Khutbah Jumaat 23 Mac 2012

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Alhamdulillah, dua hari lepas  anak-anak kita yang menunggu keputusan peperiksaan SPM, telah mendapat keputusan masing-masing.  Yang mendapat keputusan cemerlang, melonjak gembira kerana penat lelah dan usaha yang dijalankan mendapat kejayaan.  Bagi yang mendapat keputusan yang rendah atau yang gagal,  akan kecewa dan ada yang menyesal, kerana tidak berusaha dengan bersungguh-sungguh bagi mendapat keputusan yang cemerlang.  Mimbar ini mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada anak-anak yang berjaya, dan kepada yang kurang berjaya,  jangan kecewa kerana ada masa boleh mencuba lagi tahun hadapan.

            Sebenarnya peperiksaan ini adalah satu cara penilaian, yang dibuat bagi mengukur kebolehan seseorng calun, dibandingkan dengan calun-calun  yang lain.  Jika tidak ada peperiksaan, kita tidak dapat mengukur siapakah yang lebih baik, yang lebih pandai, dan yang lebih berketerampilan, di antara pelajar-pelajar kita.  Sebenarnya, selain daripada peperiksaan SPM, PMR, STP,  ada berbagai-bagai lagi peperiksaan, ujian dan penilaian diadakan diperingkat sekolah.  Ada ujian bulanan, ada ujian percubaan, ada ujian praktikal di bilik makmal, ada ujian sukan di padang dan macam-macam lagi – semuanya dibuat dengan tujuan untuk mengukur kebolehan pelajar. Tidak ada ujian yang dibuat kerana seronok-seronok cikgu sahaja.      

Di peringkat Pengajian Tinggi pula, ada peperiksaan untuk Sarjana Muda untuk Sarjana dan Doktor Falsafah yang dibuat dalam berbagai-bagai bentuk. Ada dalam bentuk bertulis, ada yanga berbentuk praktikal, dan ada juga dalam bentuk pembentangan thesis atau kajian ilmiah. Semua ujian ini dibuat bagi mengukur kebolehan, ketekunan dan kesabaran sesaorang calun.  Dalam pasukan tentera, ujian-ujiannya lebih mencabar lagi, hingga kadang-kadang mempertaruhkan nyawa, apabila peluru hidup digunakan. Biasalah,  ujian atau peperiksaan itu senghaja dibentuk bagitu rupa,  sehingga nampak saperti menyusahkan peserta, hingga ada yang menangis menghadapinya, kerana terlalu susah dan berat.  Tetapi semua itu dirangka oleh pengelolanya, untuk membuat penilaian siapa yang baik dan paling baik; dan siapa pula yang lemah dan  paling lemah. 

Sidang Jumaat yang di rahmati Allah sakalian,

Tanpa kita sedari, semua manusia;  dari zaman Nabi Adam, hingga ke zaman kita juga,  menghadapi berbagai-bagai peperiksaan dan ujian dalam sepanjang hidup masing-masing.  Sabenarnya kita semua, yang ada di dalam Masjid ini, dan yang di luar sana, setiap hari menghadapi peperiksaan, penilaian  dan ujian. Format ujian kita, disediakan oleh Yang Maha Pakar, dalam membuat ujian dan penilaian, iaitu Allah s.w.t. sendiri.  Setiap masa Allah menguji kita. Banyak ayat Quran yang menerangkan bahawa  manusia ini sentiasa diuji oleh Allah s.w.t.   yang dirakamkan di dalam Al Quran. Contohnya dalam Surah Al ‘Ankabut ayat 2 dan 3, Allah berfirman:

أَحَسِبَ ٱلنَّاسُ أَن يُتۡرَكُوٓاْ أَن يَقُولُوٓاْ ءَامَنَّا وَهُمۡ لَا يُفۡتَنُونَ (٢) وَلَقَدۡ فَتَنَّا ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِهِمۡ‌ۖ فَلَيَعۡلَمَنَّ ٱللَّهُ ٱلَّذِينَ صَدَقُواْ وَلَيَعۡلَمَنَّ ٱلۡكَـٰذِبِينَ

 .yang bermaksud: Adakah manusia menyangka, bahawa mereka akan dibiarkan, dengan hanya berkata: ‘Kami beriman’, sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang  yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), Allah mengetahui, siapakah orang-orang yang benar-benar beriman, dan dapat diketahuiNya, tentang siapakah orang-orang yang berdusta.

Di dalam  Surah Al Kahfi ayat ke 7 Allah berfirman:

إِنَّا جَعَلۡنَا مَا عَلَى ٱلۡأَرۡضِ زِينَةً۬ لَّهَا لِنَبۡلُوَهُمۡ أَيُّہُمۡ أَحۡسَنُ عَمَلاً۬

yang bermaksud:  Sesungguhnya Kami telah jadikan, apa yang ada di muka bumi, sebagai perhiasan baginya, kerana Kami hendak menguji mereka, siapakah di antaranya yang lebih baik amalannya.

            Ayat-ayat  ini dengan jelas membawa maksud, bahawa Allah s.w.t. sentiasa menguji manusia, untuk melihat: siapakah yang lebih baik amalanya diantara manusia, dengan menghiasi dunia ini dengan berbagai-bagai keadaan – ada yang menyeronokkan dan ada yang menyiksakan. Dengan cara itu,  Allah dapat mengetahui bagaimana sikap atau iman manusia, apabila menghadapai ujian-ujian itu.  Justeru, kita menyaksikan: ada manusia yang diuji, dengan diberi berbagai-bagai kenikmatan, dengan hartanya yang bertimbun-timbun, dengan kebun dan ladang yang melaut-laut, dengan pangkat yang tinggi melangit dan bintang-bintang yang memenuhi dada , dengan anak pinak yang riuh rendah.  Ada pula manusia yang diuji dengan berbagai-bagai penderitaan – dengan kesusahan mendapatkan rezeki  rezeki, dengan rumah kediaman yang robek, dengan kematian anak pinak, dengan penyakit yang bermacam-macam hingga bertahun-tahun menderita azab sengsara. 

            Kita boleh melihat dengan mata kepala dan dari paparan media: bagaimana Allah menguji manusia pada setiap masa dan setiap zaman. Bagaiamana siksanya orang pelarian tanpa rumah di Palestin , bagaimana deritanya orang kebuluran tanpa makanan di Sudan, bagaimana azabnya orang ditimpa gempa bumi, tanah runtuh dan tsunami di Acheh, di Iran dan di Jepun.  Kita juga melihat bagaimana ada orang yang berusaha siang malam mencari rezeki tetapi tidak juga mau kaya-kaya. Ada yang terpaksa meminta sedekah merata jalan. Disebaliknya: kita melihat  pula bagaimana pula hebatnya orang kaya saperti  Bill Gate yang mempnyai harta berbillion ringgit yang tidak habis dimakan hingga 100 keturunan. Ada yang berusaha sadikit sahaja tiba-tiba menjadi kaya. Ada yang asalnya tidak ada apa-apa tetapi menyanyi beberapa tahun menjadi jutawan.

            Dalam hidup kita seharian, kita juga menyaksikan ada orang yang buta, bisu dan pekak.  Ada orang yang cacat anggota, tidak bertangan, tidak berkaki, terpaksa berkerusi roda, dan berbagai-bagai kecacatan lagi.  Ada yang buah pinggang kecut,  jantung tersumbat, usus berdarah, dan berbagai organ yang tidak boleh berfungsi.  Ada pula yang mendapat kanser darah, kanser hati, kanser tulang, kanser ovari, dan membilang hari menghadapi kematian.   Ini semua adalah format-format ujian dan peperiksaan dari Allah kepada manusia untuk menilai bagaimana sikap dan keimanan mereka menghadapi ujian-ujian itu – baik yang berupa nikmat mau pun yang berupa musibat. Kadang-kadang kita tidak faham mengapa ujian-ujian bagitu menimpa kita saperti juga calun peperiksaan yang tidak faham mengapa cikgu bertanya soalan dalam pepriksaan. Kita lihat ada manusia yang redha dengan musibah yang diterima dan bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan.  Tatapi sangat ramai, yang sebaliknya tidak bersyukur dengan nikmatnya dan tidak redha dengan cubaanya.  

            Di dalam Al Quran, Allah menceritakan bagaimana sikap orang-orang yang diuji dengan nikmat dan musibah.  Kita membaca di dalam Al Quran kisah Firaun, Hamman, Qarun dan Namrud yang diberi nikmat kekayaan dan pangkat, menjadi takabur dan menderhaka kepada Allah,  hingga ada yang mengaku menjadi Tuhan.  Ada pula  yang diberi harta dan pangkat tetapi masih tunduk, dan  bertaqwa kepada Allah saperti Nabi Sulaiaman, Nabi Daud, Nabi Yusuf dan Zulkarnain yang menjadi raja yang gagah perkasa.  Disamping itu Al Quran juga menceritakan: ada manusia  yang diuji dengan musibah tetapi keimanan mereka kepada Allah tetap utuh – tidak luntur sadikit pun, saperti Nabi Ayub yang diambil semua hartanya dan anak-anaknya dan diberi penyakit hingga berbelas-belas tahun.  Nabi Yunus yang ditelan hingga berbulan-bulan di dalam perut ikan.  Nabi Ibrahim yang dibakar oleh Namrud. Nabi Zakaria dan Nabi Yahya yang dibunuh oleh orang Yahudi. Nabi Ismail yang diperintahkan untuk disembelih oleh bapanya Nabi Ibrahim. Semua dugaan dan ujian-ujian  itu dihadapi oleh mereka dengan tabah dan tidak melunturkan iman mereka kepada Allah sadikit pun.   Cerita-cerita ini dipaparkan oleh Allah di dalam Al Quran untuk kita mengambil iktibar supaya iman kita tidak goyang  samada diuji dengan nikmat atau dengan musibah.

            Di kalangan para sahabat Nabi Muhamad s.a.w. juga,  ahli sejarah memaparkan: bagaimana sahabat-sahabat Nabi radiallah hu ‘anhum yang kaya raya saperti Abd. Rahman bin Auf, Saidina Abu Bakar, Saidina Usman bin Affan dan Saidina Umar Al Khatab, tidak tergugat iman meraka kerana mempunyai kekayaan, bahkan menjadi orang-orang yang zuhud, dan menderma sebahagian besar harta mereka dalam Perang Muktah. Bagitu juga ada para sahabat Radiallah hu ‘anhum yang diuji dengan kesengsaraan saperti Billal bin Rabah dan  keluarga  Amar bin Yasir,  tidak tergugat iman mereka walau pun disiksa hingga ada yang dibunuh.  Nabi Muhamad s.a.w. sendiri diuji oleh Allah dengan kematian semua anak baginda, dan disekat makanan semasa di Makah.  Baginda disakiti hingga berdarah mukanya, semasa mencuba mendapat pertolongan di Taif. Dalam Perang Uhud, gigi baginda patah kerana anak panah mengenai pipi baginda.   Semua ini  menunjukkan, bahawa yang mendapat ujian  ini bukan manusia biasa saperti kita sahaja, tetapi juga para  Rasul alaihumus sala tu wassalam.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Mimbar ini memaparkan ujian-ujian Allah kepada manusia ini, adalah untuk menginsafkan kita bahawa dalam hidup kita ini,  kita sentiasa diuji dengan nikmat dan musibat. Apabila kita mendapat nikmat kita mestilah bersyukur dan jika mendapat musibah jangan pula kita kufur saperti perintah Allah di dalam surah Ibrahim ayat ke 7

وَإِذۡ تَأَذَّنَ رَبُّكُمۡ لَٮِٕن شَڪَرۡتُمۡ لَأَزِيدَنَّكُمۡ‌ۖ وَلَٮِٕن ڪَفَرۡتُمۡ إِنَّ عَذَابِى لَشَدِيدٌ۬

yang bermaksud: (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: “Demi sesungguhnya,  jika kamu bersyukur,  nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur atau  ingkar sesungguhnya azabKu amatlah keras”. Ayat ini dengan jelas menyatakan bahawa kita mestilah bersyukur apabila di uji dengan  nikmat dan jangan kufur bila mendapat musibah,  kerana manusia yang tidak bersyukur akan mendapat  azab Allah yang amat ngeri  di akhirat.

Sidang Jumaat yang di Rahmati Allah sakalian,

            Keptusan Peperiksaan SPM telah diumumkan hari Rabu yang lepas.  Bila pula keptusan ujian Allah kepada kita akan diumumkan ?  Semua markah ujian yang  diberikan Allah kepada kita pada setiap hari direkodkan oleh Malaikat Rakid dan ‘Atid di dalam komputer mereka.  Rekod-rekod itu di hantar ke dari masa ke semasa ke langit dan  disimpan dengan rapi  di Loh Mahfuz. Semua rekod-rekod itu akan diberikan balik kepada manusia pada hari Mahsyar mungkin dalam bentuk pen drive.  Ini dinyatakan oleh  Allah di dalam Al Quran, Surah Al Insyiqaq ayat 6-12

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلۡإِنسَـٰنُ إِنَّكَ كَادِحٌ إِلَىٰ رَبِّكَ كَدۡحً۬ا فَمُلَـٰقِيهِ (٦) فَأَمَّا مَنۡ أُوتِىَ كِتَـٰبَهُ ۥ بِيَمِينِهِۦ (٧) فَسَوۡفَ يُحَاسَبُ حِسَابً۬ا يَسِيرً۬ا (٨) وَيَنقَلِبُ إِلَىٰٓ أَهۡلِهِۦ مَسۡرُورً۬ا (٩) وَأَمَّا مَنۡ أُوتِىَ كِتَـٰبَهُ ۥ وَرَآءَ ظَهۡرِهِۦ (١٠) فَسَوۡفَ يَدۡعُواْ ثُبُورً۬ا (١١) وَيَصۡلَىٰ سَعِيرًا

Yang bermaksud: Wahai manusia! Sesungguhnya engkau sentiasa berpenat-lelah (menjalankan kehidupanmu ) dengan sedaya upayamu hinggalah (semasa engkau) kembali kepada Tuhanmu. Engkau tetap menemui balasan apa yang engkau telah usahakan itu (yang tercatit semuanya). Maka barngsiapa yang diberi surat amalnya dengan tangan kanannya, maka ia akan dihisab dengan cara yang mudah dan ringan. Dan ia akan pergi kepada keluarganya dengan gumbira. Dan sesiapa yang diberi surat amalnya dengan tangan kiri atau dari belakangnya, maka ia akan meraung menyebut kebinasaannya. Dan ia akan menderita bakaran neraka yang marak menjulang.

            Ini bermakna rekod atau kitab amalan kita diberi di Mahsyar. Rewkod baik akan diberi dengan tangan kanan dan rekod buruk dengan tangan kiri.  Kemudian proses menentukan keputusannya akan diadakan di Mahkamah agung Allah.  Apabila sampai giliran kita maka kita akan dipanggil mempertahankan tesis kita di hadapan seluruh makhluk Allah dari zaman Adam hingga Hari Kiamat.  Cuba agak-agak : dapatkah kita mempertahankan thesis kita dan bolehkah kita mendapat keptusan lulus dalam peperiksaan itu. Kalau tidak dapat A,  dapat C minus  pun jadilah. Jangan mendapat F.   Malangnya, jika gagal atau mendapat F, kita tidak boleh mengulang belajar semula saperti pelajar SPM.  Kalau lulus dapat C ke atas kita akan masuk ke syurga dan jika dapat F kita akan masuk ke neraka.  Untuk lulus peperiksaan Allah ini,  semua ujian yang kita lalui harus dibuat dengan hati-hati.  Jangan ada home work yang tertinggal, terutama sekali home work solat dan puasa.  Jika tertinggal atau tersilap cepat-cepatlah  buat correction sebab di Mahsyar tidak dibenarkan buat correction lagi.

Print Friendly, PDF & Email

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

*