KHUTBAH JUMAAT 28 JAN 2011

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Hari ini ialah 24 hb. Safar tahun 1432.  Dalam tahun-tahun awal kemerdekaan dahulu, kedatangan bulan safar ini disambut dengan suasana yang muram; kerana bulan Safar ini dianggap bulan sial, bulan kemalangan dan bulan kekecewaan.  Jika berlaku kemalangan di  jalanraya atau apa sahaja kecelakaan dalam bulan safar ini maka terus sahaja dikaitkan dengan kesialan bulan ini.  Kepercayaan ini bukan sahaja dipercayai oleh orang awam yang  tidak mengerti hal-hal agama tetapi juga dipercayai oleh orang-orang yang berpendidikan agama. 

Justru kita dapati pada masa itu, ada orang yang berpendidikan agama mengetuai kepercayaan ini dengan menulis ayat-ayat tertentu pada sekeping kertas atau secarik kain dan direndam di dalam perigi atau kolam, kemudian mengajak anak kampung  mandi dari perigi atau berkubang di dalam kolam itu untuk menolak bala.  Upacara ini dilakukan pada hari Rabu akhir bulan Safar dan dikenal sebagai ‘mandi safar’.  Ada bukti-bukti yang menunjukkan kepercayaan ini diwarisi daripada saki baki kepercayaan agama Hindu yang mandi di dalam Sungai Ganjis untuk menyucikan dosa dan menolak bala.

 Alhamdulillah, kepercayaan ini telah dapat dikikis sadikit demi sadikit hingga jenerasi muda sekarang hampir-hampir tidak tahu lagi amalan dato’ nenek mereka dahulu – berkat usaha yang sungguh-sungguh yang dilakukan oleh para pendakwah kita.  Sebenarnya kepercayaan yang diwarisi dari agama Hindu dan Budha ini bukan Mandi Safar sahaja.  Banyak lagi amalan yang lain saperti melenggang perut, menepung tawar , bersanding diatas pelamin, menyemah rumah, main pantai  dan lain-lain lagi,  tetapi tidaklah bagitu mudarat kepada akidah.  Adat-adat  ini  telah menjadi amalan turun temurun kepada orang Melayu.  Ini bukanlah sesuatu yang amat menghairankan kerana sebelum Sultan Melaka – Paramaisuara – menganut agama Islam pada tahun 1409 Masehi,  dato’ nenek kita – orang Melayu – adalah beragama Hindu atau Budha.  Pendakwah-Pengakwah Islam pada masa mengambil pendekatan yang amat berhikmah dan bertolak ansur dalam mengajak orang Melayu memeluk agama Islam.  Mereka berpegang  kepada firman Allah di dalam Surah Ali Imran ayat 159 yang berbunyi:

فَبِمَا رَحۡمَةٍ۬ مِّنَ ٱللَّهِ لِنتَ لَهُمۡ‌ۖ وَلَوۡ كُنتَ فَظًّا غَلِيظَ ٱلۡقَلۡبِ لَٱنفَضُّواْ مِنۡ حَوۡلِكَ‌ۖ فَٱعۡفُ عَنۡہُمۡ وَٱسۡتَغۡفِرۡ لَهُمۡ وَشَاوِرۡهُمۡ فِى ٱلۡأَمۡرِ‌ۖ فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ (١٥٩) إِن يَنصُرۡكُمُ ٱللَّهُ فَلَا غَالِبَ لَكُمۡ‌ۖ وَإِن يَخۡذُلۡكُمۡ فَمَن ذَا ٱلَّذِى يَنصُرُكُم مِّنۢ بَعۡدِهِۦ‌ۗ وَعَلَى ٱللَّهِ فَلۡيَتَوَكَّلِ ٱلۡمُؤۡمِنُونَ

Yang bermaksud: Maka dengan rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu Wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka. Dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras , tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka, dan pohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah menetapkan azam (sesudah bermesyuarat, untuk membuat sesuatu) maka bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.

Perpedomankan ayat di atas, mereka tidak memaksa orang Melayu yang baru menganut Islam itu meninggalkan semua adat yang telah diamalkan turun menurun.  Mana-mana adat yang tidak sangat mudharat kepada akidah, dibiarkan diamalkan asalkan orang Melayu mahu menganut Islam.  Yang boleh diubahsuai saperti mandi mencuci dosa diganti dengan Mandi Safar.  Jampi mentera Hindu dan Budha yang memuja dewa-dewa digantikan dengan ayat Quran. Oleh itu kita tidak boleh menyalahkan para pendakwah dahulu melakukan perkara ini. Kita harus menerima hakikat bahawa mereka telah berjaya mengislamkan seratus peratus orang Melayu di Tanah Melayu.  Kita harus sedar,  pendakwah di Jawa, Borneo dan Sumatra tidak berjaya mengislamkan seratus peratus penduduk di kepulauan tersebut.  Bahkan hingga hari ini penduduk Melayu Pulau Bali masih beragama  Hindu.

Sabenarnya para pendakwah pada masa itu berharap apabila orang Melayu yang telah menganut Islam ini semakin berilmu, mereka akan meninggalkan amalan ini sadikit demi sadikit.  Malang bagi kita, Negeri Melaka telah dijajah oleh orang Barat sejak tahun 1511.  Fenomena malang ini telah membantutkan perkembangan ilmu pengetahuan orang Melayu khasnya tentang agama selama 400 tahun.  Dengan kekurangan ilmu pengetahuan kita lihat kepercayaan-kepercayaan ini terus diamalkan hingga kita mencapai kemerdekaan.

Di tahun-tahun menjelang  kemerdekaan barulah ada para ulama kita dan pelajar-pelajar agama yang balik dari Mesir dan Timur Tengah cuba mengubah adat-adat ini.  Alhamdulillah nampaknya semakin baik.  Adat mandi Safar dan main pantai telah ditinggalkan sama sekali.  Adat melenggang perut waktu mengandung anak pertama juga telah ditinggalkan.  Jampi mentera yang menyeru dewa-dewa telah berkurangan.  Perubatan tradisional telah menggunakan ayat-ayat Al Quran bagi menggantikan mentera yang diwarisi dari agama Hindu.

Tidak dapat dinafikan ada beberapa adat lagi yang patut di tinggalkan atau boleh diubahsui supaya tidak bercanggah dengan syariat Islam.  Adat bersanding yang telah diamalkan turun temurun mungkin boleh diubahsuai dengan diadakan dikalangan keluarga sahaja.  Adat menepung tawar bangunan dan kenderaan yang baru, boleh diganti dengan bacaan doa selamat dan bacaan Yasin. 

Kita harus membezakan di antara adat, khurafat dan bidaah.  Adat yang  tidak bercanggah dengan agama tidak dilarang  dalam Islam.  Adat orang Melayu memakai samping tidak salah dan tidak bercanggah dengan Islam.  Bahkan adat orang Arab yang tidak bercanggah dengan syariat Islam pun diteruskan oleh Nabi Muhamad s.a.w. selepas kedatangan Islam.  Adat memakai jubah dan serban tidak diubah oleh junjungan kita Nabi Muhamad s.a.w. Kita harus ingat Abu Jahal dan Abu Lahab pun memakai jubah dan serban.  Jubah adalah pakaian adat orang Arab dan pakaian Nabi.  Oleh itu jika kita memakai jubah dan serban,  kita mendapat pahala jika diniatkan untuk mengikut sunah Nabi.  Tetapi jika diniatkan untuk menunjukkan kewarakkan mungkin boleh mendapat dosa kerana riak dan ujub. 

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sakalian,

            Yang menjadi masaalah dalam masyrakat kita orang Islam ialah  kita tidak mendalami apa tujuan kita melakukan sesuatu.  Kita patut bermuhasabah dan berfikir semula mengapa kita melakukan sesuatu perkara bagitu.  Mengapa kita makan dengan tangan kanan ? Mengapa kita pakai seluar panjang bila berjalan ?  Mengapa wanita pakai tudung bila keluar rumah ?  Mengapa kita berkahwin ?  Mengapa kita menyuruh anak bersekolah ? Mengapa kita pergi sembahyang terawih ? Mengapa kita membaca talkin ?  Kita mesti boleh menjawab bahawa apa yang kita lakukan itu ada nas di dalam Al Quran atau hadis atau Qias ijtihad ulama yang muktabar.

            Kita tidak boleh menjawab, kita buat semua itu bagitu sebab kebanyakan orang lain pun buat bagitu.  Atau sebab masyarakat kita buat bagitu.  Atau sebab dato’ nenek kita buat – kita pun buat.    Jika kita menjawab memakai ukuran saperti ini samalah saperti umat-umat dahulu yang menentang Nabi-Nabi dan rasul-rasul kerana dato’ nenek mereka menyembah berhala.   Sedangkan perkara itu syirik dan kuffur. Allah menceritakan hal ini di dalam Surah Al Maidah ayat 104 yang berbunyi:

وَإِذَا قِيلَ لَهُمۡ تَعَالَوۡاْ إِلَىٰ مَآ أَنزَلَ ٱللَّهُ وَإِلَى ٱلرَّسُولِ قَالُواْ حَسۡبُنَا مَا وَجَدۡنَا عَلَيۡهِ ءَابَآءَنَآ‌ۚ أَوَلَوۡ كَانَ ءَابَآؤُهُمۡ لَا يَعۡلَمُونَ شَيۡـًٔ۬ا وَلَا يَہۡتَدُونَ

È     

Yang bermaksud: Dan apabila dikatakan kepada mereka: “Marilah menurut kepada apa yang telah diturunkan oleh Allah kepada RasulNya. Mereka menjawab: “Cukuplah bagi kami apa yang kami dapati dari datuk nenek kami mengerjakannya”. Mengapakah (mereka akan mengikut juga) sedangkan  datuk nenek mereka tidak mengetahui apa-apa dan tidak pula mendapat hidayah atau pertunjuk?

            Ayat ini mengingatkan kita bahawa kita tidak sepatutnya mengikut dengan membuta tuli apa yang telah dilakukan oleh dato’ nenek kita.  Setelah Al Quran diturunkan dan Nabi Muhamad s.a.w. mewariskan ribuan hadis kepada kita maka semestinyalah  kita menjadikan Quran dan Hadis sebagai kayu ukur semua perlakuan dan amalan  hidup kita.  Semua amalan kita baik yang mencakupi hal duniawi atau ukhrawi mestikah mengikut ukuran Quran dan Hadis.  Adat turun menurun kita walau bagaimana cantik pun jika bercanggah dengan Al Quran dan Hadis mestilah ditinggalkan atau disesuaikan dengan syariat Islam.  Cendiakawan Islam kita di Universiti mestilah mengakaji dan membuat penyelidikan dan thesis mengenai amalan kita yang bercanggah dengan syariat Islam dan mencadangkan cara mengatasinya.  Para pendakwah pula harus memperomosi cadangan-cadangan itu supaya amalan hidup kita benar-benar diterima dan di ridai oleh Allah apabila Surat Amalan kita dibentangkan di hadapan Tuhan kelak.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Dalam zaman siber ini amalan dato’ nenek kita yang tidak mengikut syariat tidak bagitu membimbangkan.  Yang lebih membimbangkan ialah amalan-amalan baru yang dikutip dari masyarakat globalatau masyarakat antarabangsa.  Sebagai contoh: kita ambil sahaja amalan berpakaian.  Sepatutnya kita sebagai orang Islam menerima ukuran Islam dalam berpakaian.  Ukuran Islam amat mudah.  Pakailah  apa sahaja asalkan menutup aurat.  Penampilan kita di tempat awam ialah yang lelaki mesti menutup bahagian badan antara pusat dengan lutut.  Yang wanita mesti menutup semua badan kecuali muka dan tangan.  Apa jenis fesyen, apa jenis kain atau fabrik dan  apa jenis warna pakaian yang ingin dipakai, tidak menjadi masaalah dalam Islam. 

            Islam tidak menyuruh memakai tudung pun.  Jika ada fesyen pakaian yang boleh menutup aurat tanpa memakai tudung silakan. Tetapi yang mudah menutup rambut dan bahagian dada yang sensitif ialah dengan memakai tudung. Di dalam Al Quran wanita disuruh menurunkan jilbab.  Oleh itu pakaian tudung diperomosikan kerana ia mudah dan memang kelihatan lebih cantik jika feyen tudungnya sesuai dan  anggun.  Yang menjadi masalah ialah ada ahli masyarakat kita tidak mengkaji mengapa ia memakai tudung.  Banyak yang menyangka memakai tudung akan kelihatan lebih cantik dan bersopan bukan sebab menutup aurat.  Oleh itu ia memakai tudung tetapi memakai pula t-shirt yang mendedahkan lengan atau memakai seluar ketat.  Ini berlaku kerana amlan berpakaian ini diukur mengikut ukuran mesyarakat bukan mengikut ukuran Quran dan Hadis.

            Amalan berpakain ini lebih teruk apabila ukuran pakaian itu bukan lagi mengikut ukuran masyarakat Melayu atau Malaysia tetapi mengikut ukuran masyarakat global atau masyarakat antara bangsa.  Fesyen pakaian global di mulakan oleh artis-artis Holywood dan Bolywood.  Lima enam tahun dahulu tidak bagitu teruk.  Yang dibuka cuma leher dan betis sahaja.  Tetapi sekarang ini,  yang didedahkan bukan leher lagi tetapi sehingga lembah antara dua bukit pun dipamerkan. Akhir-akhir ini separuh bukit itu pun sudah dipertontonkan.  Di bahagian bawah   bukan betis lagi bahkan  keseluruhan paha pun sudah dipamirkan. Di tengah pula lubang pusat pun dilondehkan untuk ditonton. 

            Dalam zaman siber ini pameran saperti ini dapat dilihat serta merta secara langsung dari beratus-ratus saluran TV  dan dari internet.  Oleh itu tidak hairan jika dalam beberapa bulan sahaja  masyarakat kita juga  telah dilanda taufan pendedahan dari Holywood dan Bolywood ini.  Kita boleh menyaksikan hari ini pakaian yang terbuka disebelah atas hingga menampakkan separuh bukit dan disebelah bawah terdedah hingga keseluruhan paha ini bukan sahaja  dipakai dalam majlis menerima anugerah artis, tetapi telah dipakai di pasar raya, di Taman Bunga, di jalan raya bahkan sampai di pinggir masjid dan surau juga.  Yang berpakaian bagitu sebahagian besar adalah orang bukan Islam.  Tetapi mata kita menyaksikan orang-orang Islam juga sudah berlumba-lumba meniru fesyen-fesyen pakaian saperti ini kerana tuntutan kebebasan dan hak asasi manusia. Sekarang jika kita tidak mau berdosa kita terpaksa memejamkan mata bila ke pasaraya.

            Jika hendak disenaraikan banyak lagi amalan dan budaya hidup kita yang telah tersasar dari ukuran Islam.  Cara kita berkenderaan kita meniru aksi formula one dan James Bond menunggang motosikal.  Cara pergaulan kita saperti tidak ada lagi larangan dan batasan antara lelaki dan perempuan. Cara kita berseronok juga sudah sampai ke peringkat tidak terhad. Kita nampak budaya hidup kita sama saperti budaya hidup kaum Add, Kaum Tsamud, Kaum Lut, Kaum Nabi Nuh yang telah dibinasakan oleh Allah. Apakah kita mau kaum kita dibinasakan saperti umat-umat dahulu.  Renungkanlah.

Print Friendly, PDF & Email

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

*