kHUTBAH JUMAAT 22 APRIL 2011

KHUTBAH JUMAAT 22 APRIL 2011 = 18 J. AWAL 1432.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Hari ini kita telah 18 hari berada di dalam bulan Jamadil Awal 1432.  Bulan Jamadil Awal ini, pernah mengukir sejarah gemilang dalam perkembangan Tamadun Islam.  Pada bulan Jamadil Awal tahun ke 8 Hijrah,  iaitu dua tahun sebelum kewafatan Nabi Muhamad s.a.w., telah berlaku satu peperangan yang amat menakjubkan.  Dalam peperangan ini 3,000 tentera Islam menghadapi 200,000 orang tentera musuh yang terdiri daripada 100,000  tentera Rom dan 100,000 orang musyrikin Arab. Sungguh menakjubkan kerana dalam peperangan yang amat tidak seimbang itu iaitu: musuh Islam 60 kali ganda lebih besar daripada tentera Islam tetapi tentera Islam yang mati cuma 12 orang sedangkan tentera Rome yang mati sangat ramai dan tidak dapat di pastikan jumlahnya.  Dalam lojik akal biasa, tentera Rome dan musyrikin Arab yang seramai 200,000 orang itu boleh menyapu bersih tentera Islam yang seramai 3,000 dalam bebarapa jam sahaja.  Tetapi ini tidak berlaku. Ini satu fenomena sejarah yang amat menakjubkan dan sesungguhnya  Allah Maha Berkuasa melakukan apa yang dikehendakinya.

            Supaya kita boleh menghayati kehebatan  dan keberanian mujahid-mujahid Islam pada masa itu menegakkan agama Allah, mari kita membuka lipatan  sejarah peperangan ini.  Peperangan ini di kenal sebagai peperangan Muktah yang berlaku dalam tahun ke 8 Hijrah atau tahun 629 Masehi. Muktah terletak kira-kira 800 km jauhnya dari Madinah – kira-kira sejauh dari Ipoh ke Bangkok.  Sekarang Muktah lebih di kenal sebagai Kerak atau Karak yang terletak di Jordan – kira-kira 100 km dari Amman ibu negara Jordan sekarang. Mengkaji Sejarah peperangan ini juga dapat menangkis tuduhan musuh-musuh Islam yang mengatakan: Islam sentiasa mencari peperangan dan pergaduhan dengan orang lain.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Peperangan Muktah ini berlaku kerana perbuatan yang  tidak beretika dan zalim yang di lakukan oleh musuh Islam terhadap umat Islam.  Pada tahun ke 8  Hijrah  – setelah berlaku perjanjian Hudaibiyah iaitu perjanjian damai di antara Rasullah dengan penduduk Makah maka uamat Islam di Madinah tidak lagi di ugut dengan peperangan dengan kaum Quraish di Makah.  Rasullah telah mengambil peluang masa tenang perdamaian ini, untuk mengahatar surat kepada Raja-Raja Eropah dan Asia menyatakan kerasulannya dan mengajak dengan baik mereka menganut agama Islam. Rasullah telah mengutus  surat kepada Heraculius, Maharaja Rom, Muqaqis Raja Farsi, Al Haris Raja Ghassan di utara Semennajung Arab, Najasyi Raja Habsyah dan   Haris Al Himyari Raja Yaman.  Surat-surat itu dibawa dengan tangan oleh para sahabat yang amat setia dan dipercayai oleh  Rasullallah.

Surat kepada Raja Ghassan  di utara Semenanjung Arab telah dibawa oleh seorang sahabat  bernama Al Haris bin Umair Al Azdi.  Negeri Ghassan ini terletak di daerah Jordan dan Syria sekarang dan  tertakluk di bawah kekuasaan Kerajaan Rome Timur.  Raja Ghassan bukan sahaja telah menghina utusan Rasullah saw tetapi telah bertindak kejam membunuh Al Haris bin Umair Al Azdi. Perbuatan ini bukan sahaja zalim tetapi juga satu penghinaan kepada maruah Islam dan melanggar mana-mana protokol antara bangsa. Dalam menjaga maruah Islam ini  Allah telah memerintahkan Rasulallah memerangi orang yang memusuhi dan menghina  Islam saperti firmannya dalam Surah Al Baqarah ayat 190.

(#وَقَـٰتِلُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ ٱلَّذِينَ يُقَـٰتِلُونَكُمۡ وَلَا تَعۡتَدُوٓاْ‌ۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ ٱلۡمُعۡتَدِينَ        

Dan hendaklah kamu perangi mereka kerana (menegakkan dan mempertahankan) ugama Allah akan orang-orang yang memerangi kamu, dan janganlah kamu melampaui batas (dengan memulakan peperangan); kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.

            Untuk menuntut bela kematian Al Haris,  Rasullah telah mempersiapkan satu angkatan seramai 3,000 orang tentera dengan di ketuai oleh Zaid bin Harithah – anak angkat baginda – untuk berhadapan dengan Raja  Ghassan.  Zaid seorang yang sangat dipercayai oleh Rasulallah dan telah 7 kali mengetuai peperangan menentang musuh-musuh Islam. Kepada tentera Islam baginda Rasulallah  berpesan:  jika Zaid bin Harithah tewas kepimpinan tentera Islam hendaklah diambil oleh Jaafar bin Abi Talib dan jika Jaafar juga tewas hendaklah diambil oleh Abdullah bin Rawahah. 

Tentera Islam pada mulanya tidak menyangka musuh yang akan di hadapi bagitu besar.  Raja Ghassan yang telah menjangka tentera Islam akan menuntut bela atas kematian Harith Al Azadi  telah meminta bantuan Kerajaan Rom. Maharaja Romiaitu  Heraculius,   telah menghantar 100,000 tentera yang lengkap bersenjata dipimpin oleh adiknya sendiri iaitu Theodore untuk membantu sekutunya Raja Ghassan.

            Apabila tentera Islam sampai ke Maan dekat Muktah barulah mereka mendapat maklumat bahawa tentera yang akan dihadapi bagitu besar – 200,000 orang.  Mereka telah mengadakan perbincangan bagaimana menghadapi musuh yang tidak disangka-sangka  itu.  Ada cadangan supaya ditulis surat kepada baginda Rasulullah di Madinah meminta bantuan atau berundur sahaja untuk sementara waktu.  Hampir-hampir lagi cadangan itu akan diterima.  Pada masa inilah Abdullah bin Rawahah yang terkenal dengan kepetahan dan keberaniannya menaikkan semangat tentera Islam dengan pidatonya yang berapi-api. 

Dr. Haekal menulis dalam bukunya “Sejarah Hidup Muhamad” bagini: Abdullah bin Rawahah berdiri dan berucap, katanya: “Apa yang tidak kita sukai itulah apa yang kita cari sekarang – iaitu mati syahid. Kita menentang musuh ini bukan kerana jumlah yang ramai tetapi hanyalah kerana mencari keredhaan Allah dan  Allah akan memuliakan kita.  Oleh itu marilah kita maju.  Kita akan memperoleh satu daripada dua ganjaran pahala: iaitu samada menang atau mati syahid.”  Saranan Abdullah itu telah membakar semangat pejuang-pejuang Islam.  Semuanya bersetuju untuk menggempur musuh walau apa pun risikonya. Mereka masih ingat dalam perang Badar 300 orang tentera Muslikin dapat menghancurkan tentera musyrikin seramai 1,000 orang. Dengan semangat ini mereka bergerak ke utara lagi hingga akhirnya mereka bertemu tentera Rome yang dipimpin oleh Theodore di Muktah.  

Dengan semangat juang dan inginkan syahid mereka menyerbu musuh yang saperti laut itu.  Sabenarnya semangat tentera Rome tidaklah tinggiuntuk berjuang mengalahkan orang Islam.  Dr. Ahmad Shalabi mengatakan: sebahagian tentera Rome terpaksa di rantai kakinya oleh Theodore supaya tidak melarikan diri dari peperangan.  

Tentera Islam bukan sahaja berbekalkan semangat ingin mati sebagai syuhada’ tetapi mereka diingatkan dengan firman Allah dalam Surah An Anfal ayat 15 dan ayat 45.

$يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا لَقِيتُمۡ فِئَةً۬ فَٱثۡبُتُواْ وَٱذۡڪُرُواْ ٱللَّهَ ڪَثِيرً۬ا لَّعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ (٤٥)   

Yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! apabila kamu bertemu dengan sesuatu pasukan (musuh) maka hendaklah kamu tetap teguh menghadapinya, dan sebutlah serta ingatilah Allah (dengan berdoa) banyak-banyak, supaya kamu berjaya (mencapai kemenangan).

$يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوٓاْ إِذَا لَقِيتُمُ ٱلَّذِينَ كَفَرُواْ زَحۡفً۬ا فَلَا تُوَلُّوهُمُ ٱلۡأَدۡبَارَ 

Wahai orang-orang yang beriman! apabila kamu bertemu dengan orang-orang kafir yang sedang mara menyerang, maka janganlah kamu berpaling undur dari menentang mereka. Dalam syariat Islam berpaling dari medan perang adalah satu dosa besar.

Dengan semangat juang yang bernyala-nyala Zaid bin Harithah mengatur tenteranya menyerbu tentera Rome hingga akhirnya beliau gugur syahid.  Dengan segera pula Jaafar bin Abi Thalib menyambut bendera peperangan dan mengetuai perjuangan.  Kedua-dua tangan Jaafar putus dan terpaksa memeluk bendera dengan lengannya yang kudung.  Akhirnya beliau juga syahid.  Bendera segera disambut pula oleh Abdullah bin Rawahah.  Akhirnya Abdullah juga syahid.  Bendera peperangan disambut pula oleh Thabit bin Arqam.  Thabit yang merasa dirinya kurang berkemampuan segera menyerahkan bendera kepimpinan kepada Khalid ibnu Walid. 

Khalid yang pernah mengalahkan tentera Islam dalam perang Uhud semasa beliau belum Islam, dan  sangat terkenal sebagai pakar menyusun logistik peperangan telah dapat menyusun semula tentera Islam dan menggempur musuh dengan gagah hingga tujuh bilah pedangnya patah.  Apabila malam peperangan dihentikan sementara.  Khalid membuat tipu helah dengan menaikkan debu pasir ke udara supaya nampak seolah-olah bantuan dari Madinah telah tiba.  Taktik ini telah menggerunkan tentera Rome dan pada pagi besuk tentera Rome yang memang tidak mempunyai semangat juang telah berundur dari Muktah ke utara.  Khalid pula mengambil kesempatan untuk memakamkan syuhada’ Muktah di sana. Hingga kini, sesiapa yang melawat Jordan boleh menziarahi makam Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Thalib dan Abdullah bin Rawahah di pekan Kerak atau Karak 100 km dari bandar Amman. Makam makam itu terletak di dalam Masjid Zaid bin Harithah.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalain,

            Walaupun Perang Muktah ini tidak disebutkan di dalam Al Quran saperti peperangan Badar, Perang Uhud, Perang Pembukaan Makah dan Perang Hunain tetapi peperangan Muktah ini mempunyai signifikan yang tersendiri di dalam sejarah perkembangan Islam.  Peperangan Muktah inilah pertama kali tentera Islam bersemuka dengan tentera bukan Arab iaitu tentera Rome.  Rome mempunyai jajahan takluk dari Eropah hingga ke Sham atau Syria, Mesir hingga ke Habsyah di Afrika.   Keberanian tentera Islam yang kecil umpama sekor pelanduk menentang tentera yang besar saperti gajah telah menggerunkan kerajaan Rome dan Farsi. Mereka mula sedar bahawa kumpulan orang Arab yang tidak pernah mempunyai kerajaan –  di bawah pimpinan Muhamad, seorang Rasul baharu  ini,  tidak boleh dipandang rengan.  Mereka telah bertekad untuk menghapuskan umat Islam.  Mereka telah menyiapkan 100,000 tentera untuk menyerang Madinah.

            Mendengar berita itu pada  bulan Rejab tahun ke 9 Hijrah,  Nabi Muhamad s.a.w. sendiri pula telah memimpin satu angkatan 30,000 orang tentera Islam untuk menghadapi tentera Rom. Peperangan ini dikenal sebagai peperangan Tabuk.  Ternyata setelah mendengar keberanian tentera Islam yang tidak takut mati dan dipimpin oleh Rasulullah sendiri itu amat menggerunkan tentera Rome. Akhirnya  tentera Rome seramai 100,000 orang telah mengundurkan diri. Nabi Muhamad telah kembali ke Madinah setelah membuat beberapa perjanjian damai dengan beberapa pembesar di daerah Tabuk. Pemimpin-pemimpin kabilah Arab itu telah menerima Islam dengan sukarela.

            Provokasi yang di lakukan oleh Kerajaan Rom dan Farsi ini telah dapat ditangani dengan baik oleh Khalifah-Khalifah Arrashidin kemudian hingga seluruh Kerajaan Farsi dan dan sebahagian daerah Rome  telah dapat digabungkan ke dalam kerajaan Islam dalam masa yang amat singkat.  Dalam masa 35 tahun sahaja iaitu di akhir pemerintahan Khalifah Osman ibn Affan kawasan pemerintahan Islam telah sampai ke Afrika Utara dan India.

            Dalam sejarah Tamadun Dunia pembentukan sebuah tamadun yang bermula dari sebuah  perkampungan kecil di Yasrib pada tahun pertama Hijrah kemudian dapat berkembang hingga ke Afrika di Timur dan India disebelah barat dalam masa 35 tahun adalah sangat menakjubkan. Ramuan kejayaan ini adalah kekautan imam dan semangat jihad yang di tanamkan oleh Rasulallah s.a.w. kepada para sahabat yang amat kental dan kukuh hingga mereka sanggup menyerahkan seluruh harta dan jiwa demi menegakkan agama Allah.

            Dalam kempen perang Tabuk yang dipmpin oleh Rasulallah yang memerlukan banyak benda.  Saidina Osman mewakafkan 700  ekor unta, 100 ekor kuda dan seribu dirham emas. Saidina Umar menafkahkan separuh hartanya manakala Sidina Abu Bakar menginfaqkan semua haratnya untuk peperangan Tabuk itu. Ini semua adalah hasil didikan Rasullah yang telah berjaya meyakinkan para sahabatnya bahawa dunia ini adalah persediaan untuk alam akhirat.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Mimbar ini menayangkan balik kisah ini pada bulan Jamadil Awal ini, untuk menginsafkan kita semua bagaimana umat Islam pada zaman para sahabat Rasulullah berjuang untuk menegakkan agama Allah dengan jiwa raga dan harta benda tanpa mengharapkan balasan dunia.  Para pejuang Muktah dan Tabuk tidak pernah bertanya apa yang akan didapati selepas balik dari peperangan.  Mereka tidak pernah bertanya berapa elaun dan milage yang akan dibayar oleh Rasulallah.  Mereka menggunakan pedang, panah, kuda dan unta sendiri untuk berjuang.

            Cubalah bayangkan jika kita dipanggil untuk berjuang menentang musuh-musuh Allah sekarang.  Mungkin berbagai dalih yang diberikan saperti yang dilakukan oleh orang-orang munafik semasa Rasullah mengajak mereka berperang.  Contoh terbaik ialah apabila kita diminta untuk berkorban harta bagi menolong saudara kita di Palestine yang dihalau oleh Yahudi: berapakah yang sanggup kita infaqkan.  Bayangkan  jika kita diminta menggadaikan nyawa untuk mempertahankan maruah Islam di Palestine.  Allah sahaja yang tahu apa yang ada di dalam hati kita.   Cubalah kita jawab sendiri. 

KHTBAH KEDUA.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Kita sedar maruah umat Islam sekarang memang terbalik daripada maruah umat Islam di zaman Rasulullah dan para sahabat dan para tabiin.  Di zaman meraka, mereka digeruni oleh umat manusia lain.  Negara Islam tidak berani di usik.  Apabila negara Islam dan Baitul Maqdis di takluk oleh tentera Salib pada tahun 1099 dengan segera Salihuddin Al Ayubi membebaskan Baitul Maqdis pada tahun 1187.  Tentera Salib cuma dapat memerintah Plestine selama 88 tahun sahaja.  Sekarang Yahudi telah menghalau orang Palestine dari tanah air mereka  sudah 63 tahun tetapi belum ada tanda-tanda orang Islam boleh menghalau Yahudi keluar dari tanah air mereka.  Ramai rakyat Palestine yang tinggal di khemah-khemah pelarian memandang dengan sayu  tanah mereka diduduki oleh orang-orang Yahudi dan mereka mendirikan mahligai dan tinggal bersenang lenang.

 Apakah mungkin seorang lagi Salehuddin Al Ayubi akan lahir untuk membebaskan Palestine dan Masjidil Aqsa ?  Allah sahaja yang Maha Mengetahui.  Apa pun, sebelum Salihuddin yang baru lahir semula, umat Islam mestilah  membantu rakyat Palestine dengan wang ringgit saperti yang ditunjukkan oleh Saidina Osman.  Jika kita tidak ada kuda dan dinar emas,  Ringgit Malaysia pun sudah memadai untuk dihulurkan kepada rakyat Palestine yang terinaya di tah air mereka.

Print Friendly, PDF & Email

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

*