Khutbah Jumaat 03 Sept. 2010

KHUTBAH JUMAAT 03 SEP 2010 

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Hari Jumaat ini kita berada ditengah-tengah dua hari kebesaran.  Empat hari yang lepas kita telah menyambut Hari Ulang tahun Kemerdekaan negara kita yang ke 53 dan insyallah minggu hadapan kita akan menyambut pula Hari Raya Idil Fitri 1431.  Kedua-dua hari kebesaran ini penting belaka kepada kita.  Kita merayakan kedua-duanya.  Sabenarnya jika kita tidak membesarkan atau merayakan salah satu daripadanya maka ia akan berlalu bagitu sahaja.  Misalnya Hari Raya Haji di Makah tidak bagitu terasa kerana pada hari Raya Haji umat Islam yang berjuta-juta di Mekah itu sedang sibuk berpindah dari Padang Arafah ke Mina untuk melontar jumrah.  Ada yang sepanjang pagi Hari Raya Idil Adha itu berada di dalam bas, keletihan jika basnya sesat jalan dan sampai ke Mina hanya pada tengahari 10 Zulhijjah. 

Maknnya, jika hari-hari kebesaran ini tidak disambut dengan meriah maka ia akan berlalu bagitu sahaja seolah-olah tiada hari kebesaran.  Sebagai contoh Hari kemerdekaan negara kita tidak pun terasa kepada orang di Singapura atau di Indonesia apatah lagi di Afrika atau di Amerika. Kita di Malaysia rasa teruja kerana kita  menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan ini  dengan meriah dan dengan penuh semangat patriotik.  Bagi genarasi baru yang di lahirkan selepas Merdeka mungkin kedatangan Hari Kemerdekaan ini tidak bagitu terasa keagungannya saperti rakyat Amerika – yang tidak merasa sangat yang mereka telah merdeka dari pemerintahan kerajaan British pada tahun 1776  kerana telah sangat lama berlalu.

Tetapi bagi mereka yang selalu mengkaji sejarah perkembangan tanahair kita, atau yang mengalami sendiri detik kemerdekaan itu, mereka akan  dapat merasa dengan lebih jelas bagaimana kemerdekaan itu bagitu berharga dan bagitu sukar di perolehi – walau pun dengan tidak menumpahkan darah.  Sabenarnya, teori yang mengatakan kemerdekaan yang kita perolehi ini tidak langsung menumpahlan darah juga tidak bagitu tepat jika kita menyorot sejarah menentang penjajahan ini sejak dari kejatuhan kerajaan Melaka lagi.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Jika kita menyelak lembaran  sejarah – melihat bagaimana negara kita mula dijajah kita dapati penjajah Portugis yang menaklukkan Melaka itu bukanlah kuat sangat.  Orang Portugis yang datang menaklukkan Melaka itu cuma 18 buah kapal layar sahaja.  Melaka bukanlah calang-calang negara pada ketika itu.  Melaka telah pernah mengalahkan sebahagian kerajaan Majapahit di Sumatra dan pernah mengalahkan angkatan laut Siam dan menguasi Selatan Siam. Melaka jatuh sebenarnya kerana ada pengkhianatan dari dalam dan amalan rasuah yang kuat.  Tun Seri Lanang menggamabrkan rasuah yang berlaku di Melaka dalan buku Sejarah Melayu : apabila Tun  Ali kesempitan wang ia akan mengambil tali dan mengukur untuk meluruskan jalan.  Apabila garisan tali itu terkena kepada kedai orang kaya-kaya di Bandar  Melaka maka orang-orang kaya ini akan memberi wang kepada Tun Ali dan Tun Ali pun tidak jadi membetulkan jalan.

 Ini adalah bentuk rasuah yang digambarkan secara  tersirat oleh Tun Seri Lanang.  Mengenai pengkhianatan: kita  membaca  cerita Kitul dan Raja Mudalir merasuah dan menghasut Laksamana Khoja Hasan supaya memberitahu Sultan Mahmud yang Bendahara Tun Mutahir hendak memberontak.  Fitnah ini berjaya dan Sultan Mahmud telah membunuh Bendahara Tun Mutahir sementelah Sultan Mahmid pula berdendam dengan Bendahara kerana tidak mengahwinkan baginda dengan anaknya Tun Fatimah.  Benarlah fitnah itu lebih besar daripada pembunuhan saperti firman Allah didalam surah Al Baqarah ayat 217

وَٱلۡفِتۡنَةُ أَڪۡبَرُ مِنَ ٱلۡقَتۡلِ‌ۗ

Dan  fitnah itu lebih besar (dosanya) daripada pembunuhan.

Selain daripada itu dikatakan rakyat Melaka sendiri ada yang belot dan ada yang berenang ke kapal Portugis untuk memberitahu kelemahan pertahanan Melaka kepada Panglima perang Portugis. Selain daripada itu perbalahan antara kaum India Muslim dan orang Melayu juga berlarutan dalam masyarakat Melaka.    Kita lihat kombinasi perkara-perkara mungkar yang dilakukan oleh rakyat Melaka sendiri akhirnya Melaka telah jatuh ke tangan Portugis pada 24 Ogos 1511.  Sultan Melaka yang penuh berdaulat terpaksaa meninggalkan Melaka hingga akhirnya baginda mangkat di Kampar, Sumatra.

            Kita lihat Sultan Mahmud telah mencuba sedaya upaya untuk mengambil semula kerajaan Melaka tetapi tidak berjaya kerana tidak mendapat sokongan sepenuhnya dari jajahan takluknya sendiri.  Kita lihat sejarah memaparkan bahawa  sekali kita telah hilang kekuasaan amat sukar untuk kembali berkuasa.  Kita terpaksa menunggu  446 tahun kemudian baru kita kembali menjadi negara merdeka.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Jika kita mengkaji bagaimana negeri-negeri lain di Tanah Melayu dijajah oleh British dalam kurun ke 19, terdapat juga unsur-unsur perpecahan. Terdapat perebutan kuasa di dalam kerajaan  Perak,  Selangor, Negeri Sembilan, Pahang  termasuk Singapura.  Kita dapati orang-orang Inggeris mengambil kesempatan daripada persengkitaan itu untuk menguasai negeri-negeri di Tanah Melayu.  Di Singapura Inggeris senghaja mengambil Tengku Hussain untuk menjadi Sultan di Singapura sedangkan Singapura adalah jajahan takluk Johor.  Dengan tipu helah menahan gaji Sultan Hussain hingga baginda terdesak akhirnya Inggeris berjaya menguasai Singapura.

            Di Negeri-negeri lain perebutan takhta telah di ambil kesempatan oleh Inggeris untuk menguasai negeri-negeri itu.  Orang Melayu sebenarnya tidak duduk diam sahaja menerima penjajahan.  Sejarah  menunjukkan penentangan orang Melayu kepada penjajahn Inggeris telah bermula sejak Inggeris mula menguasai negeri-negeri Melayu.  Panglima-panglima Melayu telah berjihad untuk memerdekakan tanahair mereka.  Di Melaka Dato’ Dol Said telah menentang Inggeris dalam  Perang Naning tetapi Dato’ Dol Said tewas. Di Perak Dato’ Maharaja Lela dan Dato’ Sagor dengan bantuan Raja Abdullah telah menentang Inggeris di Pasir Salak pada tahun 1875 tatapi   mereka tewas dan telah digantung di Pasir Salak.

Di Pahang Dato’ Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau telah berjihad menentang Inggeris pada tahun 1891  tetapi mereka juga tewas dan terpaksa lari ke Siam.  Di Kelantan Haji Mat Hasan atau Tok Janggut telah menentang Inggeris pada tahun 1915 tetapi ia juga terbunuh. Di Terengganu Haji Abd. Rahman Limbong telah menggunakan petani untuk menyerang Balai Polis Kauala Berang melawan Inggeris tetapi ia juga tewas pada tahun 1928. Di Serawak  penentangan kepada Inggeris di ketuai oleh Rentap, Sharif Mansor dan Abd. Ghafur manakala di Sabah penetangan kepada penjajah di ketuai oleh Rentap dan Antanum.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sakalian,

Mimbar ini memaparkan sejarah ringkas perjuangan awal menuntut kemerdekaan yang hampir semuanya gagal kerana penentangan kepada penjajahan untuk menuntut kemerdekaan pada peringkat awal dilakukan secara berselerak dan  secara bersendirian.  Masing-masing dengan cara sendiri. Hasilnya amat mengecewakan. Kesedaran kepada perlunya bersatu untuk menetang penjajah datang kemudian. Sebenarnya yang mula meniupkan semangat kemerdekaan ialah oleh orang-orang Melayu yang mendapat pendidikan agama di Mesir dengan membawa angin perubahan yang di semarakkan  oleh Jamaluddin Al Afghani dan Mohd. Abduh.  Mereka  memulakan dengan meniupkan semangat kebangsaan melalui surat-surat khabar  Al Imam, Al Ikhwan, Saudara, Majlis, Warta Malaya dan Utusan Melayu dan Warta Serawak   semenjak tahun 1906 lagi.  Gerakan ini dipelupuri oleh Syed Shekh Al Hadi, Abd. Rahim Kajai, Zaaba dan lain-lain.  Mereka meniupkan semangat supaya Orang Melayu bersatu bersatu berdasarkan firman Allah dalam Surah Ali Imran ayat 103

وَٱعۡتَصِمُواْ بِحَبۡلِ ٱللَّهِ جَمِيعً۬ا وَلَا تَفَرَّقُواْ‌ۚ وَٱذۡكُرُواْ نِعۡمَتَ ٱللَّهِ عَلَيۡكُمۡ إِذۡ كُنتُمۡ أَعۡدَآءً۬ فَأَلَّفَ بَيۡنَ قُلُوبِكُمۡ فَأَصۡبَحۡتُم بِنِعۡمَتِهِۦۤ إِخۡوَٲنً۬ا وَكُنتُمۡ عَلَىٰ شَفَا حُفۡرَةٍ۬ مِّنَ ٱلنَّارِ فَأَنقَذَكُم مِّنۡہَا‌ۗ كَذَٲلِكَ يُبَيِّنُ ٱللَّهُ لَكُمۡ ءَايَـٰتِهِۦ لَعَلَّكُمۡ تَہۡتَدُونَ

Yang bermaksud:  berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (ugama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai; dan ingatlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan, lalu Allah menyatukan di antara hati kamu,  maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara. Dan kamu dahulu telah berada di tepi jurang neraka  lalu Allah selamatkan kamu dari neraka itu. Demikianlah Allah menjelaskan kepada kamu ayat-ayat keteranganNya, supaya kamu mendapat petunjuk hidayahNya.

                Usaha mereka ini berjaya menyatukan orang-orang Melayu.  KIta lihat selepas itu orang-orang Melayu telah dapat menubuhkan Kesatuan Melayu Singapura dalam tahun 1926, Persatuan Sahabat Pena pada tahun 1934, Persatuan Melayu Perak pada tahun 1937, Persatuan Melayu Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Kesatuan Melayu Muda  pada tahun 1938.  Kita lihat selepas Persatuan Melayu Negeri-Negeri ini ditubuhkan barulah semua Persatuan Melayu ini telah menyatukan kekuatan dan menubuhkan satu persatuan besar yang  menjadi Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang akhirnya dikenal sebagai UMNO pada tahun 1946.  Kita lihat juga lebih kurang pada masa yang sama orang-orang China dan India juga menubuhkan persatuan mereka tetapi persatuan orang China lebih mirip kepada Parti Kaumintang di China dan persatuan orang India lebih mendekati Parti Congress di India.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalan,

            Allah s.w.t. telah mentakdirkan pada masa itulah Jepun menyerah kalah dan Inggeris kembali ke Negeri kita dan membawa konsep Malayan Union.  Kita lihat persediaan orang Melayu dengan penyatuan semua pertubuhan Melayu ini telah berjaya menentang Malayan Union yang akan menghapuskan sama sekali kuasa Raja-Raja Melayu saperti di Indonesia.  Dan sebagaimana yang kita semua maklum Negara kita telah dapat mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.  Tidak boleh dinafikan semangat kemerdekaan ini telah ditempa dengan darah Dato’ Maharaja Lela, Dato’ Bahaman, To’ Janggut, Abd. Rahman Limbong dan lain-lain pejuang yang jarang ditangisi. Jadi untuk mengatakan kemerdekaan yang kita perolehi dengan tidak menumpahkan darah adalah tidak tepat.

            Sejarah juga menyaksikan usaha untuk mendapat buah kemerdekaan ini bukanlah mudah dalam keadaan orang Melayu yang miskin melarat pada tahun 1957 itu.  Tengku Abdul Rahman terpaksa meminta sedekah untuk perbelanjaan perjalanan dan penginapan ke London.  Kaum wanita tidak teragak-agak  melondehkan gelang dan cincin perkahwinan untuk belanja Tengku ke London.  Yang lelaki memberi apa sahaja termasuk jam tangan untuk menjayakan projek yang amat besar ini.  Kita melihat Tengku Abd. Rahman terpaksa melobi Ahli Parlimen British satu persatu untuk menyokong tuntutan kemerdekaan.  Sesungguhnya kemerdekaan kita bukan diberi dengan dulang emas tetapi dengan titik peluh dan air mata. Allah mempermudahkan tuntutan kemerdekaan ini kerana orang Melayu dan Islam pada masa itu bersatu hingga  telah mengerunkan kerajaan British. 

Mimbar ini percaya jika orang Melayu dan Islam pada masa itu berpecah belah saperti orang Melayu hari in,i British tidak akan memberi kemerdekaan kepada kita pada tahun 1957. Kita lihat keadaan kita sekarang mempunyai senario hampir-hampir menyamai keadaan Melaka semasa di takluk oleh Portugis pada tahun 1511. Penyakit rasuah sudah agak teruk. Pesengkitaan antara orang Islam saperti tidak dapat dibendung lagi . Fitnah memfitnah sudah menjadi asam garam hidup.  Para ulama saperti sudah hilang arah ke mana hendak dituju. Orang-orang yang berada  menggunakan kekayaan untuk mendapat pangkat dan kedudukan. Orang-orang  yang menyerupai Kitol, Raja Mudalir , Tun Ali dan Laksamana Khoja Hasan  nampak berkeliaran di dalam gelap dan terang.  Sudah ada juga nampak samar-samar orang yang terjun ke laut memberitahu musuh kedudukan negara sendiri. Nampaknya saperti Hang Tuah sudah kehilangan Taming Sari dan Bendahara Paduka Raja sudah tidak dapat bersuara lagi.
  

خطبة كدوا

 Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Dalam suasana kegumbiraan menyambut Hari Kemerdekaan dan menyambut Hari Raya Idil Fitri ini marilah kita sama-sama bertafakur dan bermuhasabah memikirkan nasib bangsa kita dan anak cucu kita yang akan mewarusi  negara kita kelak.  Pepatah Inggeris mengatakan : ‘History repeats itsell’ – sejarah akan mengulang jejak langkahnya.  Mungkinkah sejarah orang Melayu kehilangan kuasa saperi tahun 1511 akan berulang.  Kerajaan Melayu Melaka dapat bertahan selama 100 tahun  tetapi kita baru merdeka 53 tahun. Apakah sejarah moden kita tidak boleh bertahan sehingga 100 tahun pun.  Insaflah !  Yang akan mengalahkan kita bukan Benggalai puteh atau orang Portugis tetapi Portugis moden dari selatan dan suku sakat Kitul dan Raja Mudalir.  Dalam alam yang bercampur baur, cuaca yang suram, kilat petir sabung menyabung kita kadang-kadang jadi keliru dan kehilangan arah.  Kita harus mengenal mana musah dan mana kawan yang sebenar.  Kita jangan terkeliru yang mana kaca yang mana intan.  Kita harus mengenal yang mana gunting yang mana pisau.  Jangan gunting memotong dalam lipatan akhirnya kain terburai.  Menang sorak kampung tergadai.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

*