KHUTBAH JUMAAT 18 APRIL 2014

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sakalian,

            Marilah kita bersyukur ke hadrat Allah s.w.t., kerana telah memberi kita kesihatan yang   baik, dan dapat berkumpul di dalam Rumah Allah ini untuk menunaikan fardhu Jumaat pada hari ini.   Esok ialah 19 April 2014 iaitu hari ulang tahun Keputeraan Sultan Perak – Duli Yang Maha Mulia Sultan Azlan  Muhibuddin Shah ibn Almarhum Sultan Yussuf Izuddin Shah.  Baginda telah ditabalkan menjadi Sultan Perak yang ke 34 pada pada tahun 1984. Ini bermakna baginda telah 30 tahun memerintah negeri Perak. Mimbar ini mengambil kesempatan menyembahkan ucapan tahniah kepada baginda. 

            Di dalam sejarah kesultanan di Tanah Melayu, bagindalah Sultan yang salahsilah keturunannya bersambung terus menerus dengan ke kesultanan Melaka. Sultan Perak yang pertama ialah Sultan Muzaffar Shah, anakanda kepada Sultan Mahmud Shah iaitu Sultan Melaka yang terakhir, daripada  8 orang Sultan yang memerintah Melaka, dari tahun  1400 hingga 1511. Dua tahun sebelum Sultan Mahmud Shah mangkat di Kampar, Sumatra, serombongan pembesar dari Perak yang diketuai oleh Tun Saban, telah mengadap Sultan Mahmud Shah di Kampar, untuk memohon seorang daripada anakanda baginda di hantar ke Perak untuk ditabalkan menjadi Sultan Perak, kerana Negeri Perak tidak mempunyai Sultan. 

            Oleh keran anak Sultan Mahmud yang sulung, iaitu Raja Munawir telah ditabalkan menjadi Sultan Johor, maka Sultan Mahmud berkenan menghantar Raja Muzafar, anakada baginda yang kedua ke Perak untuk menjadi Sultan Perak pertama pada tahun 1528. Ini bermakna sejarah kesultanan Perak telah berumur 486 tahun hingga hari ini.  Sepanjang tempuh 486 tahun itu Negeri Perak sebenarnya tidak pernah dikalahkan oleh mana-mana kerajaan luar.  Ini bermakna negeri Perak ini pada hakikatnya tidak pernah dijajah oleh mana-mana negara luar kecuali oleh Jepun selama 3 tahun 8 bulan. 

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Pemerintahan Kesultanan Perak selama 486 tahun, dengan 34 orang Sultan yang berterusan itu, sebenarnya sangat panjang.  Kesultanan Melaka hanya bertahan selama 110 tahun dengan 8 orang Sultan.  Kerajaan Islam Bani Umaiyah di Damsyik bertahan selama 90 tahun sahaja dengan 14 orang khalifah.  Kerajaan Bani Abasiyah di Baghdad pun dapat bertahan selama 508 tahun dengan 37 orang khalifah – hampir sama dengan umur kerajaan negeri Perak.

            Kesultanan Negeri Perak dapat bertahan bagitu lama, kerana ketaatan rakyatnya mempertahankan takhta kerajaan Negari Perak.  Sejarah menunjukkan negari Perak adalah antara negeri yang kuat mempertahankan agama Islam.  Rakyat negeri Perak sejak dahulu sangat faham bahawa taat kepada pemerintah adalah satu kewajipan kepada umat Islam saperti firman Allah di dalam Surah An Nisa’ ayat 59: 

يَـٰٓأَيُّہَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ أَطِيعُواْ ٱللَّهَ وَأَطِيعُواْ ٱلرَّسُولَ وَأُوْلِى ٱلۡأَمۡرِ مِنكُمۡ‌ۖ فَإِن تَنَـٰزَعۡتُمۡ فِى شَىۡءٍ۬ فَرُدُّوهُ إِلَى ٱللَّهِ وَٱلرَّسُولِ إِن كُنتُمۡ تُؤۡمِنُونَ بِٱللَّهِ وَٱلۡيَوۡمِ ٱلۡأَخِرِ‌ۚ ذَٲلِكَ خَيۡرٌ۬ وَأَحۡسَنُ تَأۡوِيلاً

 yang bermaksud:  Wahai orang-orang yang beriman, taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (yakni orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu. Kemudian jika kamu berselisihan pendapat dalam sesuatu hal, maka hendaklah kamu kembali kepada (Kitab) Allah (yakni Al-Quran) dan (sunnah) RasulNya – jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula natijahnya. 

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sakalian,

            Negeri Perak mula terlibat dengan pemerintahan Inggeris ialah apabila Inggeris campur tangan dalam pertelingkahan antara Raja Ismail dan Raja Abdullah. Apabila Sultan Ali Inayat Shah iaitu Sultan Perak yang ke 24 mangkat pada tahun 1871, Raja Muda Abdullah yang sepatutnya ditabalkan menjadi Sultan, tidak berani hadir dalam istiadat permakaman Sultan Ali kerana merasa nyawanya  tidak selamat.  Setelah menunggu hingga 40 hari jenazah Sultan Ali belum dimakamkan, maka pembesar Perak lah melantik Bendahara Ismail menjadi Sultan Perak ke 25 dengan gelaran Sultan Ismail Riaayat Shah, kerana mengikut undang-undang Negeri Perak, bakal Sultan mestilah hadir pada istiadat pemakaman Sultan yang baru mangkat.  

Keadaan menjadi bertambah rumit, apabila berlaku pula pergaduhan antara orang-orang China, pelombong-pelombung bijih timah di Larut  iatu antara kumpulan Ghee Hin dan Hai San.  Orang-orang Inggeris telah mengambil kesemptan ini untuk campurtangan, kononnya bagi menyelesaikan kemelut perebutan takhta dan pergaduhan pelombong-pelombung China.  Campur tangan Inggeris telah bermula apabila perjanjian Pangkor di tandatangani pada 20 Januari 1824.  Dalam perjanjian itu Raja Abdullah, telah dipersetujui untuk ditabalkan semula menjadi Sultan Perak yang sah, dengan gelaran Sultan Abdullah Muhamad Shah ke II, dan Inggeris akan meletakkan seorang Resident atau Penasihat, untuk menolong pemerintahan Negari Perak.  Gaji Residen di bayar oleh Kerajaan Negeri Perak, tetapi semua nasihat Residen mesti diikut kecuali mengenai hal agama.  Tidak ada dalam perjanjian itu mengatakan Negeri Perak menjadi Tanah Jajahan British.

Mungkin  dengan senghaja British menghanatar J.W.W. Birch, seorang pentadbir  yang tidak tahu adat istiadat Negeri Perak, menjadi Resident British yang pertama di Perak, hingga telah menimbulkan pertentangan hebat oleh rakyat Perak kepada Residen.  Kita semua tahun Birch telah dibunuh dalam tahun 1875 dan Inggeris mengambil kesempatan dengan pembunuhan itu untuk mengasingkan Sultan Abdullah ke Pulau Sechelles dan menggantung hingga mati Dato’ Maharaja Lela dan Dato’ Sagor di Pasir Salak.  

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Selepas itu Inggersi telah menguasai pemerintahan Negeri Perak hingga Sultan dan pembesar-pembesar Melayu hanya mendapat elaun bulanan.  Semua ketua-ketua jabatan termasuk Ketua Polis, Pengarah JKR, Pengarah Pelajaran, Pegawai Daerah semuanya dimonopoli oleh orang Inggeris.  Walau bagaimana pun semua kuasa pemerintahan dijalankan atas nama Sultan. Ini bermakna pada hakikatnya Sultan adalah pemerintah yang sah bagi negeri Perak.  Semua keputusan yang dijalankan sepatutnya mesti mendapat perkenan Sultan.  Tetapi beransur-ansur Pegawai-Pegawai British telah membuat keputusan sendiri, hingga akhirnya Resident British itulah yang lebih berkuasa membuat semua keputusan. Ini bermakna pada praktiknya Negeri Perak telah dijajah semenjak tahun 1874 hingga tahun 1957 iaitu selama 83 tahun sahaja bukan 446 tahun saperti yang selalu disebut dalam Sejarah Malaysia.   

 Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Inggeris telah menguatkan genggamannya dengan menyatukan negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang menjadi Negeri Melayu bersekutu pada tahun 1896 dibawah seorang Resident General. Pulau Pinang, Melaka dan Singapura disatukan dan ditadbirkan terus sebagai Negeri Selat pada tahun 1826.  Sementara itu negeri-negeri di utara Tanah Melayu, iatu Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu dikuasai oleh Siam.  Nasib baik juga apabila Inggeris menandatangani Perjanjian Burney, atau Perjanjian Bangkok dalam tahun 1909 antara Inggeris dengan Siam, Negeri-Negeri itu diserahkan balik kepada Inggeris, termasuk Daerah Hulu Perak.  Jika tidak, mungkin Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu dan Hulu Perak senasib dengan Negeri Petani, Yala dan Narasiwat di Selatan Thailand saperti sekarang.   Tentang ini mungkin kita boleh berterima kasih sadikit kapada Inggeris.    

            Sejarah Negara kita mencatatkan: akhirnya Pada tahun 1909 Negeri Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, dan Johor telah disatukan menjadi Negeri-Negeri Melayu Tidak Besekutu –  dengan izin Non Federated Malay States.  Sejarah negara kita mencatatkan keadaan bagitu berterusan hingga Jepun berjaya menaklukkan Tanah Melayu pada 15 Februari tahun 1942.  Inilah tarikh sebenar seluruh Tanah Melayu termasuk Singapura di takluk dan dijajah secara ketenteraan oleh sebuah negara luar iaitu Jepun. Portugis Cuma menguasai kawasan Negeri Melaka sahaja tidak sampai ke Perak.. 

            Apabila Jepun menyerah diri kepada Pihak Berikat pada 15 Ogos 1945,  Inggeris telah berhasrat untuk menguatkan penjajahan dengan menyatukan semua negeri di Tanah Melayu di bawah Malayan Union.  Nasib baik pada masa itu telah ramai juga orang Melayu yang telah mempunyai kesedaran, kerana mendapat pelajaran di Mesir dan United Kingdom dan dapat membaca rancangan jahat British ini.  Penderitaan di bawah pemerintahan Jepun telah dapat menyatukan orang Melayu dan umat Islam untuk menetanag British. Pemimpin-peminpin Melayu dan Islam telah dapat mengkobarkan semangat orang Melayu untuk bersatu menentang orang-orang Jepun dan Inggeris.  Para alim ulama menyeru umat Islam bersatu dengan  ayat 103 dari surah Ali Imran: 

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْ‌ۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءً۬ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَٲنً۬ا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٍ۬ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡہَا‌ۗ كَذَٲلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَہۡتَدُونَ

yang bermaksud: Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan ingatlah  nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliyah dahulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu-padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka  lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu (disebabkan nikmat Islam juga). Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

             Ayat ini telah membakar semangat orang Melayu Islam untuk bersatu setelah mereka berpecah belah semasa pemerintahan Inggeris dan Jepun. Dengan menyatukan seluruh kekauatan tenaga orang Melayu, yang mendapat pedidikan agama dari Timur Tengah dan pendidikan Barat, dari United Kingdom akhirnya niat British menubuhkan Malayan Union dapat di patahkan, dan Kerajaan British bersetuju menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Malayu, dengan izin Federation of Malaya. Sebagai yang kita maklum, akhirnya bukan sahaja Malayan Union dapat dipatahkan, tetapi dengan usaha yang gigih dan mendapat kerjasama kaum lain, akhirnya kita bersyukur, kerana Tanah Melayu telah mendapat kemerdekaan pada tahun 1957.  

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sakalian,

            Kita patut lebih bersyukur kerana dalam tahun 1963, daerah Tanah Melayu telah diperluaskan hingga ke Sabah dan Sarawak dengan penubuhan Malaysia.  Jika kita amat-amati keluasan Malaysia sekarang, hampir sama dengan keluasan Kerajaan Malayu Melaka dahulu.  Kerajaan Melayu Melaka meliputi bahagian barat Sumatra iaitu Pasai, Perlak, Inderagiri dan Kampar.  Di selatan Siam meliputi Narasiwat, Petani dan Yala. Tetapi sekarang walaupun kita kehilangan Barat Sumatra dan Selatan Siam, kita mendapat pula Sabah dan Sarawak yang hampir sama keluasanya. Ini bermakna Kerajaan Malaysia sekarang hampir sama dengan keluasan Kerajaan Melayu Melaka dalam kurun ke 15 dahulu.

 

KHUTBAH KEDUA

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Kita harus sedar semasa menuntut kemerdekaan Raja-Raja Melayu mempunyai kedudukan penting dalam Perlembagaan Negara. Kemerdekaan tidak akan dicapai jika tidak mendapat perkenaan Raja-Raja Melayu.  Dengan sebab itulah pada  pada 5 Ogos 1957,  9 orang Sultan-Sultan di Tanah Melayu telah menandatangani Wasiat 7 perkara sebelum menandatangani Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Wasiat itu ialah:

  1. Kami nama dan kami panggil akan dia , bumu yang kami pijak dan langit yang kamu junjung ini Persekutuan Tanah Melayu
  2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu ishtihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang tasik dan hutan simpan Melayu hingga 50%, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
  3. Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu  untuk membenteras kekacauan dalam negara dan ancaman luar negara.
  4. Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.
  5. Kami ishtiharkan Islam adalah agama Persekutuan
  6. Kami tetapkan Bahasa Kebangsaan adalah Bahasa Melayu
  7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain.

      Kita semua tahu kandungan wasiat ini telah dimasukkan di dalam perlembagaan Malaysia dan telah diterima pada masa kita mencapai kemerdekaan.  Tetapi wasiat ini telah mula dipertikaikan dan kedaulatan Raja-Raja Melayu telah mula dipersoalkan.  Sebagai orang Melayu dan Islam kita patut merenung perkara ini.          

Print Friendly, PDF & Email

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

*