yang tepat dan secara bebas. Jika ini berlaku, Negara boleh mendapat pemimpin yang baik dan berusaha untuk memberi kehidupan yang sejahtera kepada rakyat.

Malangnya pemilihan pemimpin secara demokrasi ini tidak selalunya berjalan dengan baik. Di Amerika Syarikat misalnya pemilihan presiden memerlukan sokongan kewangan yang sangat besar.  Menjadi rahsia umum, bahawa parti-parti politik disana perlu mendapat sumber kewangan yang banyak yang datang dari syarikat-syarikat besar. Kebanyakana syarikat besar di Amerika Syarikat dikuasai oleh Yahudi Zionis.  Oleh itu tidak hairanlah jika Presiden Amerika Syarikat terpaksa akur kepada Israel jika mahu menang Pilihan Raya.  Ertinya rakyat tidak memilih secara rasional lagi.

Ada Negara yang pemilihan pemimpin mendapat bantuan dariapada anasir luar Negara, samada dari segi kewangan atau kepakaran melobi pengundi. Jika ini berlaku kerajaan yang dipilih bukan kerajaan yang dikehendaki oleh rakyat Negara tetapi kerajaan yang di arahkan oleh kuasa-kuasa luar.  Inilah setengah daripada keburukan pemilihan pemimpin secara demokrasi.  Walau bagaimana pun setakat ini, tidak ada cara lain untuk meilih pemimpin. Kita tidak mungkin berbalik kepada pemilihan pemimpin secara bai’h saperti pemilihan Saidina Abu Bakar menjadi khalifah. Pada zaman Moawiyah pun beliau berfikir amat susah pemilihan secara bai’ah kerana daerah kerajaan Islam yang sangat luas.  

Oleh itu pilihan yang ada dihadapan kita ialah pemilihan pemimpin secara demokrasi berparlimen saperti sekarang. Yakni pemilihan secara undi sulit saperti sekarang. Yang penting andaian kepada kebaikan demokrasi ini mesti dikekalkan. Rakyat hendaklah berfkiran waras dan rasional ketika memilih pemimpin.  Kedua Pemilihan mestilah dengan kehendak kita sendiri.  Jangan harus ada pengaruh dari luar untuk mempengaruhi kita ketika memilih.  Jika tidak kita akan dapat pemimpin Amerika Syarikat yang terpaksa akur kepada kehendak Israil.

KHUTBAH KEDUA

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Dengan mengambil kira kebaikan dan keburukan falsafah demokrasi yang kita bincangkan marilah kita menghadapi Pilihan Raya Umum ke 13 ini dengan fikiran yang rasional dan membuat pemilihan dengan sebaik-baiknya.  Jika memilih pemimpin dengan Pilihan Raya sahaja yang kita mesti lakukan maka mengundi dalam Pilihan Raya adalah satu kewajipan kepada semua yang layak mengundi.  Jika semua orang membuat keputusan tidak mahu mengundi Pilhan Raya akan gagal dan kita akan menanggung dosa kerana menggagalkan pemilihan pemimpin. 

            Ketika membuat pemilihan kita hendaklah berfikir secara rasional dengan menimbangkan segala hujah-hujah yang diberikan oleh berbagai pihak yang memperomosikan calon masing-masing.  Setelah kita memikir dengan teliti kebaikan dan keburukannya barulah kita membuat keputusan untuk mengundi dengan keyakinan yang penuh bahawa kita telah membuat keputusan yang sebaik-baiknya.  Janganlah kita langsung tidak berfikir – cuma berfikir siapa yang akan kita undi hanya waktu kita hendak naik kereta pergi mengundi dan hentam sahaja siapa yang teragak.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

*