KHUTBAH JUMAAT JUN 2014 – MENYAMBUT RAMADAN

MENYAMBUT RAMADAN

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Hari ini, alhamdulillah kita telah berada di akhir Bulan Syaaban iaitu 28 Syaaban 1435.  Insyaallah lusa, Hari Ahad 29 Jun 2014, kita umat Islam  di seluruh Malaysia akan mula berpuasa.  Ahli Falak telah menghisab dengan teliti dan mendapati anak bulan tidak dapat dilihat di mana-mana tempat di Malysia pada malam ini.  Tetapi oleh kerana Majlis Fatwa telah menetapkan bahawa penentuan berpuasa dan Hari Raya di Malaysia hendaklah berdasarkan rukyah dan hisab falakiah, maka proses melihat anak bulan akan terus dilakukan pada petang ini.  Jika anak bulan dapat dirukyah atau dilihat pada petang ini maka puasa akan bermula besok – hari Sabtu. Sebagai orang Islam, kita harus ber’iktikad: walau pun sesuatu perkara itu mustahil mengikut hukum adat tetapi jika Allah menghendaki berlaku maka ia boleh berlaku. 

            Kita sedia maklum bahawa kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan ini bukan suruhan Nabi Muhamad tetapi arahan langsung dari Allah s.w.t. saperti yang termaktub di dalam surah Al Baqarah ayat 183:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ

yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.  Oleh kerana ‘kutiba’ itu fiil ammar atau perbuatan perintah maka semua ulama menghukum bahawa puasa pada bulan Ramadan itu adalah wajib. Ia adalah salah satu dari Rukun Islam. Yang mengatakan puasa Ramdhan itu tidak wajib boleh menjadi kufur.

                        Kepada orang yang kuat iman dan takwanya Bulan Ramadan ini memang sangat-sangat ditunggu saperti seorang kekasih menunggu maksyuknya, saperti Laila menunggu Majnunnya dan Uda menunggu Daranya.  Ramai orang terlalu rindukan Ramdhan ini, hingga telah berdoa semenjak Bulan Rejab lagi dengan doa “Ya Allah berkatkanlah Rejab dan Syaaban dan sampaikanlah aku ke Bulan Ramadhan”.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sakalian,

            Mengapakah orang-orang yang tinggi taqwanya sangat merindui Ramadhan ini ?  Terlalu banyak hadis yang sahih yang merceritakan kelebihan Bulan Ramdhan ini. Di antaranya hadis Qudsi yang mengatakan “Aku sendiri yang akan memberi ganjaran kepada orang yang berpuasa”.  Masuk ke Bulan Ramadhan ini boleh diibaratkan, saperti orang yang masuk ke dalam sebuah gua yang dipenuhi dengan harta karun yang bertimbun-timbun saperti harta yang dikumpulkan oleh penyamun dalam cerita P. Ramli, Ali Baba dengan 40 penyamun di dalam guanya. Tetapi harta didalam gua Bulan Ramadhan itu bukan kepunyaan penyamun tetapi kepunyaan Allah s.w.t. Harta itu boleh dibawa balik  dengan sebuah beca atau boleh dibawa balik dengan lori dan disimpan untuk kegunaan di akhirat.  Oleh kerana harta itu  tidak dapat digunakan sekarang, cuma boleh digunakan di akhirat, maka ramai umat Islam yang tidak bagitu berminat untuk mengambil harta yang disediakan oleh Allah pada Bulan Ramadhan ini walau diberi percuma. 

Para jemaah yang akan berpuasa sakalian,

            Cuba kita masuk ke gua Raamadhan yang hebat ini.  Puasa bulan Ramadhan itu sendiri mendapat ganjaran pahala yang amat besar saperti sabda Nabi Muhamad s.a.w. yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim:

øÉ@øJô@Ãòg ôÅø¿ òÂúfò´@òM Bò¿ óÉò» òjø°ó« BõIBònøNôYAòË BõÃBòÀ@ôÍøG òÆBòzò¿òi òÂBòu ôÅò¿

 

Sesiapa yang berpuasa dibulan Ramadhan dengan penuh keimanan  dan mengharapkan pahala dari Allah, maka akan diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.  Bukankah dengan terampun semua dosa kita akan sudah layak masuk ke syurga ?   Cuma yang perlu kita lakukan ialah berpuasa mesti dilakukan dengan penuh keimanan dan dan mengharapkan balasan pahala dari Allah bukan kerana sebab-sebab lain.  

Bila masuk sahaja malam pertama bulan Ramadhan kita dihidangkan dengan juadah solat tarawih.  Pahala solat terawih ini boleh dikutip setiap malam bulan Ramadhan. Kita semua tahu solat terawih ini sangat besar pahalanya dan ia tidak boleh dilakukan di dalam bulan-bulan yang lain. Jika dilakukan di dalam bulan lain misalnya dalam bulan Muharam ia tidak sah dan tidak mendapat  pahala. Bahkan akan mendapat dosa kerana melakukan bidaah yang teran-terangan. Solat Terawih ini kita semua maklum boleh dilakukan sekurang-kurangnya 8 rakaat. Pada zaman Nabi dan zaman Saidina Abu Bakar solat Terawih dilakukan 8 rakaat sahaja secara bersendirian dan  tidak berjemaah.  Para ulama berpendapat Nabi melakukan demikian kerana tidak mau memberatkan umat Islam yang baru berjinak-jinak dengan Islam pada masa itu. Tetapi pada masa Saidina Umar Al Khatab r.a. menjadi Khalifah, baginda telah melakukan ijtihad dengan mengadakan solat terawih secara berjemaah sebanyak 20 rakaat. Ini kerana keadaan umat Islam telah mantap pada masanya. 

Oleh itu janganlah sesiapa mempertikaikan amalan melakukan solat Terawih 20 rakaat sebagai tidak mengikut ajaran Nabi Muhamad s.a.w.  Siapakah kita yang hendak mempertikaikan ijtihad yang dilakukan oleh Saidina Omar radial hu ‘an hu.  Saidina Omar bukan sahaja melakukan  Terawih 20 rakaat tetapi secara berjemaah pula.  Amalan Saidina Umar ini telah diikuti oleh para sahabat yang kemudian dan para tabiin.  Oleh itu jika kita ingin bersolat Terawih 8 rakaat maka lakukanlah.  Tetapi bagi bagi yang ada kelapangan, eloklah dicuba melakukan solat 20 rakaat.  Yang tidak betulnya langsung tidak bertarawih.

Ada orang yang mengatakan sama sahaja pahala berterawih  8 rakaat atau 20 rakaat.  Kalau difikirkan secara logik, mana mungkin pahala orang yang mengerjakan terawih 8 rakaat sama dengan pahala orang yang berterawih 20 rakaat.  Analoginya samalah saperti orang yang mengatakan durian kampong sama dengan durian Musang King. Bukankah durian kampung harganya 3 biji RM10.00 dan Musang King RM15.00 sekilo.  Kalau orang yang tahu kualiti durian dia tidak akan mengambil durian kampung, kalau kedua-dua jenis durian  itu  diberi percuma. 

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sakalian,

            Di samping solat terawih umat Islam dianjurkan supaya bertadarus sepanjang Bulan Ramadhan.  Mengikut riwayat, Nabi Muhamad s.a.w. sendiri bertadarus bersama dengan Jaibrail sepanjang Bulan Ramadhan untuk mempastikan tidak ayat yang di hafal oleh Nabi tertinggal.  Justeru pengikut-pengikut baginda juga bertadarus sepanjang Bulan Ramadhan. Bagi  kita bertadarus dalam Bulan Ramadhan tentulah sangat penting kerana di bulan lain ramai diantara kita yang sibuk hingga tidak dapat membaca Al Quran.  Sudah tentu pahala membaca Quran di dalam Bulan Ramadhan ini akan mendapat pahala yang berganda-ganda. Dalam bulan lain pun hadis sahih mengatakan setiap huruf quran yang dibaca akan mendapat 10 hasanah atau kebajikan. Jumlah huruf didalam Al Quran ialah satu juta dua puluh tujuh ribu (1,027,000). Berdasar hadis dia atas jika Quran dapat dikhatamkan dalam bulan Ramadhan kita akan mendapat 10,270,000 pahala. Bukankah sangat lumayan?.            

Setelah mengutip pahala solat terawih dan bertadarus sepanjang bulan Ramadhan, Allah s.w.t. Allah memberi satu lagi hadiah cepu emas yang amat besar nilainya iaitu lailatul Qadar.  Malam Qadar  ini bagitu mahal harganya hingga Allah merahsiakan bilakah malam itu berlaku.  Ada ulama yang mengatakan malam lailatul Qadar ini boleh berlaku pada mana-mana malam sepanjang Bulan Ramadhan.  Ada ulama yang mengecilkan kawasan pencarian lailatul Qadar itu pada 10 malam yang terakhir bulan Ramadhan.  Ada yang mengecilkan lagi kawasan pencariannya pada malam yang ganjil mulai 17 hingga akhir bulan Ramadhan itu.  Ada pula yang mengecilkan lagi malam lailatul Qadar itu pada malam 27 Ramadhan sahaja  hingga malam itu dipasang lampu sekeliling kampung supaya malaikat senang mencari rumahnya. Ini memang sudah melalut.  Sabenarnya Allah merahsiakan malam lalatul Qadar itu supaya hambanya beribadat lebih lama menghiupkan Ramadhan. Jika diberitahu tarikhnya manusia akan berjaga sepanjang malam qadar itu dan tidur nyanyak di malam-malam lain.

            Berapakah harga lailatul Qadar itu hingga berebut-rebut orang yang beriman dan bertaqwa mencarinya?  Harganya memang sangat tinggi.  Allah sendiri menjanjikan ganjaran pahala malam Qadar itu di dalam Surah Al Qadr ayat 1 hingga 5:

إِنَّآ أَنزَلۡنَـٰهُ فِى لَيۡلَةِ ٱلۡقَدۡرِ (١) وَمَآ أَدۡرَٮٰكَ مَا لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ (٢) لَيۡلَةُ ٱلۡقَدۡرِ خَيۡرٌ۬ مِّنۡ أَلۡفِ شَہۡرٍ۬ (٣) تَنَزَّلُ ٱلۡمَلَـٰٓٮِٕكَةُ وَٱلرُّوحُ فِيہَا بِإِذۡنِ َبِّہِم مِّن كُلِّ أَمۡرٍ۬ (٤) سَلَـٰمٌ هِىَ حَتَّىٰ مَطۡلَعِ ٱلۡفَجۡرِ (٥)

  

yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Qadar.  Dan adakah engkau mengetahui apakah kebesaran malam Qadar itu?  Malam Qadar itu lebih baik daripada seribu bulan.   Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, untuk mengatur segala urusan.  Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!

      Bayangkan betapa besarnya ganjaran orang  yang beribadat padasepanjang  malam Qadar itu.  Pahalanya  pada satu malam itu lebih banyak daripada beribadat seribu bulan.   Ini sama dengan beribadat selama 83 tahun 3 bulan 27 hari. Jarang orang yang boleh hidup hingga 83 tahun.  Maknaya jika sesaorang  dapat beribadat pada satu malam Qadar sahaja samalah saperti ia beribadat seumur hidup.  Kalau ia dapat beribadat 10 kali pada malam Qadar seumur hidupnya, bermakna ia telah beribadat selama 830 tahun.  Ini hampis sama dengan umur Nabi Nuh yang hidup selama  950 tahun.

Gambaran ini menunjukkan harga lailatul Qadar itu beribu-ribu kali ganda lebih mahal daripada harga  jongkong emas dan proton preve hadiah Pertandingan Quran atau Kilauwan Emas.  

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

      Untuk menggalakkan umat Islam mencari malam Qadar itu Nabi Muhamad s.a.w. mengajar umatnya beriktikaf di dalam masjid pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan kerana itulah kawasan pencarian lailatul Qadr.  Aset yang digunakan pun tidak mahal Cuma berjaga dan beribadat malam sahaja. Imam Bukhari, Muslim dan Abu Daud meriwayatkan bahawa Nabi Muhamad s.a.w. bersabda: Sesiapa yang hendak beriktikaf bersamaku maka hendaklah ia beriktikaf pada 10 terakhir bagi bulan Ramdhan.  Diriwayatkan Nabi akan masuk beriktikaf pada malam 21 Ramdhan dan cuma akan keluar dari masjid pada pagi Hari Raya.  Nabi Muhamad telah memberi isyarat setelit dimana hendak dicari lailatul Qadr itu.  Mungkin kita sangat lemah untuk mengikut beriktikaf sepenuhnya saperti Nabi.  Tetapi janganlah langsung tidak mencuba untuk beriktikaf tiga empat  jam pada 10 terakhir Bulan Ramadhan.  Kata pepatah Arab ‘Jika tidak boleh buat semua, jangan tinggalkan semua’.

      Amalan bulan Ramadhan: Puasa, solat terawih, tadarus,  dan  iktikaf  ini menggambarkan betapa hebatnya harta qarun yang disediakan Allah pada bulan Ramadhan ini.  Amatlah rugi jika kita cuma mengambilnya dengan beca atau dengan bag plastik  sahaja.  Sepatutnya kita membawa lori atau kontena untuk mengaut harta karun yang disediakan Allah pada bulan Ramadhan ini.  Allah tidak marah bahkan sangat suka kepada  orang yang mengambil sebanyak-banyak pahala pada bulan Ramadhan.  Kekayaan Allah sangat besar dan agung bukan saperti kekayaan penyamun dalam filem P. Ramli.

 

KHUTBAH KEDUA

 

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Dengan mejelangnya Bulan Ramadhan dua hari lagi ini marilah kita menyediakan diri secara fizikal dan mental untuk meyambut anugerah Allah pada  bulan Ramadhan yang barkat ini.  Bulan ini sangat berkat kerana pada bulan Ramadhan  inilah Al Quran diturunkan saperti firman Allah didalam Surah Al Baqarah ayat 185:

 شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِ‌ۚ فَمَن شَہِدَ مِنكُمُ ٱلشَّہۡرَ فَلۡيَصُمۡهُ‌ۖ وَمَن ڪَانَ مَرِيضًا أَوۡ عَلَىٰ سَفَرٍ۬ فَعِدَّةٌ۬ مِّنۡ أَيَّامٍ أُخَرَ‌ۗ يُرِيدُ ٱللَّهُ بِڪُمُ ٱلۡيُسۡرَ وَلَا يُرِيدُ بِڪُمُ ٱلۡعُسۡرَ وَلِتُڪۡمِلُواْ ٱلۡعِدَّةَ وَلِتُڪَبِّرُواْ ٱللَّهَ عَلَىٰ مَا هَدَٮٰكُمۡ وَلَعَلَّڪُمۡ تَشۡكُرُونَ

 yang bermaksud :bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu.  

            Marilah kita menyambut anugerah Allah yang tidak diberikan di dalam bulan yang lain.  Janganlah kita bertangguh untuk mengerjakan ibadah bulan Ramdhan ini pada tahun hadapan kerana tahun hadapan belum tentu kita akan sampai.  Umur kita semua didalam genggaman Allah.

 

Print Friendly, PDF & Email

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

*