Yang Berusaha Tuan Haji Mohd. Mokhtar bin Saidin selaku Pengacara Majlis dan Setia- usaha AJK Kariah Masjid Sultan Yussuf, Rapat Setia.
Yang Berbahagia, Dato Seri Dr. Abdullah Fadzil Che Wan, Orang Besar Jajahan Kinta, tetamu kehormat kita pada malam ini,
Yang Berbahagia Dato’ Haji Zubairi bin Tajuddin, OBJ Kampar,
Tuan Haji Ahmad Radzi bin Haji Ibrahim, Timbalan Pengerusi Masjid Sultan Yussuf,
Ahli-Ahli Jawatankuasa Kariah dan Jawatankuasa Biro-Biro Masjid Sultan Yussuf,
Dato’-Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan Ahli Jemaah dan Ahli Kariah Masjid Sultan Yussuf yang di rahmati Allah sakalian,
Bersyukurlah kita ke hadrat Allah s.w.t. yang telah mengizinkan kita – pada malam ini – untuk berkumpul di Dewan Masjid ini dengan tujuan menjalankan tugas dua tahun sekali, mengadakan Mesyuarat Agung Dwi Tahunan Ke-17 (2011) Masjid ini.
Pertamanya saya ingin mengucapkan setinggi terima kasih kepada tetamu yang kita raikan pada malam ini iaitu Yang Berhagia Dato’ Seri Dr. Abdullah Fadzil bin Che Wan, Orang Besar Jajahan Kinta, yang telah sudi menerima jemputan kita untuk merasamikan Mesyuarat Agung pada malam ini. Tidak syak lagi kehadiran Yang Berbahagia Dato’ Seri, telah menyerikan dan memberi makna yang besar kepada kita pada malam ini. Seingat saya ini adalah kali kedua Dato’ Seri merasmikan Masyuarat Agung Masjid kita. Kepada saya – secara peribadi – kehadiran Dato’ Seri pada malam ini mengingatkan kembali kisah-kisah lama kami – kenangan manis masa muda-muda waktu rambut dan misai masih hitam dahulu.
Dato’ Dato’, Datin-Datin, tuan-tuan dan puan-puan sakalian,
Bagi kami yang telah sampai ke umur enam puluhan dan tujuh puluhan; kami dapat menyorot perkembangan masjid ini sejak mula ditubuhkan. Masjid Rapat Setia, yang kemudiannya dinamakan Masjid Sultan Yusuf Rapat Setia ini, telah dimulakan pada tahun 1973. Saya sangat ingat tarikh tersebut kerana pada bulan Mac tahun 1973 itulah saya berpindah tinggal Rapat Setia ini. Saya tidak mengatakan masjid ini didirikan pada tahun itu kerana bangunan asal Masjid ini telah pun didirikn pada tahun 1964 oleh Koperasi Perumahan Orang Melayu Kinta Bhd. sebangai sebuah Surau. Koperasi pada masa itu tidak menjangka jemaah surau akan bertambah ramai dan akan bertukar menjadi Masjid kemudiannya. Oleh itu mereka cuma menyediakan dua lot tanah seluas setengah ekar sahaja yang dijangka sudah mencukupi untuk mendirikan surau.
Justeru, apabila penduduk Rapat Setia ini bertambah ramai serta memerlukan sebuah masjid sendiri. maka surau yang asalnya beralamat di Jalan Madrasah ini ditukar menjadi Masjid pada tahun 1973. Dengan itu timbullah masalah membesarkan bangunan Masjid ini bagi menampung jemaah yang kian bertambah ramai kerana tanahnya sangat sempit. Untuk makluman jemaah yang baru di Masjid ini – tempat kita bermesyuarat ini asalnya belum ada dahulu. Surau yang asal ialah di belakang dinding gelunsur di belakang sana. Tingkat atas sahaja tingkat bawah tak ada. Bila Surau ini dijadikan Masjid barulah derma dipungut untuk menambahkan bahagian yang lapan segi di hadapan Masjid ini. Selepas itu barulah ditambah bahagian yang kita duduk sekarang tingkat bawah dan tingkat atas. Kemudian barulah di dirikan Balai lentang dan Bangunan Pejabat dan rumah Siak di kiri kanan Masjid sekarang.
Oleh kerana tidak boleh lagi Masjid ini di perbesarkan kerana sudah kehabisan tanah maka yang boleh dibuat ialah menghiaskan masjidini dengan kosmetik. Dalam 5 tahun yang akhir ini bangunan Masjid ini telah dipasang tile / mosaik di hampir keseluruhan dindingnya. Silingnya telah diganti dengan plaster siling seluruhnya dan alat hawa dingin juga telah dipasang hampir di semua tempat berjumlah 32 unit. Sehingga akhir Mesyuarat Agung yang lalu, iaitu dalam tahun 2008 hingga 2009 lebih setengah juta Ringgit telah di belanjakan untuk mengubahsai masjid ini, dengan derma dariapada tuan-tuan semua dan juga bantuan dari Kerajaan Negeri. Dalam dua tahun yang akhir ini iaitu tahun 2009 hingga 2010 kita telah membelanjakan sebanyak RM 513,000.00 untuk menaik taraf masjid ini. Ini termasuklah harga membeli sekeping tanah dengan rumah sekali bersebelahan masjid ini dengan harga sebanyak RM 200,000.00.
Ternyata pemebelian rumah ini tidaklah rugi kerana ia telah dijadikan Rumah Penginapan ala ‘Homestay’ dan telah menghasilkan pendapatan sebanyak RM6,593.00 iaitu purata RM 578.00 sebulan. Selaian dariapada itu ia telah dapat digunakan sebagai tempat menyembelih kurban dan tempat penginapan tetamu-tetamu masjid. Masjid juga mempunyai harta dua buah kedai di Jalan Raja Musa Mahadi. Selain daripada itu Masjid ini juga amat bertuah kerana seorang dermawati dari Taiping telah mewakafkan sebuah rumah di Jalan Usaha kepada Masjid ini dan sedang diusahakan untuk dibaik pulih bagi dimunafaatkan oleh Masjid ini. Penyelenggaran harta-harta Masjid ini dibuat oleh Biro Pengurusan Harta Masjid yang di pengerusikan oleh Tuan Haji Yeop Mohd. Said bin Abdul Muttalib.
Untuk makluman juga, di tempat tandas masjid sekarang ini dahulunya ialah tapak Sekolah agama Rakyat masjid ini. Tetapi sekolah ini telah berpindah ke Jalan Usaha dan akhirnya berpindah pula menetap di Jalan Semangat 1 satelah Masjid berjaya membeli tanah untuk tapak sekolah tersebut. Sekolah ini telah maju, dengan bangunan-bangunan yang baru, dan mempunyai murid seramai 200 orang, dengan guru seramai 5 orang, di bawas kelolaan Biro Sekolah Agama Rakyat, yang di pengerusikan oleh Tuan Haji Mohd. Junid bin Mohd. Nasir.
Dato’-Dato’ , tuan-tuan dan puan-puan,
Masjid ini bukan sahaja memikirkan masalah orang yang hidup tetapi juga masalah tempat bersemadi apabila kita mengadap Ilahi. Justeru, Masjid mempunyai Tanah perkuburan sendiri seluas 19 ekar yang diselenggarakan oleh Biro Tanah Perkuburan. Biro ini telah menyelenggarkan 91 jenazah dalam tahun 2009 dan 2010. Jumlah yang telah disemadikan di tanah perkuburan ini sejak dari mula digunakan pada tahun 1994 ialah sebanyak 459 orang iaitu 402 jenazah dewasa dan 57 jenazah kanak-kanak. Biro Tanah Perkuburan ini, yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Mohd. Mokhtar bin Saidin, walau pun menghadapai berbagai-bagai kesukaran tetapi Tanah Perkuburan ini telah diatur dan diselenggarkan dengan baik hingga mendapat Hadiah Tanah Perkuburan terbaik di Daerah Kinta.
Untuk menguruskan pengkebumian jenazah, Biro Kebajikan, yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Amran bin Hussain dan dibantu oleh Tuan Haji Adnan bersedia, samada siang atau malam untuk menguruskan pengekebumian jenazah. Biro ini mempunyai penggalli kubur dan pemandi mayat lelaki dan wanita yang boleh dipanggil bila-bila masa sahaja. Biasanya jenazah dapat dikebumikan empat jam sahaja selepas kematian dilaporkan ke Masjid. Kecekapan Biro ini memang patut dipuji.
Masjid bukanlah hanya sebuah bangunan yang kaku. Ia mestilah di imarahkan atau dihidupkan. Jika tidak ia umpama sebuah badan tanpa roh. Alhamdulillah hampir setiap waktu bersolat, jemaah yang hadir hampir seratus orang. Pada malam Jumaat apabila majlis tahlil dan bacaan Yasin diadakan hampir 200 jemaah muslimin dan muslimat yang hadir. Derma yang di dapati pada tiap-tiap malam Jumaat antara RM500.00 hingga RM1,300.00 seminggu digunakan untuk mengadakan jamuan dan sebahgian daripada kutipan itu telah dapat menanggung bayaran bil eletrik dan air masjid ini. Pujian patut diberi kepada Setia Usaha Masjid ini yang dapat menguruskan jamuan pada tiap-tiap malam Jumaat dengan menu yang berlaianan dan berbagai-bagai jenis.
Untuk amalan bersolat masjid ini kita mempunyai 5 orang imam – dua daripadanya hafiz – dan 6 orang muazin serta 2 orang siak. Masjid juga mengadakan kuliah-kulian Maghrib oleh guru-guru yang bertauliah sebanyak 12 kali sebulan. Disamping itu mulai tahun ini kita telah mengadakan tayangan video yang bercorak agama 5 atau 6 kali sebulan. Pada setiap Solat Subuh kita juga mengadakan tazkirah yang disampaikan oleh imam-imam bertugas selama 15 hungga 20 minit. Selain daripada itu Masjid juga diserikan dengan sambutan hari-hari kebesaran Islam pada peristiwa-peristiwa Maulidur Rasul, Maal Hijrah, dan Israk / Mikraj. Dalam bulan Puasa pula pada setiap petang, kita dapat mengadakan Jamuan berbuka puasa dengan kehadiran kira-kira 150 orang setiap petang, dan diikuti dengan solat Terawih yang di imamkan oleh imam-imam hafiz yang diimport dari Maahad Tahfuz. Kebanyakan aktiviti ini dikelolakan oleh Biro Pegawai Masjid yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Ahmad Radzi bin Haji Ibrahim.
Masjid ini tidak juga melupakan anak-anak ahli Kariah. Untuk ini: Biro Pendidikan dan Dakwah telah yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Salleh bin Abd. Karim mengambil initiatif mengadakan pertandingan syarahan, kuiz, azan, dan nasyid untuk anak-anak di Sekolah Rendah dan Menengah. Pada tahun ini, Biro ini telah berjaya mengumpulkan 150 orang murid-murid Sekolah Rendah di sekitar masjid ini ke dalam satu Kursus Tahsin untuk memperbaiki wuduk dan solat. Usaha ini di harap dapat mendekatkan anak-anak kepada Masjid disamping dapat memperbaiki amalan solat anak-anak. Dalam misi berdakwah, Biro ini telah dapat mengendalikan kelas Bahasa Arab dengan pelajarnya hampir 100 orang sejak 3 tahun yang lepas. Kumpulan pelajar yang pertama yang kebanyakannya berumur 60-an hingga 70an, bukan sahaja telah dapat mengenal’ fiil madhi dan fiil mudhariq’ tetapi telah boleh sadikit-sadikit membaca kitab Arab yang tidak berbaris. Disamping itu Biro ini juga mempunyai pasukan Marhaban dan berzanji yang selalu menyerikan majlis akikah apabila dijemput.
Masjid ini tidak juga melupakan para belia yang menghadapi berbagai dugaan emosi. Biro Belia dan Beliawanis yang dipengerusikan oleh Dr. Haji Mohd. Fadhil bin Nuruddin dan Dr. Hajah Tun Kamsiah binti Haji Fatullah telah dapat mengumpulkan belia-belia dan beliawanis setempat dalam beberapa program. Di antaranya ialah program 3R atau Remaja Rai Ramadan dan program ‘Anda Bijak Jauhi Zina’ yang dihadiri oleh lebih 50 0rang belia dan beliawanis. Selain daripada itu untuk untuk memenuhi naluri belia yang suka bersukan, Biro ini telah mengadakan Sukan Tahunan iaitu bola sepak, bola jaring dan futsal sejak dua tahun yang lepas yang disertai oleh lebih 100 orang belia dan beliawanis tempatan.
Penduduk Rapat Setia ini memang terkenal dengan sifat pemurah dan tidak melupakan fakir miskin. Setiap tahun Masjid ini menjalankan amalan Kurban. Pada tahun 2009 , 10 ekor lembu yang berharga RM19,000.00 telah dikurbankan manakala pada tahun 2011 ini pula, 11 ekor lembu yang berharga RM23,650.00 telah dikurbankan dan dagingnya telah diagihlan kepada penduduk tempatan dan fakir miskin. Penyembelihan lembu telah dijalankan di Rumah wakaf Masjid yang dikelolakan oleh Biro Amalan Kurban yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Zainal Abidin bin Abdul Manaf.
Menyelenggarakan masjid supaya sentiasa bersih dan selesa memang amat meletihkan. Setaip masa ada sahaja kerosakan berlaku. Untuk menangani keperluan ini masjid telah menubuhkan Biro Penyelenggaraan Masjid yang sakan-akan JKR di Jabatan kerajaan, yang di pengerusikan oleh Tuan Haji Wan Ahmad bin Wan Ismail yang tugasnya saperti Pengarah JKR. Alhamdulillah dengan usaha beliau yang gigih kerosakan yang berlaku dapat ditangani dalam masa yang agak segera. Biro ini telah juga dapat mengadakan gotong royung membersihkan masjid yang juga dapat mengiratkan kerjasama antara
ahli Kariah.
Aktiviti masjid ini amat perlu disebarkan kepada ahli- ahli kariah dari semasa ke semasa kepada semua ahli kariah. Teknik penyampaian maklumat ini agak sukar kerana tidak semua ahli kariah selalu datang ke masjid. Alhamdulillah masjid ini mempunyai Biro Penyebaran Maklumat yang efisien yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Rozali bin Suradi. Biro ini telah dapat menyampaikan maklumat mengenai kegiatan masjid saperti sambutan Hari Perayaan, ceranah-ceramah khas dan lain-lain kepada semua ahli kariah dengan berbagai-bagai teknik penyampaian. Biro ini juga telah dapat mewujukan web site atau laman sesawang yang memberi maklumat secara maya kepada masyarakat segala kegiatan masjid ini sepanjang tahun. Lama sesawang ini boleh dilayari di masjidsultanyussuf.com.
Dato’ Dato’, tuan-tuan dan puan-puan,
Tidak dapat dinafikan wanita memainkan peranan penting dalamkehidupan masyarakat kita. Di Msjid ini penglibatan wanita di selenggarakan oleh Biro Wanita yang dipengerusikan oleh Puan Hajah Zaharah binti Suhaimi. Banyak aktiviti yang dijalankan di masjid ini dibantu dengan gigih oleh Biro Wanita. Dengan initiatif Biro Wanita ini Masjid telah dapat menjemput Ustazah Asni Abu Mansur penceramah wanita yang btidak asing lagi, untuk memberi ceramah Maulidur Rasul pada tahun ini. Biro Wanita ini juga menguruskan kelas pengajian wanita sebanyak lebih sepuluh kali seminggu selepas solat Asar. Biro Wanita ini juga telah mengadakan kursus kesihatan dan pengurusan jenazah. Ahli-ahlinya telah ada yang dapat menguruskan mandi jenazah wanita apabila ada kematian. Sedangkan kaum lelaki walau pun ada yang telah belajar memandikan mayat tetapi hingga hari ini tidak ada yang berani hendak memperaktikkannya. Biro ini juga selalu mengadakan majlis berzanji dan marhaban dan menziarahi rakan-rakan yang telah uzur.
Saperti institusi yang lain, Masjid ini juga menghadapi masalah keselamatan saperti kecurian kenderaan, kecurian dan vandalism yang merosakkan harta benda masjid. Untuk menangani masaalah ini Biro Keselamatan telah ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Tuan Haji Adnan bin Mod. Yussuf. Walau bagaimana pun masalah ini amat sukar di atasi. Tuan-tuan boleh melihat senarai kecurian yang berlaku saperi didalam buku laporan ms28 dan 29.
Untuk menyelenggarakan kewangan Masjid, Biro Kewangan telah ditubuhkan dengan dipengerusikan oleh Tuan Haji Abdul Latif bin Saidin. Bukanlah mudah untuk menyimpan dan menyelenggarakan akaun yang yang ada kalanya mencecah RM200,000.00 setahun. Biro ini agak lega sejak dua tahun yang akhir ini, kerana kutipan derma Hari Jumaat sangat memuaskan iaitu berjumlah antara RM5,000.00 hingga RM9,000.00 sebulan. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada ahli jemaah yang telah menunjukkan sokongan yang kuat kepada Masjid ini dengan derma-derma tersebut.
Sebagai Pengerusi AJK Kariah masjid ini, saya secara terbuka ingin mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada semua Pengerusi Biro dan Ahli-ahli Jawatankuasa Biro yang telah memberi sumbangan tenaga dan fikiran yang sangat berharga kepada Masjid dan kepada ahli kariah dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran kecuali keredhaan Allah.
Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan sakalain,
Dalam mesyuarat Agung tahun lepas beberapa isu telah dibangkitkan. Allah Yarham Tuan Haji Zainun – mudah mudahan Allah mencucuri Rahmat ke atas rohnya – telah meminta supaya Masjid ini memohon kepada Bank Rakyat mengimfakkan sebuah kereta jenazah lepada masjid kerana kereta jenazah yang ada sudah uzur. Pihak Masjid telah mengambil tindakan dan mengikut sumber yang boleh dipercayai permohonan ini telah diluluskan, cuma menanti giliran sahaja kerana quenya agak panjang.
Mengenai cadangan Tuan Hai Daud Zakaria supaya Mesyuarat Agung ini dibuat waktu siang, AJK berpendapat masa siang akan mengambil masa ahli jemaah yang berharga dan mungkin kedatangan akan merosot. Oleh itu kita mengekalkan waktu ini untuk menjalankan mesyuarat. Tidak apalah kita berjaga sadikit dua tahun sekali.
Mengenai tuduhan ada lelaki yang naik ke asrama waktu tengah malam: Jawatankuasa Masjid telah menyiasat dan di dapati tuduhan itu tidak benar. Walau bagaimana pun memang ada penghuni asrama yang berbual dengan lelaki sebelum naik ke asrama. Mereka telah dinasihatkan dan keadaan itu tidak berlaku lagi.
Dato’-Dato’, tuan-tuan dan puan-puan sakalian,
Bagi pihak AJK Kariah masjid ini saya ingin mggucapkan terima kasih kepada Dato’-Datok. Datin-Datin dan tuan-tuan dan puan-puan yang telah hadir pada malam ini untuk menjayakan Mesyuarat Agung kali ke 17 ini. Bagitu juga kepada sokongan yang padu kepada kami untuk mentadbirkan masjid ini. Kami sangat bersyukur kerana setiap kali rayuan derma diumumkan sambutan yang diberikan amat menggalakkan. Apabila kita mengumumkan hendak membeli tanah disebelah masjid ini, dalam masa dua bulan derma sebanyak RM200,000.00 telah didapati.
Saya juga ingin memohon ampun dan maaf jika terdapat apa-apa kekurangan dalam majlis ini atau pun tutur bahasa saya yang tidak sedap didengar. Bagitu juga jika terdapat kesilapan kami Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid ini dalam menjalankan tugas kami yang diamanahkan oleh Jabatan Agama Islam Perak.
Akhirnya saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Dato Seri Dr. Abdullah Fadzil yang pernah menjadi Timbalan Menteri untuk hadir dan marasmikan Mesyuarat Agung kami yang kecil ini. Kami memang tertunggu-tunggu untuk mendengar kata-kata nasihat dari Dato’ Seri sebagai penaung kepada Masjid-Masjid di Daerah Kinta ini.
Sekian. Wabillahi taufiq wal hidayah. Wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.