KHUTBAH JUMAAT 30 MEI 2013 – ISRAK MIKRAJ

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Kita berada di dalam masjid ini pada hari ini,dalam keadaan yang  sedih kerana kita telah kehilangan Raja yang sangat kita kasihi iaitu Al Marhum Sultan Azlan Muhibuddin Shah Ibni Al Marhum Sultan Yussuf Izzudin Shah.  Sebagaimana yang para jemaah maklum nama masjid ini diambil sempena nama ayahanda baginda Sultan Yussuf Izzudin Shah.  Oleh itu keluarga baginda sangat dekat dihati kita. Semuga Allah s.w.t. mencucuri Rahmat ke atas roh baginda. 

            Kemangkatan baginda ditakdirkan berlaku  pada 28 Rejab 1435 iatu sehari selepas 27 Rejab.  Kita sedia maklum: Ijmak ulama mengatakan pada malam 27 Rejab sebelum berpindah ke Madinah,  Nabi Muhammad s.aw. telah mengalami satu peristiwa yang sangat hebat yang tidak pernah di alami oleh semua manusia sejak Adam hingga hari kiamat iaitu baginda s.a.w. telah dijemput oleh Allah s.w.t. – pencipta alam ini – untuk mengadapNya di langit.

            Ibnu Kathir, ulama tafsir terulung dalam tafsir surah Al Israk, mengemukan lebih 40 buah hadis yang sahih, yang hasan dan yang dhaif yang meceritakan  peristiwa Israk dan Mikraj ini.  Ibnu Kathir membuat kesimpulan bahawa walau pun ada hadis yangmengatakan Nabi Muhamad berisrak dan bermikraj cuma dengan rohnya, tetapi pendapat yang kuat mengatakan Nabi Muhamad naik ke langit menemui Allah adalah dalam keadaan jaga dan dengan tubuh badannya sekali. Ibnu Kathir menghujjah bahawa ayat pertama Surah Al Israk membuktikan baginda naik ke langit dengan tubuh badanya dan secara sedar – bukan dengan mimpi iaitu ayat:  

سُبۡحَـٰنَ ٱلَّذِىٓ أَسۡرَىٰ بِعَبۡدِهِۦ لَيۡلاً۬ مِّنَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِ إِلَى ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡأَقۡصَا ٱلَّذِى بَـٰرَكۡنَا حَوۡلَهُ ۥ لِنُرِيَهُ ۥ مِنۡ ءَايَـٰتِنَآ‌ۚ إِنَّهُ ۥ هُوَ ٱلسَّمِيعُ ۡبَصِيرُ

                                         

Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.Ibu Kathir menghujjah:  jika baginda s.a.w. sekadar bermikraj dengan roh atau  mimpi sahaja, Allah tidak akan memulakan ayat itu dengan “Subhanal lazi – Maha suci Tuhan” kerana mimpi bukan peristiwa besar yang memerlukan Tuhan bersumpah.  Manusia biasa pun boleh bermimpi pergi ke mana-mana dalam satu malam.  Beliau menambah perkataan “bi ‘abdihi” yakni “hambanNya” adalah bermakna tubuh manusia yang ‘diasrakan’  atau yang di perjalankan.  Jika roh sahaja tidak perlu diperjalankan.  Pendapat ini sebenarnya telah diiktiraf  kebenarannya oleh kebanyakan ulama dari dahulu hingga masi kini. 

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sakalian,

            Ada yang bertanya mengapa perlu Allah s.w.t. memanggil Nabi naik ke langit untuk memberikan solat?  Mengapa tidak diberi di Masjidil Haram sahaja? Dalam sejarah kebangkitan para Rasul alaihmus salatu wassalam, Allah  memang memberikan wahyu kepada rasul-rasulnya melalui Malaikat Jibrail.  Jibraillah yang menjadi pengantara antara  Allah dan para Rasul.  Tatapi Al Quran menceritakan ada beberapa orang Nabi yang dipilih oleh  Allah untuk berdailog secara langsung dengan mereka.  Nabi Ibrahim alaihis salam berdailog dengan Allah di Babilon meminta Allah menunjukkan bagaimana Allah boleh menghidupkan manusia sesudah mati.  Allah meminta Nabi Ibrahim memotong beberapa ekor burang dan diletakkan di puncak  beberapa buah bukit.  Kemudian apabila diseru burung itu hidup dan terbang kembali kepada Nabi Ibrahim.

            Nabi Musa alaihis salam  dipanggil oleh Allah ke Bukit Tursina dan Allah berdialog dengan Nabi Musa saperti Firman Allah dalam Surah Al ‘Araf ayat 143.

وَلَمَّا جَآءَ مُوسَىٰ لِمِيقَـٰتِنَا وَكَلَّمَهُ ۥ رَبُّهُ ۥ قَالَ رَبِّ أَرِنِىٓ أَنظُرۡ إِلَيۡكَ‌ۚ قَالَ لَن تَرَٮٰنِى وَلَـٰكِنِ ٱنظُرۡ إِلَى ٱلۡجَبَلِ فَإِنِ ٱسۡتَقَرَّ مَڪَانَهُ ۥ فَسَوۡفَ تَرَٮٰنِى‌ۚ فَلَمَّا تَجَلَّىٰ رَبُّهُ ۥ لِلۡجَبَلِ جَعَلَهُ ۥ دَڪًّ۬ا وَخَرَّ مُوسَىٰ صَعِقً۬ا‌ۚ فَلَمَّآ أَفَاقَ قَالَ سُبۡحَـٰنَكَ تُبۡتُ إِلَيۡكَ وَأَنَا۟ أَوَّلُ ٱلۡمُؤۡمِنِينَ

Yang bermaksud: Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu  yang Kami telah di tentukan,  dan Tuhannya berkata-kata dengannya.  Maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaKu (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu”. Allah berfirman: “Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah kepada Gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya Engkau akan dapat melihatKu”. Setelah Tuhannya “Tajalla” (yakni menzahirkan kebesarannya) kepada Gunung itu, (maka) gunung itu menjadi  hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: “Maha suci Engkau (Wahai Tuhanku), Aku bertaubat kepadaMu, dan Akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku).

            Nabi kita Muhamad s.a.w. sebagai penghulu dan penyudah segala nabi dan yang bakal mempunyai pengikut yang paling ramai, diberi penghormatan oleh Allah lebih daripada Nabi-Nabi yang lain.  Oleh itu baginda s.a.w. di jemput oleh Allah mengadapNya di langit, bukan di bumi saperti Nabi-Nabi yang lain.  Hujah ini mungkin boleh menjadi jawapan kepada persoalan mengapa Nabi Muhamad s.a.w. dimikrajkan untuk menerima solat lima waktu.

       Dalam zaman sains dan teknologi sekarang ini, anak-anak muda kita mula menyoal: di manakan Sidratul Muntaha tempat Nabi Muhamad mengadap Allah s.w.t. itu.  Cuba kita bincangkan. Dalam hadis-hadis yang sahih kita diberitahu: Nabi Muhamad s.a.w. diperjalankan dari Masjidil Haram di Makah ke Masjidil Aqsa di Baitul Maqdis di Pelastine dengan mengenderai buraq bersama Jibrail. Kemudian dari Masjidl Aqsa Baginda mikraj ke  langit. Diriwayatkan baginda naik ke langit itu dengan tangga atau mikraj. Dalam Kamus Idris Al Marbawi ‘Mikraj’ di terjemahkan sebagai ‘tangga’. Tak mungkinlah tangga mikraj ituitu saperti tangga pekerja TNB memajat tiang elektrik.  Tentulah tangga itu sangat canggih.  Orang naik bangunan tinggi sekarang tidak memakai tangga lagi tetapi dengan lift. Jadi tidaklah mustahil,  “mikraj” atau tangga itu sebuah  “lift” ciptaan Allah dengan dinding transparent supaya Nabi boleh melihat sekelilingnya dan dilengkapi pula dengan kemudahan video dan sebagainya untuk memeperlihatkan kebesaran Allah dalam pakage lawatan yang amat hebat itu. 

            Hadis mengatakan: setelah Nabi  naik ke langit baginda  berjumpa dengan beberapa orang Rasul.  Diriwayatkan pada langit pertama baginda  berjumpa dengan Nabi Adam, langit kedua dengan Nabi Isa dan Yahya, langit ketiga dengan Nabi Yussuf, langit ke empat dengan Nabi Idris, langit kelima dengan Nabi Harun, langit ke enam dengan Nabi Musa dan langit ketujuh dengan Nabi Ibrahim. Persoalan timbul lagi. Langit itu dimana ? Cuba kita buat kajian.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sakalian,

Perkataan Arab bagi langit ialah sama’ yang jamak atau pluralnya samawat.  Kamus Idris Marbawi mencatatkan: Sama’ juga bermakna ‘angkasa  yang mengelilingi bumi dan semua yang berada di atas termasuk awan.  Jadi langit juga bermakna angkasa.  Cuba kita melihat ke angkasa untuk mengkaji dimankah  langit yang dilalui oleh Junjungan kita Nabi Muhamad s.a.w.  Kita harus ingat  Nabi Muhamad s.a.w. bukan mengembara ke alam akhirat. Baginda mengembara dengan tubuh badannya di alam kita ini  secara sedar, bukan mimpi. Fakta Sains dan astronomi mengatakan apabila kita terbang ke angkasa atau ke langit, selepas melepasi tarikan graviti bumi, kita  akan sampai ke kawasan yang kosong yang  tidak ada graviti dan udara.  Jika terus naik lagi kita akan  sampai ke kawasan tarikan atau gravity bulan yang merupakan langit bulan pula.

Jika terus naik lagi kita boleh sampai ke plenet-planet yang lain di dalam siatem matahari atau solar sistem kita iatu ke Mercury, Venus, Mars, Jupiter, Uranus, Neptune dan  Pluto.  Tiap-tiap planet itu ada angkasa atau langit masing-masing saperti langit kita.  Jika kita naik lagi kita akan keluar dari kawasan planet-planet matahari  dan akan sampai ke bintang yang lain saperti matahari kita dengan planet-planetnya  saperti solar sistem kita.  Jika kita terus naik lagi melepasi bintang itu kita akan berjumpa dengan berjuta-juta bintang lagi saperti itu dengan planet-planetnya.

Berjuta-juta bintang atau matahari ini terletak dalam satu kumpulan berbentuk saperti cakra dipanggil galaksi.  Galaksi kita ini dinamakan dinamakan Milky Ways atau Bima Sakti oleh Ahli Astronomi.  Jauhnya antara bintang-bintang ini tidak dapat lagi disukat dengan kilometer tetapi disukat dengan tahun cahaya.  Apa pula  yang ada  selepas galaksi Bima Sakti kita ini?  Melalui teropong-teropong gergasi  ahli astronomi mendapati ada  berjuta-juta pula galaksi atau kumpulan bintang  saperti Bima Sakti ini di angkasa luas sana . Subhanallah ! Bagitu besar dan agungnya kerajaan Allah hingga kita merasa kita cuma sebesar hama sahaja di alam ciptaan Allah ini. Sebahagian daripada kebesaran Allah inilah yang  diperlihatkan kepada Nabi Muhamad s.a.w. pada malam Israk dan mikraj itu saperi ayat pertama Surah Al Isra’ tadi.

Untuk menjawab persolan anak muda kita dimanakah Sidratul Muntaha tempat Nabi s.a.w. bermunajat dengan Allah kita mungkin boleh sahaja menjawab bagini. Tempat Nabi Muhamad bermunajat – mengadap Allah menerima solat itu boleh berlaku di mana-mana sahaja diangkasa lepas.  Boleh sahaja berlaku di salah satu planet dalam solar sistem kita.  Tetapi tidak munasabah :  kerana Niel Amstrong pun sudah sampai ke Bulan. Takkan Amstrong sama taraf dengan Nabi kita.  Justeru, mungkin di salah satu daripada bintang-bintang  di dalam galaksi Bima Sakti.  Mungkin juga di galaksi lain daripada galaksi kita.  Jika Allah berkuasa menjadikan berbillion-bilion bintang dilangit apakah susah kepada Allah untuk menyediakan satu tempat istemewa di mana-mana juga dalam alam ciptaanNya ini untuk Allah  berjumpa dengan kekasihNya Nabi Muhamad s.a.w. ? 

Di mana pula Nabi Muhamad berjumpa dengan Nabi-Nabi di langit pertama hingga ke tujuh lebih mudah untuk dibayangkan.  Allah Yarham Amaladdin Darus dalam tahun 80’an pernah mengandaikan Nabi Isa sekarang berada langit salah satu planet dalam solar sistem kita.  Tetapi adalah lebih baik jangan kita membuat andaian bagitu. Lebis selamat kita menyerahkan kepada Allah yang menentukanya. 

Setelah mengembara bagitu jauh, dan menyaksikan berbagai-bagai keajaiban kebesaran  kerajaan  Allah s.w.t. termasuk menyaksikan syurga dan neraka, yang disedikan untuk manusia dan jin, maka Allah menganugerahkan kepada Nabi Muhamad s.a.w. satu hadiah istimewa iaitu solat lima waktu sehari semalam.  Oleh kerana bagitu hebat penerimaan solat itu maka kita juga mesti  menerima solat itu dengan rasa yang hebat dan bangga dan dengan penuh kesyukuran. Malangnya di antara umat Islam ada yang merasa solat itu bukan satu penganugerahan Allah tetapi satu beban yang terpaksa dipikul. Sebenarnya para sahabat Nabi s.a.w. sebelum Israk Mikraj sentiasa menunggu-nungu bilakah Allah akan mensyariatkan cara bermunajat atau mengadap  Allah yang rasmi saperti yang di dapati oleh pengikut Yahudi dan Nasrani.  Bila solat disyariatkan mereka merasa saperti mendapat suatu anugerah yang amat berharga untuk mereka mendekatkan diri kepada  Allah dan mereka melakukannya dengan penuh ikhlas.

Cuba kita bayangkan jika solat tidak dianugerahkan kepada kita.  Kita tidak ada masa yang tetap untuk mendekatkan diri dengan Allah.  Kita lihat sahaja kepada penganut agama lain. Bilakah mereka bermunajat kepada tuhan kepercayaan mereka?  Penganut Kristian, Budha, dan Sikh cuma seminggu sekali pergi ke gereja dan ke kuil mereka.  Jika mereka ada masalah, mereka terpaksa menunggu seminggu untuk mengadu kepada tuhan kepercayaan mereka.  Ugama-ugama lain langsung tidak ada ketetapan waktu untk mengadap tuhan. Bagi kita umat Islam setiap hari sekurang-kurangnya lima kali kita boleh mengadap dan bermunajat  kepada  Tuhan kita, menyampaikan rasa kesyukuran, mengadu hal jika kita menghadapi kesusahan, kedukaan, kesempitan, kesakitan dan apa sahaja masalah  hidup kita.  Allah pun sangat suka kepada orang yang selalu berdoa.  Oleh itu jangan sekali-kali ada di antara umat Islam yang mengabaikan solat yang didapati oleh junjungan kita Nabi Muhamad s.a.w. dengan susah payah itu.

 

KHUTBAH KEDUA

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Sempena kita menyambut peristiwa Israk Mikraj ini marilah kita menghargai pemberian Allah kepada Nabi kita Muhamad s.a.w. pada malam itu iaitu solat lima waktu.  Solat itu tiang agama yang yang cerucuknya atau pilingnya dimulakan dilangit.   Kita patut bertafakur memikirkan keadaan umat Islam kita pada hari ini berhubung dengan solat,  Rukun Islam yang kedua ini.  Kajian-kajian yang dibuat oleh beberapa pihak menunjukkan sangat ramai umat Islam yang tidak bersolat atau mengabaikan solat.  Ada yang tidak bersolat langsung.  Ada yang solatnya tidak cukup lima kali sehari semalam.  Ada yang tidak sempurna solatnya. Kadang-kadang nampak dengan mata kasar solatnya tidak sah.  Misalnya wuduknya tidak sah kerana ada anggota wuduk yang tidak sampai air saperti sepatutnya.  Ada yang ruku’, iktidal, sujudnya tidak ada toma’ninah.  Ada yang fatihah dan tahiyatnya tidak betul makhraj dan barisnya. 

            Masalah ini mesti ditangani oleh semua institusi yang mentarbiahkan umat Islam.  Ini tanggung jawab ibubapa , tanggung jawab ustaz dan Ustazah, pemimpin masyarakat dan pemerintah.  Tanpa ketaatan mendirikan solat umat Islam akan terdedah kepada gejala keruntuhan akhlak dan lain-lain institusi masyarakat.  Solat sahaja yang boleh menjadi benteng pertahanan  umat kita saperti firman Allah didala surah Al ‘Ankabut ayat 45

ٱتۡلُ مَآ أُوحِىَ إِلَيۡكَ مِنَ ٱلۡكِتَـٰبِ وَأَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ‌ۖ إِنَّ ٱلصَّلَوٰةَ تَنۡهَىٰ عَنِ ٱلۡفَحۡشَآءِ وَٱلۡمُنكَرِ‌ۗ وَلَذِكۡرُ ٱللَّهِ أَڪۡبَرُ‌ۗ وَٱللَّهُ يَعۡلَمُ مَا تَصۡنَعُونَ

Bacalah serta Ikutlah (Wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari  Al-Quran, dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.

Print Friendly, PDF & Email

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

*