KHUTBAH JUMAAT 15 NOV.2013

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sakalian,
Hari ini kita berada di Awal Bulan Muharram. Kehangatan menyambut Awal Muharram atau Maal Hijrah masih terasa diseluruh negara. Masjid kita insyallah akan menyambut Maal Hijrah pada malam besok iaitu Hari Sabtu malam Ahad 16 November 2013 bersamaan 12 Muharam 1435. Oleh itu semua ahli Jemaah dijemput hadir.
Hari ini ialah 11 hb. Muharram 1435. Semalam adalah 10 Muharram. 10 Muharam ini dikenal juga sebagai Hari Asyura. Semenjak sebelum merdeka lagi orang Melayu menyambut hari Asyura itu dengan memasak ‘bubur asyura’ yang resepinya mengadungi berbagai-bagai kacang dicampurkan bersama dan rasanya pun agak enak – bergantung kepada chef yang memasaknya. Tidak ada apa masalahnya membuat dan memakan bubur asyura ini dan amalan bersedekah bubur asyura itu memang boleh mendapat pahala.
Yang menjadi masalahnya ialah apabila bubur asyura ini dikaitkan dengan cerita taufan Nabi Noh. Memang ramai ulama yang mengatakan bahtera Nabi Noh itu mendarat di Bukit Judi pada 10 Muharam atau Hari Asyura. Tetapi mengaitkan kononnya Nabi Nuh mengumpulkan semua bijirin yang ada di dalam bahteranya untuk memasak bubur asyura memang telah jauh menyimpang daripada kebenaran. Tidak ada hadis yang menyebutkan bagitu. Oleh itu jika hendak memakan bubur Asyura, masak sahajalah. Jangan dikaitkan dengan bahtera Nabi Nuh.
Kepada kita Ahli Sunah Waljamaah hari Asyura ini disunatkan kita berpuasa. Ramai di antara kita yang berpuasa semalam. Bahkan Orang Yahudi juga berpuasa pada hari Asyura kerana dipercayai Nabi Musa terselamat daripada Firuan di Laut Merah pada Hari Asyura. Oleh kerana orang Yahudi pun berpuasa pada 10 Muharam, maka Nabi Muhamad s.a.w. menyarankan supaya kita berpuasa dua hari iaitu hari sembilan dan sepuluh Muharam. Hari sembilan Muharam itu dipanggil Hari Tasu’a dan Hari 10 dipanggil Hari ‘Asyura. Banyak hadis yang mengatakan pahala berpuasa hari Asyura ini amat besar. Shabaslah yang melakukannya.
Bagi puak Syiah pula mereka menyambut Hari Asyura ini secara besar-besaran kerana pada hari itulah Saidina Husain cucu Nabi Muhamad s.a.w. dibunuh oleh musuh-musuhnya di Karbala. Peristiwa ini, yang berlaku pada 10 Muharam tahun 61 Hijrah, memang menjadi satu titik hitam dalam sejarah Islam. Attobri meriwayatkan, Sayidina Hussin dipukul ditengkoknya oleh Zur’ah bin Syuraik At Tamimi, kemudian Husain di tikam dan dipancung tengkoknya pula oleh Sinan bin Anas. Ahli Sejarah mengatakan semua keluarga Saidina Hussin seramai 72 orang telah dibunuh pada hari Asyura itu di Karbala. Yang terselamat cuma lima orang termasuklah anak kecilnya Ali Zainal Abidin, emak saudaranya Zainab, saudaranya Sakinah, Fatimah dan Umar. Yang lebih menyayat hati, diriwayatkan bahawa musuh-musuh yang membunuh keluaaga Saidina Hussin itu bersolat zohor dengan berimamkma Hussin kemudian membunuhnya selepas solat zohor.

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sakalian,
Prof. Dr. Ahmad Shalabi menceritakan bahawa kedatangan Saidina Husain ke Karbala itu adalah atas jemputan orang-orang Iraq di Basrah yang berfaham Syiah. Orang-orang Iraq di Basrah, yang tidak menerima Yazid sebagai Khalifah Islam menggantikan Khalifah Muawiyah di Damsyik, telah menjemput Saidina Husain bin Ali dari Madinah untuk ditabalkan menjadi Khalifah di Basrah. Di katakana seramai 20,000 orang Syiah di Basrah yang bersedia membantu Saidina Huasin menjadi khalifah. Malangnya, apabila Saidina Husain sampai ke Karbala, orang Basrah telah mengkhianati Saidina Husain. Mereka tidak membantu Husai, bahkan membiarkan beliau dan keluarganya dibunuh dengan amat kejam sekali.
Orang-orang Syiah ini kemudiannya amat menyesal di atas perbuatan mereka yang membiarkan Husain dibunuh. Oleh itu mereka menubuhkan satu kumpulan yang dinamakan “Attawabun” yakni orang yang bertaubat, untuk membayar balik dosa mereka. Mereka pergi ke Karbala dengan penuh penyesalan dan menyiksa diri mereka dengan memukul badan termasuk dengan benda yang tajam hingga berdarah pada setiap 10 Muharam. Inilaha asalnya amalan menyiksa diri di Karbala pada Hari Asyura itu. Amalan ini dilakukan oleh sebahagian puak Syiah khasnya Syiah Asna Asyariahah di Iran dan Iraq hingga ke hari ini.
Amalan ini nyata bertentangan dengan syariat Islam. Di dalam Al Quran disebutkan jika membuat salah kita disuruh bertaubat dan memohon ampun kepada Allah sahaja saperti fiemannya didala Surah An Nisa’ ayat 110.
             
Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada Allah, nescaya ia akan mendapati Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Pada peringkat awal kumpulan puak Syiah ini cuma bertelingkah dalam hal politik untuk merebut jawatan khalifah sahaja. Ini sebenarnya tidaklah bagitu serius kerana perebutan jawatan khalifah dan perebutan pemerintahan secara politik adalah perkara biasa dalam sejarah Islam. Kita menyaksikan perebutan jawatan antara Saidina Ali dan Saidina Muawiyah,perebutan Kerajaan Bani Umaiyah, Kerajaan Abasiah, Kerajaan Turki Osmaniah hingga kerajaan Arab Saudi dan Kerajaan Syria sekarang. Tetapi masalah kaum Syiah ini telah bertukar dari perbalahan politik kepada perbalahan akidah.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,
Ahli sejarah berpenadapat percanggahan akidah yang hebat mula berlaku disekitar zaman keemasan pemerintahan Khalifah Abasiyah di Baghdad. Sejarah mencatatkan pada masa pemerintahan Khalifah Harun Ar Rasyid dan Al Makmum pada abad ke 3 Hijrah, kebebasan berkarya telah diberi galakan yang sangat hebat. Di sekitar abad ketiga Hijrah itulah lahirnya ulamak, yang telah memberi sumbangan hebat dalam ilmu dan tamaddun Islam. Masa inilah lahir Imam Ahli Sunah saperti Imam Hanafi, Imam Hambali, Imam Maliki, dan Imam Syafii. Pada abad ini juga lahir pengumpul-pengumpul Hadis saperti Imam Bukhari (wafat tahun 256 hijrah), Imam Muslim (wafat 261 H), Ibnu Majah(wafat 273 M) Abu Daud (wafat 275 H), Imam Termizi (wafat tahun 279 H) Imam Anasai (wafat 303 H).
Pada masa inilah juga lahir mengumpul-pengumpul hadis Syiah yang terkenal. Yang paling menonjol dan di anggap setaraf dengan Imam Bukhari ialah Abu Jaafar Al Kulaini yang lahir pada tahun 260 H dan mati pada tahun 329H. Ia mengarang kitab Al Kafi fi ilmul Hadith. Kitab ini mengandungi tiga bab iaitu Usul Al Kafi, Furu’ Al Kafi dan Raudat Al Kafi yang dikeluarkan dalam tahun 329 H iaitu iaitu selepas 73 tahun kematian Imam Bukhari. Puak Syiah menganggap Kitab Al Kafi karangan Al Kulaini yang mengandungi 16,000 hadis inilah kitab hadis yang paling sahih dan mereka tidak mengiktiraf hadis-hadis yang dikumpulkan oleh Bukhari, Muslim dan lain-lain hadis ahli sunah.
Para pengkaji fahaman Syiah memetik beberapa bab penting dariapad Kitab Al Kafi karangan Al Kulaini yang dianggap telah tersasul dari ajaran Islam. Di antara tajuk-tajuk di dalam Kitab Al Kafi itu adalah:
• Imam 12 adalah pembawa perintah Allah dan penyimpan ilmu Allah.
• Imam 12 itu adalah cahaya Allah
• Imam 12 mewarisi ilmu Nabi Muhamad dan Nabi-Nabi yang lain.
• Tidak ada orang yang mengumpulkan Quran yang lengkap kecuali para Imam 12.
• Imam 12 mengetahui apa yang telah terjadi dan apa yang belum terjadi. Tidak ada yang mereka tidak ketahui.
Huraian tajuk-tajuk yang di atas nyata telah menggoncang tiang akidah umat Islam. Apabila kesasihan Al Quran yang ada sekarang dipertikaikan maka keseluruhan hukum hakam Islam akan bergoncang. Bagitu juga apabila Imam mereka yang 12 boleh mengetahui perkara-perkara yang akan datang, maka mereka telah menyamakan sifat Allah dengan sifat imam mereka. Ini akan meruntuhkan Rukun Iman dan kepercayaan umat Islam.
Sebagaimana yang kita maklum Imam mereka yang 12 itu ialah: Saidina Ali, Hasan, Husian, Ali Zainal Abidin, Muhamad Al Baqir, Jaafar Assadiq, Musa Al Kazim, Ali Ar Rdha, Muhamad Al Jawad, Ali Al Hadi, Hasan Al Askari dan yang akhir Muhamad Al Mahdi Al Muntazar. Al Mahdi Al Munazar dikatakan hilang pada tahun 260 Hijrah iaitu tahun kelahiran Al Kulaini.
Orang Syiah percaya Imam Mahadi Al Muntazar ini akan keluar dari persembunyiannya sebelum kiamat membawa Al Quran Mashaf Fatimah yang mengandungi 17,000 ayat. Ia dikatakan akan membunuh semua khalifah Ar Rashidin iaitu Abu Bakar , Umar, dan Osman yang dipercayai akan dihidupkan semula sebelum kiamat untuk menerima hukuman. Mereka juga beriktikad semua sahabat Nabi telah murtad selepas kewafatan Nabi Muhamad s.a.w., kecuali Miqdad bin Al Aswad, Salaman Al Farasi dan Abu Zar Al Ghifari.
Masalah kaum Syiah bukan sahaja dari segi akidah tetapi juga dari segi ma’amalat. Mereka memperomosikan kahwian mut’ah. Ahli Sunah percaya kahwin mt’ah telah diharamkan oleh Nabi Muhamad s.a.w. selepas peperangan Khaibar. Orang Syiah mempertikaikan pengharaman itu dan terus mengamalkan kahwin muta’ah hingga hari ini.
Di kalangan pengikut Syiah, kahwin mutah boleh dilakukan untuk beberapa tahun, beberapa bulan, beberapa minggu, bahkan beberapa jam bergantung kepada pesetujuan kedua pihak. Inilah tarikan kuat mengapa dikatakan fahaman Syiah ini telah merebak dikalangan masyarakat kita termasuk di Pusat-pusat Pengajian Tinggi dan di kalangan professional. Mufti Sabah memberitahu: 17 permohonan kahwin mut’ah dikemukankan di Pejabat Daerah di Sabah semenjak tahun 2010 hingga 2012.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,
Kita menghadapi masalah besar untuk mengesan pengikut Syiah kerana mereka mengamalkan amalan ‘Taqiyah’ iaitu berpura-pura atau menyembunyikan identiti sebenar mereka, apabila berhadapan dengan orang yang boleh memberi masalah kepada mereka. Mereka mempunyai bentuk solat yang tidak sama dengan kita. Dikatakan jika mereka bersolat Jumaat mereka akan bangun cepat selepas salam dan bersolat zohor kerana kepada mereka Solat Jumaat bukan wajib ‘aini. Solat Jumaat cuma taqiyah.
Kita tidak akan sedar, kerana kita menyangka mereka bersolat sunat Jumaat. Dalam Kitab Al Kulani , Usul Al Kafi Jilid 2,halaman 217 menyebutkan ” Tidak beragama orang yang tidak mengamalkan taqiah” Bukan menjadi rahsia lagi mereka mengamalkan solat jamak tanpa apa-apa sebab. Oleh itu solat mereka tinggal 3 kali sahaja sehari. Ini memang sangat diminati oleh anak-anak muda kita. Oleh itu tidak hairan jika golongan remaja amat mudah terperangkap dengan amalan puak Syiah ini.
Oleh itu jika ada anak-anak kita atau keluarga kita yang berwuduk atau mengerjakan solat yang ganjil, kita harus berhati-hati dan menyelidik latar belakang dan kawan-kawan mereka. Maklumat daripada JAKIM dan Jabatan Agama Negeri-Negeri mengatakan puak Syiah ini sedang bergiat untuk menyusup masuk ke dalam badan-badan kerajaan dan bukan kerajaan atau NGO dan juga pusat-pusat pengaajian tinggi. Jabatan Agama juga menghadapi masalah mengesan mereka kerana amalan Taqiyah yang mereka lakukan.
Di Malaysia dikatakan pengukut Syiah telah mencapai angka puluhan ribu. Di Indonesia penganut Syiah telah mencapai angka 5 juta. Mengikut Shekh Yusuf Qurdawai terdapat 100 juta pengikut Syiah diseluruh dunia berbanding dengan 1.7 billion ahli sunnah wal jamaah. Dibeberapa buah Negara puak syiah telah berjaya memporak perandakan Negara berkenaan. Oleh itu berhati-hatilah supaya Negara kita tidak turut terperangkap.

KHUTBAH KEDUA
Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,
Sempena menyambut Maal Hijrah atau tahun baharu Islam ini marilah kita berhati-hati menghadapi fitnah-fitnah yang timbul di akhir zaman ini. Mungkin fitnah-fitnah ini sebahagian daripada alamat-alamat kiamat yang disabdakan oleh Nabi Muhamad s.a.w. di dalam beberapa hadis sahih. Kita menghadapi ancaman akidah dari fahaman libralime, fahaman pluralism, LGBT, ajaran sesat, fahaman Syiah, faham Khawarij, fahaman Muktazilah, fahaman Qadariah, fahaman Jabariah, fahaman Qadiani selain daripada keruntuhan moral yang melibatkan amalan zina, berpakaian mendedahkan aurat, minuman keras, judi dan berbagai-bagai lagi yang senarainya sangat panjang.
Kita dan anak cucu kita hanya boleh terselamat cuma dengan mencari dan memberi ilmu pengetahuan agama yang sahih dan mendalam. Hidup dizaman kita ini, ibarat meniti di atas titian licin yang boleh terjatuh bila-bila sahaja, jika tidak berhati-hati dan mempunyai persedian yang cukup menghadapi semua pancaroba ini.

Print Friendly, PDF & Email

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

*