UCAPAN PENGERUSI DALAM MESYUARAT AGUNG MASJID KALI KE 18

UCAPAN PENGERUSI AJK KARIAH UNTUK

MESYUARAT AGUNG, MASJID SULTAN YUSSUF KALI KE 18

KHAMIS,  06 FEBRUARI 2014

Assalamualaikaum warah matullah hi wabarakatuh,

Yang Berusaha Tuan Haji Yeop Mohd.Said bin Abdul Muttalib selaku Pengacara Majlis dan Setia Usaha AJK Kariah Masjid Sultan Yussuf, Rapat Setia.

Yang Berbahagia, Dato  Haji Mohd. Yussuf bin Husin, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak,  tetamu kehormat kita pada malam ini,

Yang Berbahagia Dato’ Haji Zubairi bin Tajuddin, Orang Besar Jajahan Kampar,

Tuan Haji Saleh bin Abd. Karim, Pemangku Timbalan Pengerusi Masjid,

 Ahli-Ahli Jawatankuasa Kariah dan Jawatankuasa Biro-Biro Masjid Sultan Yussuf,

Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan Ahli Jemaah dan Ahli Kariah Masjid Sultan Yussuf yang di rahmati Allah sakalian,

 

Bersyukurlah kita ke hadrat Allah s.w.t. yang telah mengizinkan kita – pada malam ini – untuk berkumpul di Dewan Masjid ini, dengan tujuan menjalankan tugas dua tahun sekali, iaitu mengadakan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Masjid Sultan Yussuf Rapat Setia ini.

Pertamanya saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada tetamu yang kita raikan pada malam ini iaitu Yang Berbahagia Dato’ Haji Mohd. Yussuf bin Husin, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak,  yang telah sudi menerima jemputan kita untuk merasamikan Mesyuarat Agung pada malam ini.  Tidak syak lagi kehadiran Yang Berbahagia Dato’, telah menyeri dan memberi makna yang besar kepada kita pada  malam ini.    Dato’ Haji Mohd. Yusuf telah beberapa kali datang ke masjid kita ini semenjak menjadi Pengarah Jabatan Agama Islam Perak, tetapi tidak pernah bercakap secara rasmi kepada ahli kariah Masjid ini.  Jadi pada malam ini kita akan dapat mendengar amanat langsung dari  Yang Berbahagia Dato’.

Dato’ Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan sakalian,

            Mesyuarat Agung Kali ke 18 ini sepatutnya diadakan pada bulan Jun tahun lepas iaitu tahun 2013, tetapi oleh kerana pada 7 Jun tahun lepas, kita telah mengadakan sambutan 40 tahun Masjid ini, maka kita telah menunda Mesyuarat ini pada malam ini.  Mesyuarat ini terpaksa ditunda kerana seluruh tenaga dan kewangan Masjid terpaksa ditumpukan kepada Sambutan 40 tahun itu.  Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang berbahagia Dato’ Mohd. Yusuf dan pegawai-pagawai Jabatan Agama Islam Perak yang telah memberi pertolongan yang sangat besar hingga Sambutan itu telah dapat dijalankan dengan sepenuh kejayaan.  Untuk makluman tuan-tuan dan puan-puan kita mendapat sepenuh kerjasama dari Jabatan-Jabatan lain saperti JKR, DBI, TNB, JAP dan lain-lain untuk menjayakan Majlis Sambutan itu, kerana semua jemputan dibuat atas nama Jabatan Agama Islam Perak. 

            Sambutan 40 tahun itu diadakan bersama dengan Perasmian Bangunan Tambahan Baru yang telah mendapat peruntukan daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak sebanyak RM400,000.00.  Peruntukan pertama sebanyak RM200,000.00 telah diperolehi pada pada tahun 2011 untuk mengubahsuai Balai Lentang di sebelah Jalan Tengku Hussain.  Setelah merayu sekali lagi untuk menyudahkan kerja-kerja tambahan, kita telah mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM200,000.00 lagi pada tahun 2012.  Akhirnya kita telah dapat menyiapkan tambahan bangunan di sebelah Jalan Raja Musa Mahadi  pada tahun 2013 dengan perbelanjaan sebanyak RM380,000.00.  Ini bermakna jumlah perbelanjaan penambahbaikan itu sebanyak RM580,000.00. Tambahan RM180,000.00 adalah daripada dana Masjid dan derma dari ahli kariah masjid ini.

 Jika tuan-tuan menyemak Laporan Biro Pembangunan di muka surat 21 dalam buku Mesyuarat Agung itu jumlah Perbelanjaan Pembangunan dari tahun 2011 hingga 2013 ialah sebanyak RM676,000.00 yakni lebih setengah juta.  Manakala keseluruhan Perbelanjaan Pembangunan dari tahun 2005 hingga 2013 ialah sebanyak RM1.47 juta. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan yang telah menyumbangkan derma untuk pembangunan Masjid ini.  Kami juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Perak yang telah menyumbangkan peruntukan sebanyak RM518,000.00 dariapada RM1.47 juta itu.  Ini bermakna Keseluruhan Pembangunan Masjid ini 35% dibiayai oleh Kerajaan dan 65%  di dermakan oleh ahli kariah masjid ini sendiri.  Kita boleh bersyukur kepada Allah yang telah memberi hidayah kepada kita untuk berinfak ka jalan Allah, kerana banyak juga Masjid di negeri ini, dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan. Saya yakin tidak ada yang menyesal kerana memberi derma kepada Pembangunan Masjid kita.

            Dalam melaksanakan projek Pembangunan Masjid ini, saya sangat terhutang budi kepada Tuan Haji Abdul Jamil bin Ariffin yang sangat banyak menolong mendapatkan peruntukan pembangunan dari kerajaan. Bagitu juga kepada Tuan Haji Hamzah bin Long yang banyak menolong dalam kerja  perlaksanaan projek pembangunan ini.

Sidang hadirin yang di Rahmati Allah sakalian,

            Jika tuan-tuan dan puan-puan meneliti laporan kewangan yang disediakan oleh Bendahari, Tuan Haji Abd. Latif Saidin dan Tuan Haji Abu Bakar Sarip dari ms 61 hingga 83, kita dapati pendapatan untuk dana Masjid ini adalah agak selesa.  Kutipan bulanan Hari Jumaat adalah lebih kurang RM8,000.00 sebulan.  Selain daripada itu Masjid mempunyai dua buah kedai dua tingkat yang menghasilkan sewa RM1,750.00 sebulan.  Masjid juga mempunyai sebuah Rumah Penginapan disebelah Masjid ini yang diuruskan oleh Tuan Haji Yeop Mohd. Said bin Muttalaib yang menghasilkan pendapatan purata RM600.00 hingga RM700.00 sebulan.

            Selain daripada itu setiap malam Jumaat, Masjid ini mengadakan Majlis bacaan Yasin dan tahlil dan mengadaka jamuan yang didermakan oleh orang ramai yang berjumlah antara RM400.00 hingga RM1,200.00 se malam.  Sebahagian daripada derma ini digunakan untuk bayaran bill letrik dan air masjid.  Selain daripada itu pada bulan Ramadhan ahli kariah Masjid ini telah menginfakkan hampir RM30,000.00 untuk mengadakan jamuan morei sepanjang bulan Ramadhan.

            Ahli kariah masjid ini bukan sahaja perihatin kepada penduduk tempatan tetapi juga memberi perhatian kepada saudara seagama di peringkat antarabangsa.  Ahli kariah telah menyumbangkan derma kepada penduduk Gaza sebanyak RM10,000.00 pada bulan Ramahdan tahun 2012 dan RM6,000.00 kepada pelarian Syria pada tahun lepas. Semuga segala sedekah jariah  kita mendapat keridhaaan Allah s.w.t.

            Masjid ini bukan sahaja memberi perhatian kepada pembangunan fizikal atau infrastruktur, tetapi juga kepada pembangunan rohaniah dan pengimarahan masjid. Masjid ini mempunyai 9 orang guru agama yang yang memberi kuliah agama selepas solat Maghrib.  Pada malam yang tidak ada kuliah agama, tayangan  video ceramah agama oleh pensyarah yang terkenal dibuat bagi mengisi waktu maghrib dan Isyak yang di kelolakan oleh Tuan Haji Suhaili bin Hashim.. Jadi hampir setiap malam, masjid ini diimarahkan dan kehadiran ahli Jemaah hampir seratus orang pada setiap malam dan mencecah hampir 200 orang jemaah lelaki dan wanita pada malam Jumaat, apabila majlis bacaan yasin dan tahlil di adakan.

            Masjid ini bukan sahaja memberi perhatian kepada pendidikan untuk jemaah dewasa tetapi tidak lupa juga kepada anak-anak ahli kariah. Untuk itu sebuah Sekolah Agama Rakyat telah di tubuhkan sejak tahun 1970’an dan sekarang telah berkembang maju dengan mempunyai seramai 279 orang murid dan 6 orang tenaga pengajar.  Sekolah ini berkembang pesat dibawah kelolaan Biro Sekolah Agama Rakyat yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Mohd. Junid bin Mohd. Nasir.

            Dalam hal pendidikan Masjid juga tidak lupa menambahkan ilmu pengetahuan ahli jemaah. Untuk ini Biro Pendidikan yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Salleh bin Abdul Karim telah dapat menjalankan beberapa program yang membawa konsep pendidikan seumur hidup. Di antaranya: mengadakan kelas Bahasa Arab yang dimulakan oleh Allah Yarham Ustaz Hazman kemudian disambung oleh Allah Yarham Ustaz Adam.  Selepas kematian Ustaz Adam kelas Bahasa Arab disambung oleh Ustaz Abd. Rani.  Yang amat membanggakan seorang murid kelas Bahasa Arab iaitu Tuan Haji Suhaili telah pun dapat menjadi tutor dan memberi bimbingan kepada yang baharu belajar Bahasa Arab.

            Selain daripada itu kelas Tajwid dan Talaqi Al Quran juga diwujudkan dibawah pimpinan Ustaz Haji Mazlan Zaini Al Hafiz. Untuk memenuhi keperluan masyarakat, satu pasukan marhaan juga di wujudkan dibawah pimpinan Tuan Haji Kamaruddin Uda Menon dan Tuan Haji Mustaha bin Mohd. Radzi.

            Di samping itu pendidikan untuk kaum wanita juga tidak dilupakan.  Di bawah pimpinan Pengerusi Biro Wanita : Puan Hajah Zahara Suhaimi dan Puan Hajah Siti Khamsiah kelas pengajian untuk wanita diadakan selepas solat Asar setiap Hari Isnin, Rabu dan Jumaat, dengan guru agama seramai 4 orang.  Biro Wanita juga telah mengadakan beberapa kursus dan lawatan, khas untuk kebajikan kaum wanita.

            Masjid ini turut memberi perhatian kepada masalah  belia disekeliling masjid ini.  Untuk menangani masalah belia Biro Belia dan Beliawanis  yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Mohd. Fadhil bin Nuruddin telah mengadakan beberapa kegiatan untuk belia saperti sukan, program ‘Anda Bijak jauhi Zina’, kursus tahsin solat, ‘Remaja meraikan Ramadhan’ dan lain-lain.  Manakala untuk beliawanis dibawah pimpinan Dr. Tun Kamsiah binti Fathullah pula telah mengadkan  kursus fikah an nisa’ dan program belia dan Al Quran.

            Dengan kegiatan yang banyak dijalankan di masjid ini kerosakan bangunan dan peralatan masjid tidak dapat dielakkan. Untuk menangani masalah ini masjid mempunyai sebuah Biro Penyelengaraan yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Wan Ahmad bin Wan Ismail dan Tuan Haji Hamzah Long.. Alhamdulillah segala kerosakan telah dapat dibaiki dengan kadar segera dan tandas masjid ini diakui oleh pelawat antara tandas masjid yang terbersih di daerah ini.

            Berkait dengan kerosakan masalah keselamatan juga timbul. Untuk menangani masalah ini Biro Keselamatan dan Kebajikan yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Ahmad bin Patoon telah mengadakan beberap program saperti menyediakan papan tanda untuk memudahkan jemaah dan meyediakan anggota rela untuk menjaga keselamatan masjid.  Biro ini juga telah membuat lawatan ke rumah orang tua dan menziarahi ahli-ahli Jemaah yang uzur.

Sidang hadirin sakalian,

            Bagi menggalakkan ahli Jemaah menjalankan sunah Rasullah saw, Biro Ibadah Kurban yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Zainal Abidin bin Abdul Manaf telah dapat menganjurkan ibadah kurban pada setiap kali Sambutan Hari Raya Idil Adha.  Setiap tahun 10 ekor lembu telah dapat disembelih hasil sumbangan ahli kariah masjid ini. Setiap tahun kira-kira RM35,000.00 telah dibelanjakan untuk kegiatan ibadah kurban.

            Masjid ini bukan sahaja memikirkan ahli Jemaah yang hidup tetapi juga memikirkan persediaan untuk kematian. Untuk tujuan ini Biro Tanah Perkuburan yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Mohd. Mohd. Junid bin  Mohd. Nasir dan kemudian diambil alih oleh Tuan Haji Abd. Hamid bin Dato’ Damanhuri telah ditugaskan menyelanggarakan Tanah Perkuburan Masjid Sultan Yussuf seluas 18 ekar.  Biro ini telah membuat pembaikan kepada Tanah Perkuburan ini dengan perbelanjaan hampir RM100,000.00 untuk menurap jalan, membuat perparitan, dan menanam pokok perhiasan bagi mengindahkan Tanah Perkuburan.  Dengan usaha meraka yang gigih itu Tanah Perkuburan masjid ini telah mendapat pengiktirafan Tanah Perkuburan terbaik di Daerah Ipoh.

            Pengurusan jenazah juga telah dapat dijalankan dengan cekap dan biasanya jenazah dapt diselanggarkan dalam masa 4 jam selepas maklumat kematian disampaikan kepada Biro Pengurusan Jenazah yang di pengerusikan oleh  Tuan Haji Adnan bin Mohd. Yussuf dibantu oleh Tuan Haji Suffian bin Abu Hanifah. Setakat ini sebanyak 540 jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid ini termasuk 67 orang kanak-kanak.  Biro ini juga menyelenggarakan dua buah kereta jenazah, walau pun kedaannya  telah agak uzur. Masjid sedang berusaha untuk mendapatkan sebuah kereta jenazah yang baru.

            Untuk menyampaikan maklumat masjid kepada ahli kariah dengan lebih berkesan Biro Penyebaran Maklumat yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Rozalli bin Suradi telah menubuhkan laman sesawang masjid ini iaitu masjidsultanyussuf.com.  Maklumat mengenai masjid ini termasuk khutbah sebulan sekali dapat diikuti dari laman sesawang ini.  Selain daripada itu maklumat mengenai kegiatan masjid melalui surat-surat edaran juga diperkelilingkan dari semasa ke semasa.     

Sidang hadirin yang di rahmati Allah sakalian,

            Langit tidak selalu cerah, sekali sekala dirundung awan, bagitu juga bumu tidak selalu kering, sekali sekala ditimpa hujan.  Bagitulah juga Masjid ini. Walau pun banyak gambaran kejayaan dan keseronokan tetapi Allah menduga kita dengan kejadian yang menyedihkan.  Tiga hari sebelum Hari Raya Idil Fitri tahun 1434 Setia Usaha Masjid ini, Allah Yarham Tuan Haji Mokhtar bin Saidin telah kembali ke Rahmatullah dengan sakit hanya beberapa hari.  Selang tiga bulan kemudian, Pengerusi Masjid ini Allah Yarham Tuan Haji Abdullah bin Mohd. Hashim pula mengikut kembali ke Rahmatullah.  Baru tiga bulan yang lepas pula, tiba-tiba Allah Yarham Ustaz Hazman Hashim Al Hafiz jatuh sakit dan dimasukkan ke Hospital KJP.  Dalam masa Ustaz Hazman di hospital, tiba-tiba dengan dengan mengejut Allah Yarham Tuan Haji Meoer Adam pula telah kembali ke Rahmatullah.  Lima hari kemudian Allah Yarham Ustaz Hazman pula mengikut Tuan Haji Meor Adam kembali ke Rahmatullah.  Jadi dalam masa tidak sampai setahun kita kehilangan 4 orang yang sangat banyak berjasa kepada Masjid ini.  Ini semua adalah suratan takdir yang terpaksa kita terima.  Walau pun kita telah membaca tahlil tadi tetapi marilah sekali lagi kita mensedekahkan fatihah kepada roh mereka. Al Fatihah.

            Sebenarnya dugaan kita tidak habis di situ. Dengan tidak disangka-sangka Timbalan Pengerusi Masjid , Tuan Haji Ahmad Radzi bin Ibrahim pula ditimpa sakit lebih sebulan dan hampir hilang pengelihatan beliau.  Al hamdulillah setelah berubat di Subang Jaya Medical Center nampaknya telah bertambah baik.  Marilah kita berdoa semuga beliau cepat sembuh dan dapat kembali bersama-sama kita pada masa kan datang.

            Sebagai Pengerusi Ahli Jawatan kuasa kariah Masjid ini, saya mengambil kesempatan pada malam Mesyuarat Agung kali ke 18 ini,  untuk mengucapkan terima kasih kepada semua  18 orang Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid ini yang telah mengorbankan masa dan tenaga untuk membangun, memelihara, memaju dan  mengimarahkan Masjid ini. Walau pun tidak mendapat apa-apa elaun tetapi kesungguhan mereka untuk menjalankan tugas memajukan masjid ini dapat saya rasakan.  Bagitu juga bersama-sama mereka ahli Jawatankuasa sebanyak 18 Biro yang dilantik oleh Masjid yang jumlah semuanya lebih 50 orang yang telah bersama-sama Pengerusi Biro mengurbankan masa dan tenaga dengan ikhlas untuk memajukan masjid ini.  Sebagai hamba Allah yang dhaif saya tidak dapat membalas jasa mereka tetapi saya menyerahkan kepada Rahmat dan Rahim Allah untuk mengganjarkan pahala kepada mereka.  Saya yakin Allah Amat Pemurah lagi Maha Penyenyang.

            Kepada Ahli Jemaah dan Ahli Kariah yang sentiasa memberi sokongan kepada semua kegiatan Masjid ini siang dan malam, sama ada dengan sokongan tenaga atau sokongan kewangan saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih.  Kepada yang sentiasa berulang berjemaah di Masjid ini saya mendoakan semua mereka dimasukkan di bawah naungan arasy Allah pada Hari Kiamat nanti.

            Akhirnya tetapi bukan tidak penting, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan yang telah hadir meramaikan Mensyuarat Agung Masjid pada Malam ini.           

            Saya juga ingin memohon ampun dan maaf jika terdapat apa-apa kekurangan dalam majlis ini yang tidak sedap didengar telinga dan tidak enak dipandang mata.  Bagitu juga jika terdapat kesilapan kami Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid ini dalam menjalankan tugas kami yang diamanahkan oleh Jabatan Agama Islam Perak, saya bagi pihak mereka dan diri saya memohon ampun dan maaf.  Kita semua akan kembali kepada Allah dan semuga kita menemui Allah dalam keadaan yang bersih.

Sebelum saya mengundurkan diri sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Haji Mohd. Yusup bin Husian yang telah sudi hadir memberi ucapan dan merasmikan Mesyuarat Agung kita pada malam ini.

            Sekian. Wabillah hi taufiq wal hidayah.  Wassalamu alaikum warahmatullah hi wabarakatuh.

 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

*