Khutbah Jumaat: 25 September 2009 = 06 Syawal 1430

Bersalaman sesudah selesai solat aidil fitri.
Bersalaman sesudah selesai solat aidil fitri.
Pendahuluan
Pendahuluan

Saya berpesan kepada diri saya dan kepada tuan-tuan sekalian: marilah kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa.  Ingatlah hanya orang-orang yang bertaqwa sahaja yang akan mendapat kemenangan di alam akhirat.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sekalian,

Bersyukurlah kita kepada Allah kerana kita telah sampai ke Bulan Syawal dan telah menyelesaikan tugas kita sebagai hamba Allah dengan berpuasa sebulan bulan Ramadan. Baru enam hari yang lepas kita telah pun menyambut Hari Raya Idil Fitri bersama kaum keluarga.   Bagi orang-orang mukmin dan mukminat yang bertaqwa kepada Allah, walau pun kita bersukaria menyambut Hari Raya tetapi perginya bulan Ramadan  yang amat istimewa itu telah meninggalkan kesedihan yang mendalam di sanubari kita.  Perginya bulan Ramadan terasa saperti hilangnya seorang yang amat kita dikasihi. Kita akan merindui Ramadan hingga setahun akan datang. Itu pun jika umur kita masih panjang.

Kita merindui Ramadhan di saat kita bangun dini hari menikmati makan sahur bersama keluarga.  Kita merindui masa berbuka puasa bersama keluarga di rumah atau bersama sahabat handai di masjid atau surau.  Kita terkenang pula kesyahduan bersolat tarawih bersama  jemaah yang lain dan bersama melaungkan salawat kepada Nabi Muhamad s.a.w. hingga bergema di seluruh ruang masjid atau surau.  Bagi yang dapat bertadarus kita terkenangkan kekhusyukan membaca ayat demi ayat dari Mashaf Al Quran bersama kumpulan masing-masing dengan harapan mendapat keridaan Allah s.w.t.

Kemeriahan Ramadhan
Kemeriahan Ramadhan

Bila sampai 10 terakhir bulan Ramadhan kita terkenangkan betapa tawaduknya kita bertahajud, bertaubat, bertasbih, berzikir dan bermunajat kepada Allah di akhir malam memohon keampunan segala dosa kita dengan doa semuga dihindarkan daripada siksaan neraka dan dikurniakan nikmat syurga. Disamping itu kita terbayang bagaimana kita berdoa dengan penuh harapan agar diketemukan dengan lailatul Qadr yang amat tinggi nilainya.  Akhirnya kita terkenang ketika kita mengadap amil untuk membayar fitrah diri dan tanggungan kita.

Segala kenangan ini tidak boleh kita dapati di dalam bulan lain kecuali bulan Ramadan.  Semuga kita boleh bertemu semula dengan Ramadhan tahun akan datang.   Kita mungkin tidak dapat merasa kenikmatan dan kelazatan menyambut Ramadan ini jika kita tidak bersungguh-sungguh menunaikan segala syariat yang telah dianjurkan oleh Nabi Muhamad s.a.w. kepada kita.

Bahtera Ramadhan
Bahtera Ramadhan

Kedatangan Bulan Ramdhan boleh di ibaratkan sebagai kedatangan sebuah kapal  yang sarat membawa berbagai-bagai barang berharga, yang singgah dijeti kampung kita selama sebulan. Kemudian kapal itu pergi  meninggalkan pelabuhan kita ke semudera luas.  Semasa kapal itu di jeti kita dapat naik ke kapal itu membeli berbagai-bagai barang yang berharga. Ramai yang membeli permaidani puasa.  Ada yang membeli baju terawih. Ada yang membeli cincin selawat, membeli subang tahajud, dan memborong kalung tadarus. Ada yang mengmbil hadiah zikir, tasbih dan takbir. Yang bernasib baik mungkin dapat membeli berlian lailatul kadar. Semuanya dengan harga yang sangat murah tetapi tinggi nilainya. Bukan lagi bertarah dunia tetapi bertaraf Rabbani dan boleh dijual di negeri akhirat dengan harga yang amat tinggi. Mungkin ada juga antara kita yang naik ke kapal itu memerhati sahaja – membuat ‘window shopping – dan balik dengan tangan kosong tanpa membeli apa-apa. Setelah kapal itu pergi baru kita menyesal mungkin juga ada yang tidak menyesal langsung.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sakalian,

Setiap individu yang mengalami bulan Ramadan ini tidak sama kenikmatan, kelazatan dan  kerinduan yang boleh di rasai.  Bukan mustahil ada orang Islam yang tidak merasa apa-apa pun dalam bulan Ramadan.  Saperti tidak sama perasaan orang yang menemui kekasihnya. Pada setengan orang  bulan Ramadan sama sahaja dengan bulan-bulan yang lain.  Sama saperti orang yang berjumpa kekasihnya tetapi perasaannya sama saperti berjumpa kawan-kawan biasa.  Bahkan ada orang yang mengalami bulan Ramadan dengan perasaan keluh kesah kerana Ramadan mengganggu kehidupannya.  Sama saperti orang yang berjumpa dengan orang yang tidak disukai.   Membebankan sahaja.  Setiap orang akan merasa sendiri berapa tinggi atau rendahnya puasa kita tahun ini.  Adakah puasa kita tahun ini semakin meningkat nilainya atau sama sahaja saperti tahun lepas dan berpuluh-tahun yang lepas kitalah sahaja yang dapat menilainya.

Pagi Aidilfitri
Pagi Aidilfitri

Mungkin amal ibadat kita tahun ini lebih merosot kerana kita mendapat tanggung jawab lain yang lebih berat.  Mungkin kerana kenaikan pangkat, kerana perniagaan yang bertambah besar, kerana anak cucu yang bertambah ramai atau kerana harta yang lebih banyak.  Tetapi apakah semua itu boleh mengganggu dan  menghalang kita daripada beribadat kepada Allah.  Jika kita merujuk kepada amalan-amalan Rasullah s.a.w. dan para sahabat baginda radiallah hu an hum: betapa besar pun tugas masyarakat yang di hadapi tetapi  mereka masih boleh beribadat  di sebelah malam.   Nabi sendiri dalam kesibukan berdakwah boleh beriktikaf selama 10 hari terakhir bulan Ramadan tanpa batal iktikafnya.  Saperti hadis yang di riwayatkan oleh At Tirmizi yang di kategorikan sebagai Hasan Sahih:

Sahih Bukhari: Kitab Al-I’tiqaaf: 1885 – ‏( ‏حَدَّثَنَا ‏ ‏عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يُوسُفَ ‏ ‏حَدَّثَنَا ‏ ‏اللَّيْثُ ‏ ‏عَنْ ‏ ‏عُقَيْلٍ ‏ ‏عَنْ ‏ ‏ابْنِ شِهَابٍ ‏ ‏عَنْ ‏ ‏عُرْوَةَ بْنِ الزُّبَيْرِ ‏ ‏عَنْ ‏ ‏عَائِشَةَ ‏ ‏رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا ‏ ‏زَوْجِ النَّبِيِّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم)

‏أَنَّ النَّبِيَّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏كَانَ ‏ ‏يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ الْأَوَاخِرَ مِنْ رَمَضَانَ حَتَّى تَوَفَّاهُ اللَّهُ ثُمَّ اعْتَكَفَ أَزْوَاجُهُ مِنْ بَعْدِهِ

Yang bererti: Daripada Aishah bahawasanya Nabi s.a.w. adalah ia beriktikaf pada sepuluh yang akhir bulan Ramdhan hingga diwafat akan dia oleh Allah.

Para khulafa’ Ar Rasyidin pula dalam sibuk mentadbirkan Negara masih boleh bertahajud di tengah malam. Salehuddin Al Ayubi dalam kesibukan menentang tentera Salib Kristian di Palestine masih boleh beribadat malam dalam bilik khas dirumahnya.

Kita tidak seharusnya mengurangkan ibadat kepada Allah kerana sibuk dengan tugas, anak cucu dan harta benda.  Allah telah mengingatkan kita tentang perkara ini di dalam Surah Al Munafiqun ayat ke 9:-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تُلْهِكُمْ أَمْوَالُكُمْ وَلَا أَوْلَادُكُمْ عَن ذِكْرِ اللَّهِ وَمَن يَفْعَلْ ذَلِكَ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ

Yang bermaksud:  Wahai orang-orang yang beriman! janganlah kamu dilalaikan oleh (urusan) harta benda kamu dan anak-pinak kamu daripada mengingati Allah (untuk menjalankan ibadat kepadanyaNya). dan (ingatlah), sesiapa yang melakukan demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi.

Dalam ayat di atas nyata sekali Allah melarang hambanya yang telalu sibuk dengan urusan anak pinak dan harta benda hingga lalai atau lupa untuk mengingati Allah dan beribadat kepadanya. Mereka yang terlalu sibuk dengan urusan harta benda hingga melupakan beribadat kepada Allah walau pun nampaknya saperti beruntung di dunia tetapi Allah mengatakan mereka adalah orang-orang yang rugi di akhirat.  Apalah guna kita dan anak pinak kita kaya raya di dunia tetapi kita bengkrap di akhirat.

Beribadah bersama keluarga
Beribadah bersama keluarga

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

Bulan puasa sepatutnya menjadi bulan latihan yang penting untuk mengubah cara hidup kita dalam beribadat kepada Allah.  Sepatutnya satelah menjalani ibadat bulan Ramadan yang berbagai macam itu sadikit sebanyak boleh meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah selepas Ramadhan saperti yang diharapkan oleh Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 183:-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

Wahai orang-orang yang beriman! di wajibkan di atas kamu  berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa.

Nyatalah di dalam ayat di atas Allah menegaskan bahawa tujuan diwajibkan berpuas adalah supaya orang-orang yang beriman itu semakin meningkat ketaqwaanya.  Sia-sialah orang yang berpuasa jika darjah ketaqwaanya tidak semakin meningkat. Bagaimanakah kita mengukur adakah ketaqwaan kita bertambah baik setelah berpuasa, kerana ketaqwaan adalah sesuatu yang amat subjektif untuk diukur dengan sebarang ukuran.

Taqwa menjelang Syawal
Taqwa menjelang Syawal

Sebenarnya kita boleh melihat dengan mata kasar jika ketaqwaan kita telah bertambah setelah kita menjalankan ibadah berpuasa.  Pertama: Dalam bulan Puasa biasanya kita bangun pukul 4.30 pagi untuk makan sahur.  Jika kita sungguh ikhlas dalam berpuasa kita tidak akan merasa susah untuk bangun pada pukul 4.30 pagi untuk bersolat tahajud menggantikan makan sahur dalam bulan-bulan yang lain. Tetapi ramai di antara kita apabila berlalu sahaja bulan Ramadan kita kembali bangun pukul 6.30 pagi hingga tidak sempat untuk berjemaah Subuh di Masjid atau surau seperti bulan Ramadan.  Ertinya puasa tidak dapat meningkatkan ketaqwaan kita.

Kedua: Dalam bulam Ramadan kita berkejar-kejar untuk berbuka puasa dan kembali bersolat terawih hingga kebanyakan Masjid penuh sesak dengan orang Islam bersolat terawih.  Tetapi bila bila Bulan Ramadan  meninggalkan kita, kita pun turut meninggalkan masjid.  Masjid yang dilimpahi dengan manusia selama bulan Ramadan tingga di ulangi oleh jemaah tradisi dua tiga saf sahaja.  Jika bagini gambarannya bolehkah kita mengatakan ketaqwaan kita telah meningkat.

Ketiga: Pada bulan Ramadan kita bersengkang mata bertadarus membaca Quran hingga habis 30 juzuk dalam sebulan.  Tetapi bila Bulan Ramadan berlalu Al Quran kembali ke tempat asalnya di dalam almari menunggu Ramadan tahun hadapan pula untuk dibuka semula. Jika Mashaf Quran itu boleh menangis nescaya basahlahlah muka Al Quran itu oleh tangisannya.  Tidakkah boleh  bila selesai bulan Ramadan kita berazam untuk mengkhatamkam Al Quran itu dua bulan atau tiga bulan sekali, jika tidak pun sebulan sekali saperti bulan Ramadan. Alangkah kecil hati bulan – bulan lain kerana di bulan mereka umat Islam tidak mahu membaca Quran.

Ke empat: Dalam bulan Ramadhan setiap malam kita bersolat witir.  Tetapi bila Ramadhan menghilang solat witir pun turut hilang bersama Ramadhan.  Pada hal solat witir itu disunat muakadkan pada setiap malam oleh banyak hadis-hadis sahih.  Sebenarnya kita disyariatkan bersolat witir pada setiap malam selepas solat Isyak jika kita takut kita tidak dapat bangun solat tahajud saperti Sabda Nabi s.a.w.

Jika kita dapat meningkatkan ibadat kita ketahap yang lebih baik selepas bulan Ramdhan maka barulah kita boleh mengatakan puasa kita telah dapat menambahkan ketaqwaan kita saperti yang di harapkan oleh Allah di dalam Surah Al Baqarah itu ayat 183 itu.

Print Friendly, PDF & Email

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

*