KHUTBAH JUMAAT 14 MAC 2014

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sakalian,

            Hari Jumaat ini kita berkumpul di Masjid ini dalam suasana yang sedih  kerana Negara kita menerima musibah dengan kehilangan pesawat MAS MH370 yang telah masuk hari ketujuh.  Hingga hari ini tidak ada lagi pertunjuk yang jelas: dimanakah pesawat itu berada dan bagaimana keadaan 239 penumpang dan anak kapal di dalamnya. Kesedihan ini tentulah lebih berat  dirasakan oleh ahli keluarga penumpang yang terlibat dengan kemalangan itu.  Pepatah Melayu mengatakan: berapa berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

            Ujian Allah ini sudah tentu mendapat reaksi yang berbagai-bagai daripada berbagai-bagai golongan masyarakat.  Bagi yang percaya kepada kemajuan teknologi yang canggih sekarang, akan menganggap perkara ini tidak sepatutnya berlaku.   Memang benar pesawat yang akan diterbangkan mesti melalui pemeriksaan yang rapi dan jika terdapat sadikit sahaja kecacatan, penerbangan akan ditangguhkan. Pada masa kita berada di dalam masjid ini pun, beruatus-ratas mungkin beribu-ribu pesawat sedang terbang di angkasa bumi kita dan biasanya pesawat-pesawat itu akan mendarat dengan selamat.

            Jadi mengapa Pesawat MH 370 ini mengalami nasib saperti ini ?  Kita telah mendengar berbagai-bagai tiori samada dari pakar-pakar penerbangan, atau daripada yang tidak pakar tetapi cuba membuat tiori.  Gerakan mencari telah dibuat dengan bagitu hebat.  Setakat ini 42 buah kapal laut dan 39 buah kapal terbang dari 12 buah negara bekerja siang malam tanpa penat dan jemu mencuba mencari lokasi pesawat yang malang ini.  Ratusan bahkan ribuan anak kapal dan kaki tangan yang terlibat.  Pegawai dari Kementerian Pengangkutan, Polis, Angkatan Laut, Darat dan Udara berkampung di Lapangan Terbang hingga tidak tidur untuk mengikuti dan memberi maklumat mengenai perkembangan peristiwa malang ini. Kita bersyukur kerana semua yang terlibat telah menjalankan tanggung jawab masing-masing ke peringkat paling maksima. 

            Dengan usaha yang sangat hebat ini mengapa hasilnya belum dapat dilihat ?   Bagi kita umat Islam jawapannya amat mudah.  Semua yang berlaku adalah dengan Kudrah dan Iradah Allah.  Allah telah menggariskan apa yang akan berlaku di Luh Mahfuz.  Kita boleh merancang tetapi yang membuat keputusan akhir adalah Allah yang Maha Berkuasa.  Kita tidak dapat menolak Kehendak dan Kuasa Allah.  Mengapakah Allah menentukan kejadian ini akan berlaku bagitu rupa, bukanlah dapat kita rasionalkan dengan kekuatan fikiran kita.  Kita cuma boleh mengandaikan sahaja kemungkinan-kemungkinan mengapa ini semua berlaku.  Jawapan kepada soalan-soalan itu cuma ada kepada Allah, dan jawapannya akan diberi pada hari perbicaraan di Mahsyar kelak. Semua video kejadian itu dari awal hingga akhir akan dapat kita saksikan kelak. Dalam keadaan ini kita dapat merasakan betapa kerdilnya kita dan betapa sadikitnya ilmu yang diberikan Allah kepada kita.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sakalian,

            Jika kita mengkaji sejarah kewujudan manusia di muka bumi Allah ini, kita dapati mala petaka yang menimpa manusia ini bukanlah perkara baru.  Di dalam Al Quran Allah menceritakan bagaimana kaum Nabi Nuh di tenggelamkan di dalam taufan. Kaum Firuan ditenggelamkan di laut Merah.  Kaum Nabi Lut di terbalikkan bumi, kaum Nabi Saleh dan Nabi Syuib di matikan dengan  satu tempekan yang kuat sahaja. Dalam sejarah perkapalan, Kapal Titanic yang canggih tenggelam di dasar laut pada tahun 1912 menenggelamkan 3,000 penumpangnya.  Dalam sejarah penerbangan pula Kapal Terbang Air France telah hilang dekat Rio Jeneiro pada tahun 2009 dan dijumpai dua tahun kemudian. Di Malaysia juga kapal terbang pernah terhempas di Tanjung Kupang, Johor.  Kapal angkasa juga pernah meletup sebaik sahaja dilancarkan ke angkasa beberapa tahun dahulu dan mengorbankan tiga angkasawannya.  Pendeknya kemalangan kenderaan ini bukanlah perkara yang sangat luar biasa.  Cuma dalam kes MH 370 ini kita menunggu bagitu lama untuk mendapat khabar yang sahih apa yang berlaku.  Sebagai orang yang beriman kita terpaksalah redha dengan apa yang telah ditakdirkan.

            Jika kita membuka Al Quran kita akan dapati Allah telah memberi tahu kita bahawa Allah amat berkuasa menentukan apa yang di kehendakinya.  Apabila kita berada di atas sesebuah  kenderaan samada kereta, kapal atau kapal terbang, nyawa kita sebenarnya ditangan Allah.  Dalam Surah Yasiin ayat 42 hingga 44 Allah menerangkan bagaimana Allah mempunyai kuasa mutlak menentukan nasib manusia yang berada di dalam kenderaan:

وَخَلَقۡنَالَهُممِّنمِّثۡلِهِۦمَايَرۡكَبُونَ (٤٢) وَإِننَّشَأۡنُغۡرِقۡهُمۡفَلَاصَرِيخَلَهُمۡوَلَاهُمۡيُنقَذُونَ (٤٣إِلَّارَحۡمَةً۬مِّنَّاوَمَتَـٰعًاإِلَىٰحِينٍ۬ (٤٤

Dan Kami ciptakan untuk mereka, jenis-jenis kenderaan yang sama dengannya, (sama dengan kapal Nabi Noh)  yang mereka dapat mengenderainya. Dan jika Kami kehendaki, nescaya Kami tenggelamkan mereka;  maka tidak ada yang dapat memberi pertolongan kepada mereka, dan mereka juga tidak dapat diselamatkan,  kecuali dengan kemurahan dari pihak Kami memberi rahmat dan kesenangan hidup kepada mereka hingga ke suatu masa.

            Dalam ayat di atas Allah mengingatkan manusia, bahawa Allah boleh melakukan apa sahaja kepada makhluknya dengan kenderaan yang dinaiki oleh mereka, tidak kira secanggih mana teknologi yang digunakan.  Beribu-ribu kapal yang belayar di laut, beribu kapal terbang yang terbang di udara, dan berjuta-juta kereta berlari di atas jalan raya selamat kerana Rahmat Allah semata-mata.  Ini harus kita insafi.  Jangan sekali-kali kita menyangka oleh kerana kita pemadu yang mahir, kereta kita tidak akan terlibat dalam kemalangan. Jangan disangka kapal terbang dan kapal laut kita mempunyai teknologi yang canggih kita tidak boleh terlibat dalam kemalangan.  Keretaapi yang berjalan di atas rel yang berasingan dari keretaapi lain pun boleh berlaku kemalangan.  Jika Allah berkehendakkan sesuatu itu berlaku,  ia tetap akan berlaku.  Cuma kita sepatutnya berdoa supaya mendapat rahmat Allah dan terhindar dari kemalangan saperti hujung ayat di atas.  

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sakalian,

            Dalam zaman kemjuan teknologi yang canggih sekarang, kadang-kadang manusia lupa kepada Allah.  Dalam perubatan misalnya teknologi bagitu canggih hingga kebanyakan penyakit telah dapat dicari ubatnya.  Penyelidikan akhir-akhir ini  jatung manusia tiruan pun telah dapat diciptakan.  Pembedahan tidak lagi perlu dilakukan secara terbuka atau open surgery. Ia boleh dilakukan dengan laser dimana doktor hanya melihat di dalam monitor TV dan pembedahan dilakukan dari luar badan manusia. Dalam pada itu para doktor tahu apabila sampai masanya mereka tidak dapat menyelamatkan nyawa manusia.  Oleh itu doktor yang beriman akan meminta pesakitnya berdoa sebelum pembedahan dijalankan.

            Kita semua tahu Allah tidak memberi semua ilmu kepada manusia.  Walau pun Allah memberi hidayah dengan membuka pintu ilmu yang seluas-luasnya kepada manusia, tetapi ada yang Allah tidak berikan kepada manusia. Misalnya tentang nyawa atau roh.  Ahli perubatan sejak zaman purba membuat penyelidikan mencuba kencari rahsia roh ini supaya manusia dapat dihidupkan selama-lamaya dan tidak mati. Tetapi Allah tidak akan berikan rahsia ini saperti firmannya dalam Surah Ai Israk ayat 85:

وَيَسۡـَٔلُونَكَ عَنِ ٱلرُّوحِ‌ۖ قُلِ ٱلرُّوحُ مِنۡ أَمۡرِ رَبِّى وَمَآ أُوتِيتُم مِّنَ ٱلۡعِلۡمِ إِلَّا قَلِيلاً۬

Dan mereka bertanya kepadamu (Hai Muhamad) tentang roh. Katakan: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku; dan kamu tidak diberikan ilmu pengetahuan mengenainya melainkan sedikit sahaja”.

            Kita semua maklum: selain roh ada beberapa perkara yang Allah rahsiakan daripada ilmu manusia misalnya ajal, jodoh dan  rezeki. Walau pun manusia disuruh berusaha untuk mendapatkan rezeki, mencari jodoh dan mengelakkan penyakit tetapi Allah telah membuat ketentuanya.  Banyak kes berlaku kejadian yang tidak disangka-sangka.  Ramai orang yang mati mengejut dengan tidak dapat ditentukan apa penyakitnya.  Banyak orang yang usahanya tidaklah kuat sangat tetapi rezekinya melimpah ruah. Ada orang yang bercinta saperti belangkas tetapi akhirnya berkahwin dengan orang lain. 

            Mimbar ini menzahirkan fakta ini untuk menjadi iktibar kepada kita sakalian bahawa kita cuma boleh berikhtiar tatapi akhirnya yang membuat keputusan muktamad adalah Allah. Ini bukan bermakna kita tidak boleh berusaha mengubah nasib kita.  Kebanyakan kejadian yang berlaku di dunia ini adalh mengikut sunah Allah atau peraturan Allah.  Dalam bahasa mudah mengikut tabiat atau kebiasaan alam. Jika kita lapar, kita akan kenyang bila kita makan. Jika demam kita makan panadol biasanya akan baik. Kalau hendak menyembelih kambing gunakan pisau. Tetapi kita pernah berjumpa ada yang makan panadol secupak pun demamnya tidak baik. Ada ayam yang disembelih tiga hari baru mati.  Maknanya Allah boleh melakukan sesuatu yang diluar sunahNya apabila Ia kehendaki.  Amat sadikit Allah melakukan sesuatu tidak mengikut sunah yang biasa.  Misalnya sekali sahaja Nabi Ibrahim dibakar tidak hangus. Sekali sahaja Nabi Ismail disembelih tidak lut.  Sekali sahaja Nabi Isa boleh bercakap waktu masih bayi.

            Dalam kes Pesawat MH 370 ini Allah melakukan sesuatu diluar kebiasaan.  Oleh itu kita lihat walau pun kita menggunakan semua aset dan peralatan yang mempunyai teknologi yang paling canggih pun jika Allah telah menentukan belum sampai masa kita akan berjumpa, maka kita tidak belum berjaya.  Tetapi saperti ayat didalam Surah Yain di atas:

إِلَّا رَحۡمَةً۬ مِّنَّا وَمَتَـٰعًا إِلَىٰ حِينٍ۬

kecuali dengan kemurahan dari pihak Kami memberi rahmat dan kesenangan hidup kepada mereka hingga ke suatu masa. 

Maka untuk mendapat Rahmat,  tidak ada jalan lain melainkan berdoa kepada Allah.  Oleh itu usaha berbagai pihak berdoa dan bersolat hajat memohon pertolongan Allah adalah satu tidakan yang betul dan sangat baik dilakukan.  Kita tidak sepatutnya berputus asa dengan rahmat Allah. Dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan doa yang ikhlas dari semua pihak insyallah kita akan menemui pesawat ini.  Dan sebagai hamba Allah kita sepatutnya redha dengan apa yang akan kita jumpai kelak seadanya.  

KHUTBAH KEDUA

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Sebagai umat Islam yang beriman kepada qdak dan Qadar Allah marilah kita semua ber doa kepada Allah muga-muga kita dikurniakan hidayah untuk menemui Pesawat M370 yang hilang ini secepat mungkin dalam apa keadaan sekali pun.

Ya Allah kami hamba-hambaMu yang amat dhaif ini bermohon kepadaMu supaya Engkau     me limpahkan Rahmat dan RahimMu kepada kami supaya Kapal Terbang MH 370 yang telah hilang   itu engkau kembalikan kepada kami.  Kami tidak ada lagi tempat untuk memohon pertolongan  selain dari Engakau Ya Allah.  Kami telah berusaha dengan segala ikhtiar yang ada saperti yang    Engkau perintahkan kepada kami. Hanya kepada Engkau tempat kami bergantung.

Print Friendly, PDF & Email

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

*